Monday, November 30, 2009

* Miskin Bukan Faqir *

ISLAM TIDAK MEMUSUHI KEKAYAAN

Sejak kecil kita telah diajar berdoa. Pada kebanyakan perlakuan kita, ia dimulakan dengan doa, dan diakhiri juga dengan doa. Apakah berdoa itu sekadar adat kebiasaan kita atau ia lebih dari itu?


Soalan yang sudah sedia maklum jawapannya. Pastinya kita ini dididik agar berdoa kepada al-Khaliq sebagai tanda kita memerlukan pertolonganNYA dalam setiap hal dan perbuatan. Tanda kerendahan hati kita di hadapan Pencipta yang tiadalah sesuatu akan berlaku melainkan dengan izinNYA.

Banyak doa yang telah diajarkan oleh Rasulullah Shollallahu alaihi Wasallam kepada umatnya. Dan antaranya terdapat satu doa yang sering disalah fahami maksudnya. Mari kita lihat apakah doa yang dimaksudkan.

Allahumma ahyinii miskiinan, wa amitnii miskiinan, wahsyurnii fii jumratil masaakiin.

Ertinya: Ya Allah ! Hidupkanlah aku dalam keadaan miskin, dan matikanlah aku dalam keadaan miskin, dan kumpulkanlah aku (pada hari kiamat) dalam rombongan orang-orang miskin".

Hadits ini dikeluarkan oleh Imam Ibnu Majah (no. 4126) dan lain-lain. Al-Albani mengatakan bahawa hadith ini hasan. [Lihat pembahasannya dalam kitab beliau: Irwaul Ghalil (no. 861) dan Silsilah Shahihah (no. 308)]

Seandainya kita memandang bahawa maksud MISKIN dalam doa di atas adalah sebagaimana yang sedia difahami, iaitu: orang yang kekurangan harta, maka ia akan membawa kepada banyak impak negatif seperti:

1. Akan terlalu sedikit manusia yang berani mengamalkan doa ini lantaran fitrahnya yang cintakan harta.

2. Akan timbul pertanyaan: Mengapa Rasulullah menyuruh kita agar meminta dijadikan miskin? Sedangkan dalam Islam terdapat sistem zakat yang tujuannya untuk memerangi kemiskinan? (Kita berlindung daripada berburuk sangka terhadap baginda SAW).

3. Akan ada musuh Islam yang mengatakan bahawa agama Islam memusuhi kekayaan!

Apa pula kata ulama’ hadith dan bahasa dalam mentafsir perkataan miskin dalam doa tersebut?

1. Kata Imam Ibnul Atsir: Miskin bermaksud tawaduk dan khusyu', maka maksud jadikan aku miskin bermaksud: meminta agar tidak menjadi orang-orang yang sombong dan takabbur.

2. Kata Ibn Manzur: asal perkataan miskin dari segi bahasa ialah al-khaadi' (orang yang tunduk), dan asal perkataan faqir ialah: Orang yang memerlukan. Maka yang dikehendaki dari doa ini ialah: Aku merendahkan diriku kepada Mu wahai Rabb dalam keadaan berhina diri, tidak dengan sombong. Dan bukanlah yang dikehendaki dengan miskin di sini adalah faqir yang memerlukan (harta).

3. Kata Imam Baihaqi: Menurutku Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam tidaklah meminta keadaan miskin yang maknanya kekurangan tetapi beliau meminta miskin yang maknanya tunduk dan merendahkan diri.

Dan begitu jugalah keterangan yang diberikan oleh Imam-iman lain seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiyah, Imam Ghazali, Imam Qutaibi, Imam Sakhawi, Imam Mubarakfuri dan lain-lain. Sebagai penjelasan lengkap, maksud doa di atas adalah seperti berikut:

“Ya Allah, hidupkanlah aku dalam keadaan khusyu' dan tawaduk, dan matikanlah aku dalam keadaan khusyu' dan tawaduk, dan kumpulkanlah aku (pada hari kiamat) dalam rombongan orang-orang yang khusyu' dan tawaduk.”

Kerana itu, segeralah bertanya atau membuat rujukan setiap kali kita dilanda kemusykilan agama, antaranya dalam memahami maksud hadith. Ayuh kita berhati-hati agar tidak tersilap beramal.

