Monday, May 18, 2009

* Boleh! Boleh! Boleh! *

Pertemuan singkat kami dengan kak Ajmal di hadapan bank beberapa hari lepas benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri. Sungguh, setiap kalimat yang meniti di bibirnya terkandung hikmah yang bernilai. Pengakhiran pertemuan kami kali itu sedikit demi sedikit telah mencambahkan putik-putik semangat dalam diri. Hingga kini, putik itu semakin segar kerana disirami titis-titis kesedaran dan turut dibajai sebuah harapan yang melangit tinggi.

Kak Ajmal kini sedang dalam usahanya untuk menyiapkan tesis master. Katanya ini semester terakhir dia menjadi pelajar UIA, maka mahu atau tidak, fasa penulisan tesisnya itu perlu diakhiri seberapa segera. Selepas ini dia akan bekerja sambil menyiapkan ph.D pula. Kagum dengan semangatnya dalam menuntut ilmu yang tidak pernah luntur meski usia semakin meningkat. Baginya, biarlah pohon motivasi dalam diri akan sentiasa menyubur dan merimbun seiring pertambahan umur. Bukan semakin layu dek teriknya pancaran dugaan yang tidak putus-putus dilontarkan sepanjang perjalanan kehidupan.

Di celah-celah kisah tesis itu, terbit luahan dan persoalan dari Atina, sahabat saya,

“Akak, macam mana akak boleh rajin sangat nak belajar sampai ph.D. Saya setakat ni betul-betul tak pernah terfikir yang saya mampu untuk lanjutkan sampai tahap master, apalagi ph.D. Macam susah sangat je...”

Saya sekadar menyokong kata-kata Atina. Benar, saya selalu disogokkan dengan pemikiran –yang entah datang dari mana- bahawa selepas ijazah, saya akan bebas dari dunia menuntut ilmu [yang formal] dan bakal menceburi bidang lain. Antara sebab utamanya, metodologi penulisan tesis yang dirasakan agak rumit, dan juga kerja-kerja mencari sumber rujukan yang pasti menuntut masa yang panjang dari kita.

Namun, kata-kata kak Ajmal lantas membuka mata kami dan merubah persepsi lapuk yang sekian lama menapak dalam minda kami.

“Memang bukan senang. Sebab itulah nilainya tinggi. Tapi itu tak bermakna kita tak mampu buat. Akak belajar dari kawan-kawan yang hebat, akak nampak diorang tak pernah rasa tak boleh dalam laksanakan sesuatu. Diorang selalu yakin dengan diri sendiri dan segalanya boleh, boleh, boleh. Jangan terus-menerus jump into conclusion dan kata diri kita tak boleh. Kita semua boleh, kalau kita mahu. Nak tahu tak, sebenarnya bila kita set dalam minda yang kita ni boleh, kita pasti boleh buat & insha Allah berjaya, nak tahu sebab apa? Sebab, orang yang yakin dirinya boleh, dia akan ada motivasi yang tinggi untuk terus usaha sampai dia betul-betul berjaya. Dan bila dia yakin boleh, sebenarnya dia dah letak keyakinan bahawa Allah pasti tolong dia. Dalam masa yang sama, bila dia selalu kata dirinya boleh, itu dah jadi satu doa. Jadi, jangan sekali-kali rendahkan kebolehan sendiri sebelum cuba.”

Kagum dengan untaian kata yang tersimpul indah oleh kak Ajmal. Kami mendengar dengan tekun. Cuma sesekali riak wajah berubah mengikut rentak hati tatkala mendengar kata-kata kak Ajmal.


“Nanti korang pun buatlah master & ph.D. Kita bukan setakat nak dapat ilmu tu, tapi kita nak jugak menyumbang sesuatu untuk agama dan masyarakat. Umat Islam kan umat terbaik, jadi kita perlu sentiasa lahirkan muslim/muslimah yang intelek. Supaya kita mampu bersaing dengan agama lain dan mendahului mereka. Walaupun kita perempuan, kita tetap ada tanggungjawab terhadap agama, tetap diberi ganjaran sepertimana lelaki andai kita berusaha menegakkan agama.”

Lantas hati ini teringat kepada firman Allah:

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

[Surah aali ‘Imran: 139]

Maksudnya: Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.

Benar, orang yang beriman itulah orang yang paling tinggi darjatnya. Jika kita mengaku kita ini orang beriman, sudahkah kita berusaha untuk sentiasa menjadi yang terbaik…?

InshaALLAH… Mudah-mudahan apa sahaja yang kita lakukan sekarang, pengakhirannya adalah sebuah kegemilangan kepada agama Islam yang kita cintai ini. Sungguh, tanpa Islam kita ini hina.


MUSLIM BOLEH! :)

2 comments:

ikabash said...

sajeed.. sajeed dpt award lg.. hehe.. amek kat blog ye..

Sajida said...

pemurah betol ika... hehe... merasa jugak dapat award wpun bukan artis. hak2.. :)