Tuesday, June 23, 2009

* Rinduku pada bumi itu *

Tadi masa saya ke blog ummu husna, mata saya tertarik pada satu sajak (atau mungkin lirik lagu) pada bahagian widget blog itu. Nostalgia Kisas 91/92. Saya meneliti setiap bait kalimahnya. Hati tiba-tiba diruntun kesayuan. Tak mampu untuk saya gambarkan.. Kerinduan pada bumi waqafan (KISAS) benar-benar menusuk. Meski perjalanan hidup saya di sana sentiasa bersulam duka dan lara, namun segalanya sebagai satu tarbiyah. Satu didikan rohani yang benar-benar membantu saya untuk menjadikannya bekal buat menempuh kehidupan kini dan seterusnya.

Syukurku yang tidak terhingga buat Tuhan sekalian alam, kerana Dia telah mencampakkan diri ini ke daerah sana. Meski sekadar 2 tahun tempohnya, aku kira ia anugerah yang terlalu bernilai. Satu safar yang sarat dengan hikmah.. Terima kasih juga kukirimkan buat guru-guruku yang sentiasa lebih bersemangat berbanding pelajar-pelajarnya. Aku kagum dengan ketabahan kalian.. Moga Allah memberi kalian ganjaran yang besar. Amin.



Seperti yang sentiasa saya katakan, saya benar-benar telah menemui mutiara yang tertanam jauh di perut bumi itu...

Benar, hati ini amat merindui bumi itu.. T_T


NOSTALGIA KISAS 91/92

Hari Ini Tiada Senda Dalam Bicara
Deru Air Mata Merupakan Segalanya
Sang Hati Bicara Sendiri
Bangunkan Ummah Bina Generasi

Di Bumi Yang Bertuah Ini
Diriku Mula Mengenali
Matlamat Hidup Sebagai ‘Abdi
Kepada Allah, Allahu Rabbi

Diriku Kini Sebebas Unggas
Terbang Riang Di Angkasa Raya
Menyanyi Merdu Irama Kalbu
Indahnya, Indahnya, Oh Indahnya

Wahai Generasi Dengarlah Pesanan Ini
Bumi Ini Bumi Bertuah
Suburnya Sesubur Tanaman di Lembah
Melahirkan Insan Berjiwa Tabah

Kutiplah Mutiara, Mutiara Indah
Untuk Bekalan Diri Berpindah
Sebelum Jejak Kaki Melangkah
Sebelum Penyesalan Membawa Padah

Sahabat Seperjuangan
Usah Digentar Musuh Di Hadapan
Pandanglah Di Depan Balasan Tuhan
Syurga Firdaus Menanti Kalian

Teruskan, Oh Teruskan
Perjuangan Menegak Kebenaran
Di Dalam Kebungkaman Akhir Zaman
Selagi Hayat Di Kandung Badan

Wahai Teman Seperjuangan
Dengarlah Harapanku Ini
Pohon Untukku Dalam Doamu
Diriku Pejuang Islam Yang Satu


Buat sahabat-sahabat yang pernah menjadi teman seperjalanan semasa di KISAS, moga tidak lupa pada harapan kita semasa pertama kali menjejakkan kaki ke sana. Seandainya tika itu masih belum terbit sebarang harapan, maka kenangkanlah azam kita sebaik meninggalkan perkarangan bumi itu. Dan sekiranya masih tiada juga azam yang terdetik kala itu, maka ingatlah impian ibubapa sewaktu mereka menghantar kita untuk sama-sama menggali mutiara-mutiara di sana. :)



Friday, June 19, 2009

* Pernikahan = Penamat? *

Bismillah.

Pertama sekali, tahniah buat Kak Fatihah Omar (Usul fiqh IRK) & Qayyum (Engineering) yang bakal diijabkabulkan pada 03072009 ini. Semoga pernikahan ini akan menambahkan lagi semangat untuk tetap terus berjuang demiNya.

Bukan apa, saya pernah mendengar keluhan beberapa sahabat tentang bagaimana mereka merasakan ada sesetengah rakan mereka yang telah atau mungkin terpaksa menjadikan gelaran isteri sebagai nokhtah kepada perjuangan.