Satu perkara lagi, jangan takut untuk amalkan doa di atas. :)



TIADA TARADUF DALAM AL QURAN

Apa itu taraduf? Taraduf ialah (apa yang saya faham) sinonim yang sama 'sebijik' maksudnya. Sebagai contoh, dalam bahasa kita, penulis sama ertinya dengan pengarang.

Tetapi dalam konteks Al Quran tiada satu perkataan atau istilah pun yang ada sinonim. Kerana itu, apabila ada ulama' yang mengatakan bahawa Tafsir itu seerti dengan Takwil tanpa membezakannya, pendapat itu tertolak kerana kedua-dua perkataan tafsir & takwil adalah istilah Quran dan mengikut kaedah ini: LAISA HUNAKA TARADUF FIL QURAN (tiada taraduf dalam al-quran), tafsir dan takwil perlu difahami dengan maksud yg tersendiri.

Selama ini kita mungkin faham bahawa al-walid itu seerti dengan al-ab. Tetapi jika kita membuat analisis penggunaan alquran terhadap dua istilah itu, terdapat perbezaannya. Terlalu panjang jika mahu diceritakan di sini. Buat yang berminat untuk mengkaji, mungkin antara kitab yang boleh dirujuk ialah AL-FURUQ AL-DILALIYYAH yang ada di bahagian Reference, IIUM Library. :)

Sangat menarik. Tahukah anda, dengan kaedah ini, kita akan mengetahui sebenarnya:

-Al-bayt dan al-manzil ada perbezaan maknanya.

-Al-jamaal dan al-ibil bukanlah sinonim.

-Orang yang bertaqwa tidak sama ertinya dengan orang yang beriman.

-Baata (بات) dan naama (نام) membawa erti yg berbeza walaupun hampir sama.

-Al-khail bukan al-hison.

-Miskin tidak seperti faqir.

Kaedah ini penting terutamanya dalam bidang fiqh atau dalam menetapkan hukum. Kerana alquran itu adalah sumber hukum, maka setiap perkataan perlu difahami dengan sebenar-benarnya dan dengan tepat.

Ini juga sebagai tanda bahawa Allah itu Maha Kaya dan tidak lemah sehingga perlu menggunakan perkataan yang sama berulang kali untuk konteks yang berbeza. Subhaanallah.

Itulah keistimewaan bahasa Arab. Kerana itu juga ia adalah antara faktor (banyak faktor lain lagi) yang menjadikan bahasa Arab dipilih menjadi bahasa Al Quran. Ia adalah bahasa yang sangat kaya. Sebagai contoh, kambing yang berbeza-beza umur ada namanya yang tersendiri. Tidak seperti bahasa kita, tidak kira berapa umurnya, kambing tetap kambing. :)

Berusahalah mendalami dan mempraktikkan bahasa Arab. Telah diakui bahawa bahasa ini adalah bahasa yang paling sistematik dan mengikut logik. Sistematik dan logik bagaimana? Perlulah belajar. :)

Wallahua'lam.

Sunday, November 29, 2009

* Di tengah keramaian *

BAHAGIA PUNYA MEREKA

Buat teman-teman yang sering 'mengadu' dan seolah-olah merenung malangnya nasib diri apabila tidak dilahirkan dalam keluarga yang kuat pegangan agama, entri ini saya tujukan khas untuk kalian...


Saya punya ramai teman yang sangat cintakan agama, dan itu merupakan satu perkara yang sangat saya syukuri. Berada di sekeliling mereka membuatkan saya sentiasa ingin memperbaiki diri agar sentiasa lebih baik dari semalam. Ini kerana mereka adalah antara insan-insan yang sering mencari jalan untuk dekat kepadaNya, yang selalu bertanya apabila tidak tahu, sering meneroka jalan untuk meraih cintaNya, sering meluah rindu pada syurgaNya, dan acapkali mengajak insan lain sama-sama melakukan kebaikan. Mohon kami dihimpunkan bersama-sama di dalam firdausiNya kelak. InshaAllah.

