Wednesday, March 7, 2012

* Allah, beri mereka kekuatan... *

Bismillah.

Sekadar ingin menyatakan rasa sedih mengenangkan nasib bibik-bibik dari indonesia yang saya kenal.. (Tapi rasanya situasi mereka tidak banyak berbeza dengan bibik lain). Baru-baru ini bibik rumah mertua kehilangan suaminya. Luluh hati saya pada pagi itu saat mendengar tangisannya selepas mendapat berita bahawa suaminya sedang sakit tenat dan baru keluar dari hospital. Kata doktor, suaminya sudah tiada harapan dan hanya menunggu ajal. Kerana itu saudara mara diminta datang segera seandainya mahu berjumpa.

Bibik segera pulang ke Indonesia pada petang itu. Beberapa hari selepas dia pulang, kami mendapat berita kematian suaminya. Innalillahi wa inna ilaihi roji'uun.. Sedih tatkala saya memikirkan bahawa bibik sudah lama berjauhan dengan suaminya demi mencari rezeki di serata dunia, pertemuan dengan suami hanyalah setahun atau 2 tahun sekali. Sepatutnya bibik akan tamat kontrak kerja nya pada bulan julai ini, dan katanya dia mahu menjaga suami yang telah lama ditinggalkan, juga mahu bercucuk tanam di kampung halamannya. Namun, takdir Allah itu yang berlaku, apa yang dihajati bibik tidak terlaksana. Dia diberi kesempatan untuk menjaga suaminya cuma beberapa hari sebelum tiba saat ajal.

Bibik lain yang saya kenal, punya anak berusia dalam lingkungan 4-5 tahun. Namun ditinggalkan demi mencari rezeki di sini. Bertemu hanya 2 tahun sekali. Ah berbaloikah pengorbanan merantau jauh meninggalkan keluarga, meninggalkan anak yang memerlukan ibunya, dan suami yang butuh isteri di sisi? Saya kerap kali berfikir bagaimana mereka mampu mempunyai jiwa dan semangat yang kuat untuk meneruskan perjuangan di bumi yang jauh dari buah hati mereka. Bibik yang ini, kedua-dua ibu bapanya meninggal ketika dia berada di Malaysia, dan yang menyedihkan, dia tidak dapat bertemu mereka buat kali terakhir apatah lagi untuk mencium jenazah mereka. Dan seorang lagi bibik, suaminya berkahwin lain gara-gara mereka sudah lama tidak berjumpa.

Ya Allah berilah insan-insan ini kekuatan untuk meneruskan saki baki perjalanan hidup meski dugaan hebat sering datang menjengah... Terlalu berat mata ini memandang, tetapi berat lagi pundak mereka yang memikul segalanya...