Saya tidak berani untuk memberi pendapat sendiri kerana saya masih tidak tahu apa yang mereka (sahabat-sahabat yang sudah berkahwin) alami selepas bergelar isteri & mungkin ibu. Entah bagaimana jadual mereka, masalah yang mereka hadapi, emosi yang adakala tidak terduga dan macam-macam lagi kesulitan hidup yang tidak mampu saya bayangkan.


Namun tidak saya nafikan, masih terlalu dan amat ramai wanita yang sudah bergelar ibu, pelajar atau yang sudah berkarier, akan tetapi semangat mereka untuk selamanya di atas jalan dakwah tidak pernah luntur. Saya terlalu kagum dan adakala hairan bagaimana mereka diberi kemampuan untuk melakukan terlalu banyak perkara dalam satu masa. Ada benarnya kata-kata ini: Andai niat di hati itu baik juga ikhlas, pasti Allah akan permudahkan jalan tetapi dengan syarat kita juga perlu ada usaha.

Benar, sangat payah jalan perjuangan itu seandainya di pundak tergalas segala macam peranan. Apalagi jika 'askar-askar' di rumah semakin bertambah. Namun, kerana kesusahan & pengorbanan itulah ia dinamakan PERJUANGAN. Nilainya itu dilihat dari sejauh mana ketahanan pejuang itu dan setinggi mana dinding dugaan yang harus dan berjaya dirempuhnya.

Mungkin kerana itu sebagai perempuan, sangat penting untuk kita memilih suami yang punya semangat & cita-cita tinggi dalam memperjuangkan agamaNya.

Ayuh, kita hentikan persepsi yang mengatakan pernikahan itu bisa menggugat kemeriahan sebuah perjuangan! :)


Thursday, June 18, 2009

* Kelaparan! *

"Salah satu perkara yang bisa membuat hatimu bahagia adalah dengan menyedari bahawa dalam hidup ini, kamu sentiasa punya ALLAH yang sangat-sangat menyayangimu, mengurniakanmu limpahan rezeki dan sesungguhnya Dia benar-benar menantimu untuk kembali kepadaNya…

Dia membukakan kepadamu satu jalan menuju satu destinasi yang kekal selamanya... Maka tegakah kamu untuk berterusan memuja kealpaan yang selama ini kamu sangkakan kebahagiaan ...?? Sanggupkah kamu sengaja meletakkan diri di kalangan mereka yang tersasar dari jalan bahagia...???

Dia menemanimu. Dia menantimu. Sedarkah kamu akan hal itu?"


Mesej yang tiba sebentar tadi benar-benar terasa dilontar tepat pada sasaran. Kadangkala entah mengapa, hati seakan-akan berteriak, mahukan sesuatu untuk mengisinya. Dan ada ketikanya diri terasa mahu menangis, sedang puncanya masih belum terungkai dengan kata-kata.

Aku tahu, jiwa ini kelaparan...



* Permudahkanlah... *


Ya Tuhan... mudahkan jalanku ke sana...


Sunday, June 14, 2009

* Yang Bertudung Labuh *

Perempuan bertudung labuh ni sombong.

Itu antara keluhan yang agak beberapa kali juga saya dengar. Dan saya sedikit pun tidak terkejut dengan dakwaan itu, kerana bukti sentiasa ada di depan mata.

MERASA TERPILIH

Zaman dulu, semasa saya sertai beberapa sesi tadzkirah, ada suara-suara yang akan mengatakan lebih kurang begini, “Kita ini orang-orang yg terpilih, bukan semua orang tahu seperti apa yang kita tahu, kena bersyukur sebab kita dapat ilmu ini..”

Namun, ada yang satu yang dari dulu buat saya tertanya-tanya, mengapa bukan semua yang dipanggil untuk diberi tadzkirah itu? Sebab orang lain bukan terpilih? Atau kita yang sengaja memilih untuk tidak ‘menyampaikan’? Ada diskriminasi kah dalam menyampaikan ilmu agama terutamanya?

Jalan hidayah itu pelbagai rupa. Ada yang mendapat hidayah kerana

* kagum dengan penciptaan seekor semut
* setelah mengkaji keajaiban struktur yang ada pada tumbuhan
* merasakan pengasihnya Allah atas nikmat rukhsah solat
* mendengar alunan ayat al-Quran yang sedikit pun tidak difahami

Ajaib kan? Perkara-perkara di atas, kita sendiri sering lupa untuk memikirkan tentangnya, apalagi untuk dijadikan sumber ingatan pada Yang Esa. Benar-benar beruntung mereka yang mendapat pimpinan dariNya..