Mungkin ada antara mereka yang merasakan malu dan rendah diri apabila agak terlewat mendekatkan diri kepada Allah. Namun pada hakikatnya, tiada istilah terlewat selagi belum dipanggilNya. Selagi nyawa masih dikandung badan, tiada yang perlu disesalkan. Malah ia satu perkara yang amat perlu disyukuri. Betapa ramai lagi umat manusia yang sedar bahawa kematian itu kian hampir namun keseronokan dan kealpaan duniawi yang tetap diburunya, dan akhirnya mati dalam keadaan tidak sempat bertaubat. Na’udzubillah. Ayuh kita jauhkan diri agar tidak tergolong dalam manusia-manusia yang disebutkan dalam ayat ini:

Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan : "Sesungguhnya saya bertaubat sekarang"... (An Nisaa’: 18)

Masih berbaki satu perkara yang sentiasa akan menyebabkan hati seorang mukmin akan meronta-ronta untuk menambah amal kebaikan: kesedaran bahawa kematian itu datang dengan tiba-tiba. Firman Allah:

Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok, dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati.
(Luqman: 34)


Kami telah menentukan kematian di antara kamu dan Kami sekali-sekali tidak akan dapat dikalahkan. (Al Waaqi’ah: 60)

IMAN TIDAK DIWARISI

Pasti masih terpahat di ingatan kita tentang lirik lagu ini pernah popular satu ketika dahulu:

Iman tak dapat diwarisi
Dari seorang ayah yang bertaqwa
Ia tak dapat dijual beli
Ia tiada di tepian pantai

Walau apapun caranya jua
Engkau mendaki gunung yang tinggi
Engkau merentas lautan api
Namun tak dapat jua dimiliki
Jika tidak kembali pada Allah

Nah, satu kenyataan yang sedia difahami ramai namun adakala kefahaman tersasar. Di sinilah tanda Allah itu Maha Adil. Manusia tidak memperoleh iman itu dengan berada dalam keluarga yang berpegang kuat pada agama semata, tetapi iman datang seandainya jiwa sering berusaha memburunya, tidak kira berada di ufuk mana. Kita tidak pernah diberi pilihan untuk lahir di mana, siapa ibubapa atau adik beradik kita, di negeri mana, pada jam berapa, dan lain-lain lagi yang di luar kudrat kita. Kerana itu Allah tidak menetapkan bahawa iman itu bisa berpindah-randah dari satu jasad ke satu jasad, akan tetapi iman itu satu mutiara yang akan lahir tatkala diri mula berusaha mendekati Penciptanya.

Teringat saya akan satu hadith maudhu’ (palsu) yang dipelajari untuk subjek Ma’ayir Naqdil Hadith: Criteria of Hadith Criticism. Hadith palsu tersebut seperti ini:

من أكل مع مغفور له غفر له

Maksudnya: Siapa yang makan bersama orang yang telah Allah ampuni (orang-orang soleh) maka dia akan (turut) diampuni.

Terkekek-kekek kami ketawa apabila dibacakan hadith palsu ini ketika dalam kelas. Terasa kelakar dan tidak masuk akal. Memang adakala antara sifat hadith palsu begitu: akal & jiwa akan merasa ada sesuatu yang tidak kena tatkala mendengarnya.

Hadith ini palsu kerana ia nyata bertentangan dengan Al-Quran. Dan seperti yang kita ketahui, alquran & hadith sekali-kali tidak bertentangan kerana kedua-duanya wahyu dari Allah. Itu salah satu kriteria dalam menilai taraf hadith, iaitu dengan membandingkannya dengan Al-Quran. Istilah nya ialah ‘Ardhus Sunnah ‘alal Quran.


Kita perhatikan, dalam Al-Quran, Allah mengajar kita bahawa manusia itu bertanggungjawab dan akan disoal atas perbuatan sendiri. Manusia juga diberi ganjaran atas perbuatan yang dilakukan sendiri. Firman Allah:

bahwasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain (An-Najm: 38)

tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya. (At-Thuur: 21)

Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya. (Al-Israa’: 36)

Dan satu dalil (bukti) yang kuat untuk mematahkan dakwaan hadith palsu tersebut ialah ayat ini:

Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang saleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), Maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): "Masuklah ke dalam Jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)". (At-Tahrim: 10)

Lihatlah, sedangkan para nabi sendiri tidak mampu membela isteri-isteri (di hadapan Allah kelak) yang menentang agama. Mereka bukan setakat pernah makan bersama dengan nabi, malah hidup bersama sebagai suami isteri, pastilah ia bukan terhad kepada makan bersama sahaja. Namun perkara itu sedikit pun tidak membantu isteri-isteri mereka (yang tidak mahu beriman) untuk terselamat dari seksa neraka. Apakah dengan sekadar makan bersama orang yang diampuni Allah, kita akan turut diampuni? Fikir-fikirkanlah.