Mungkin adakala kita terlupa, bahawa hati-hati manusia ini Allah yang pegang. Dia yang mengeluarkan hati yang sekian lama berada dalam kegelapan kepada sebuah sinar. Sinar yang pasti memberi keselamatan di dunia & akhirat.

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ

(al-baqarah: 257)

Allah pelindung orang-orang yang beriman; dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya.

Teringat pesan Rasulullah Shollallahu alaihi wasallam kepada saya dan kita semua supaya siapa yang menghadiri kuliah agama, maka khabarkanlah kepada yang tidak menghadiri, kerana boleh jadi org yang tidak menghadiri (tetapi mendengar dari yg hadir) akan lebih memahami daripada org yang hadir. Hadith di bawah ini cuma satu potongan, hadith yang selengkapnya lebih panjang.

فلعل بعض من يبلغه أن يكون أوعى له من بعض من سمعه

(Sahih Bukhari, Kitab alMaghazi, Bab Hujjatul Wada’)

Terjemahan: Boleh jadi siapa yang disampaikan itu lebih memahami daripada orang yang mendengar

Maka, kalau tetap mahu merasakan diri itu terpilih, rasakanlah bahawa diri terpilih untuk menyampaikan ilmu2 itu juga, bukan sekadar terpilih untuk menerima. :)


SURUHAN DAN LARANGAN SERENTAK

Kita biasa kan dengar orang kata,

“Ala, pakai tudung tapi ramai je yang asyik mengumpat. Aku tak pakai tudung ni tak mengumpat pun. Takde masa nak sibuk hal orang…”

Jadi, nak kena terus mengumpat ke berhenti pakai tudung???

Senang sahaja, dua-dua itu bukan yang sepatutnya menjadi pilihan kita. Suruhan dan larangan Allah perlu dilaksanakan serentak. Bukan pakai tudung je, tapi tak jaga hati jiran, tak berbuat ihsan pada ibubapa, etc etc etc.

Sebagai contoh, ada dalam hadith, Rasulullah Shollallahu Alaihi Wasallam pesan pada kita:

يسروا ولا تعسروا وبشروا ولا تنفروا

(Sahih Bukhari, Kitab al’Ilm, Bab Ma Kaana anNabiy)

Terjemahan: Mudahkanlah dan jangan susahkan, berilah berita gembira (tentang agama seperti tentang syurga, kasih sayang Allah) dan jangan membuat orang lari (dari agama).

Hikmah di sebalik suruhan dan larangan itu disebut serentak, adalah supaya ia diamalkan serentak. Bukan dengan memudahkan cuma sekali dan berkali-kali menyusahkan. Tetapi memudahkan pada setiap kali dan tidak sekali-kali menyusahkan. Hm, agak berbelit,, harap tetap difahami.

SEMUA ORANG PUNYA POTENSI

Kadangkala saya tak nafikan, ada perempuan bertudung labuh yang sering memberi pandangan yang agak tidak enak kepada perempuan-perempuan lain yang tidak bertudung. Jangan, Rasulullah Shollallahu Alaihi Wasallam tidak pernah begitu dalam berdakwah. Kasihani mereka, mungkin mereka itu kaum yang belum mengetahui. Berusaha dan berdoalah agar mereka juga akan turut melaksanakan perintah Allah yang satu itu suatu hari nanti. Insha Allah. Boleh jadi mereka lebih mulia dari kita, dan boleh jadi selama ini kita sekadar perasan diri beriman (na’udzubillah), segalanya Allah yang Maha Mengetahui.

Saya teringat apa yang Kak Fiza bagitau tentang pesan seorang pensyarah, lebih kurang begini rasanya:

“Pandanglah semua orang sebagai seorang yang punya potensi tinggi untuk membantu agama Islam.”