BERUNTUNGLAH


Buat teman yang selama ini mengidamkan cintaNya, lantas dipimpin Ar- Rahman agar kembali menelusuri jalanNya, bersyukurlah! Merasa beruntunglah! Tidakkah kalian tahu ada manusia yang mahu menjadi baik, teringin memiliki iman tetapi jalan menuju kebenaran agak sukar buat mereka. Kebanyakannya kerana kesungguhan mereka dalam mengejar yang hakiki itu terlalu nipis. Keinginan kekal sebagai keinginan tanpa disertai perbuatan yang benar-benar mahukan keinginan itu tercapai. Bukankah Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wasallam mengkhabarkan kepada kita:

Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh badan kamu atau harta kamu, tetapi Dia memandang (apa yang ada dalam) hati kamu dan perbuatan kamu.

Sahih Muslim, Bab Tahrim Zulm Almuslim, 12/427

Niat yang lahir dari hati itu serta perbuatan kita saling terikat. Ia tidak mungkin dipisahkan. Kerana itu tiada istilah ends justify the means atau matlamat menghalalkan cara. Kerana itu perbuatan mencuri dengan niat menderma adalah tidak diterima di sisi Islam. Niat dan amalan perlu sentiasa seiringan.


Oleh itu, andai hati kamu terusik agar mencari cintaNya, jika jiwaMu mula terasa memerlukanNya, segeralah buktikan dengan perbuatan bahawa kamu sememangnya mahukannya. Usaha kamu dalam memburu kebaikan tidak akan dipersia. Malah kamu akan menemui suatu sinar yang tidak semua insan terpilih untuk ketemunya.

Teman-temanku, andai kalian diberi hidayah di tengah-tengah manusia lain alpa dengan dunia, merasa beruntunglah dan hargailahnya. Berusahalah agar hidayah itu tidak ditarik kembali, kerana hati itu sifatnya berbolak balik. Bisa sahaja ia menjunam ke lurah kesesatan, dan ia juga bisa terbang menggapai selangit rahmatNya. Berdoalah dan carilah jalan agar mereka yang kalian sayangi akan turut merasai lazatnya kemanisan hidayah Allah itu.

Insha ALLAH.



Tuesday, November 24, 2009

* Kereta Bertanda Salib *

Soalan:
Apakah hukum membeli kereta import yang logo jenamanya berbentuk salib seperti kereta keluaran Chevrolet?


Jawapan: Klik sini.


Saturday, November 21, 2009

* UmiJida *

New URL for my second blog: umijida.blogspot.com

Sunday, November 1, 2009

* Banyak Cakap *

TEGURAN BERMAKNA

“Akhawat ni banyak cakap la. Dah lama dah ustazah nak tegur...”

Ayat pertama Ustazah Nadzirah untuk kelas Manahij Mufassirin hari itu benar-benar membuat kami tersentak. Pada mulanya pelajar lelaki menganggapnya sesuatu yang agak kelakar, kerana itu deraian ketawa dari mereka yang kedengaran. Namun ustazah nampaknya benar-benar serius. Memang kami bersalah, sehingga menyebabkan ustazah terasa hati. Ustazah kata, bukan tak boleh berborak, tapi hormatlah ustazah bila ustazah dah masuk kelas. Sedih sangat bila ustazah cakap macam tu. Takut tak dapat keberkatan dari apa yang ustazah ajar selama ini...

Ada yang beri alasan, bukan tak hormat, tapi tak perasan ustazah dah masuk. Lagi pula ustazah comel orangnya. Sungguhpun demikian, perlukah kita banyak bercakap sebenarnya? Nak tahu jawapan yang paling tepat, ayuh kita rujuk 2 sumber utama kita. :)




YANG BAIK ATAU DIAM

Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 24-25 yang bermaksud:

“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah Telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.”

Kalimah yang baik di sini ditafsirkan sebagai kalimah tauhid “Tiada Tuhan selain Allah” dan apa-apa jua yang membawa kepada kebajikan dan memberi manusia peringatan dan mencegah kemungkaran.

Ada juga para tabi’ien yang mentafsirkan kalimah toyyibah (yang baik) itu sebagai iman yang wujud dalam hati mukmin. Betapa ia teguh, berdasar di jiwa dan berpuncakkan kasihNya.

Juga, satu pesanan junjungan besar Nabi Muhammad Shollallahu ’Alaihi Wasallam:

”Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah ia berkata yang baik ataupun diam.” (Sahih Bukhari, 20/114).

Setiap kata-kata itu adalah antara dua, iaitu:

1. samada bersifat baik atau buruk (tiada yang pertengahan); atau

2. samada membawa kepada kebaikan atau keburukan.

Kata Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari, setiap pendukung iman pasti akan:

a) memiliki perasaan kasih pada insan-insan di sekililingnya dan perasaan itulah yang akan menyebabkannya meluah yang baik setiap kali berkata-kata, atau

b) diam (berlepas diri, tidak menyertai) dari perkara yang membawa kepada kejahatan.

c) Semampunya melakukan perkara yang bermanfaat (kepada diri dan orang lain)

d) Sejauh-jauhnya meninggalkan perkara yang membawa kepada kemudaratan (kepada diri dan orang lain).

Sememangnya kata-kata yang terbit di lidah mempunyai peranan yang sangat besar kepada kita. Andai kita kaji antara pesanan Nabi SAW kepada kita, pasti kita akan dapati untaian nasihat daripada baginda SAW kepada kita agar memelihara lidah. Cuba kita fahami hadith-hadith berikut:

*Seorang muslim itu (benar-benar muslim apabila) orang-orang muslim yang lain selamat dari lidahnya (tidak berkata-kata yang buruk atau menyakitkan) dan tangannya (tidak menzalimi). (Sahih Bukhari, 1/15)

*Usahlah banyak berbicara, sesungguhnya bicara yang tidak membawa kita kepada mengingati Allah akan mengeraskan hati. Dan manusia yang paling jauh dari Allah adalah yang paling keras hatinya. (Sunan Tirmidzi, Hadith Hasan Gharib, 8/433)

*Siapa yang mampu memberi jaminan kepadaku bahawa dia akan memelihara lidah dan kemaluannya, maka aku memberi jaminan bahawa dia akan masuk ke syurga. (Sahih Bukhari, 18/300)

Jelas dan nyata. Tidak perlu berfikir terlalu lama untuk memahami hadith-hadith di atas. Cuma mungkin memerlukan masa yang lama untuk dipraktikkan. Cubalah dan terus mencuba.

Cukuplah ketiga-tiga hadith di atas untuk kita mengambil pengajaran bahawa suatu bicara itu punya peranan juga kesan yang besar ke atas diri kita dan orang lain. Kerana itu barangsiapa yang mampu menjaga lidahnya (dan kemaluannya) dengan baik, ia dijamin kemenangan yang besar, iaitu syurga. Subhaanallah.



Dengan kata-kata manusia bisa terus tabah. Kerana kata-kata jua manusia adakala rebah.



BE STRONG

Akhir-akhir ini tatkala terasa seperti mula lemah, ada sahaja dua perkataan ini tiba. Be strong. Dan entah kenapa saya benar-benar dapat rasakan bahawa kata-kata itu sungguh memberi kesan kepada jiwa dan menambah kekuatan. Terima kasih buat teman yang sering mengajarku agar menjadi kuat dan tidak mudah lemah.


Begitulah seandainya bicara kena pada tempatnya. Tidak perlu berbasa-basi namun hati cukup meninggalkan kesan. Maka perelokkanlah kalam kita. Mudah-mudahan apa yang keluar dari mulut dan apa yang tertulis (atau tertaip) dari tangan kita adalah segalanya yang menyeru kepada kebaikan dan tidak membuat manusia kian lalai dari Allah.


For readers out there too, be strong! :))