SEMUA ORANG, bukan khusus untuk yang Islam sahaja. Ya, semua orang punya bakat & kelebihan tersendiri. Ada yang miliki semangat yang tinggi, tetapi ia silap disalurkan. Seperti Mat Rempit, mereka punya semangat yang berkobar-kobar sewaktu merempit. Cuba bayangkan seandainya suatu hari nanti dia menerima hidayah, dan kali ini, dialah yang bersemangat memimpin manusia ‘merempit’ ke arah kebaikan. Begitu juga dengan mereka yang aktif dengan gejala vandalisme. Karya mereka adakala sangat cantik dan kreatif. Alangkah bagusnya sekiranya suatu hari nanti bakat yang kreatif itu digunakan untuk mengajak manusia menghampiri agama nan suci ini. Amin!

SEMUA ORANG, termasuk DIRI SENDIRI. :)


* Nak bagitahu *

Makluman:

Saya dah masukkan salah satu cerita dari buku Arab (rujuk entri sebelum ini) ke sobrussaajida.blogspot.com.

Sebarang masalah atau cadangan, usah segan silu untuk bagitahu.

Tuesday, June 9, 2009

* Aljuhdu Almasykur *

>> Aljuhdu almasykur = Satu usaha yang dihargai

Minggu lepas saya sekadar mahu melihat2 buku di salah satu gerai di HS. Tidak merancang untuk membeli, tetapi setelah melihat buku yang bertajuk ini:
Belajar Bahasa Arab Sambil Ketawa, saya jadi sungguh2 mahu membelinya. Meski di kulit hadapan ada tertulis: Buku Belajar Bahasa Arab untuk yang TAK MINAT Bahasa Arab, saya tetap mahu membelinya. Saya juga tidak mahu terlepas dari mengambil manfaat buku itu, di samping menghiburkan diri. Kisah2 pendek di dalamnya memang lucu. :) Siapa nak pinjam, bagitahu la saya. Semoga kita sama2 mampu meningkatkan kemahiran berbahasa Arab. (Buku berserta CD Audio)



KREATIF DALAM BERDAKWAH

Kagum dengan penulis buku itu (
Wan Rusli Wan Ahmad) yang kreatif dalam menyampaikan pengajarannya. Saya agak buku itu mampu menarik minat ramai pembaca, pertama kerana tajuknya yang menarik, kedua kerana ilustrasi yang ada di dalamnya, ketiga, kerana kisahnya yg pendek2 dan tidak membosankan, keempat, kerana nota ringkas (tentang bhs arab) yang terdapat pada setiap kisah.

Usaha ini membuatkan saya teringat akan kreativiti para daie dari Indonesia. Usaha dakwah mereka bukan semata-mata tertumpu di atas kertas atau lisan, bahkan barangan-barangan juga turut menjadi atara medium dakwah mereka. Sebagai contoh, T-shirt labuh Muslimah. Kalau tidak silap saya, kewujudan T-shirt muslimah yang menarik dan bersopan itu bermula dari sana. (Betulkan saya jika silap). Kesannya idea itu sudah tersebar dan banyak syarikat di Malaysia mula memperkenalkan T-shirt labuh dek sambutan yang hangat. Syukur kepada Allah, kerana dengan wujudnya T-shirt labuh ini, Muslimah-muslimah mampu bersukan dengan berpakaian yang menutup aurat.


Selain T-Shirt, terdapat banyak lagi barangan lain yang benar-benar menarik minat konsumer Muslim, seperti stokin wudhu', keychain, hanphone tag dan lain-lain yang berunsurkan Islam. Usaha ini -mungkin secara tidak sedar- telah sedikit sebanyak menyebarkan dakwah Islam itu sendiri. Contohnya, ungkapan-ungkapan pendek yang terdapat di keychain seperti:

"I am proud to be a Muslim"


"I lay my love on Allah"


"Colour our life with dzikrullah"


"More confident with Jilbab!"


"Let's fight for Islam!"


Ungkapan-ungkapan begini, bisa sahaja menggerakkan hati seseorang Muslim untuk melakukan kebaikan, juga ia mungkin mampu menarik minat non-Muslim untuk lebih mendekati Islam lantas memeluknya. Insha ALLAH.



IMPORT BARANG = IMPORT IDEOLOGI

Semasa belajar bab Culture dalam subjek Intro. to Sociology, saya belajar bahawa ketika kita mengimport barang dari sesuatu negara, kita sebenarnya turut mengimport budaya & ideologi mereka. Sebagai contoh, meja jepun. Seandainya kita membelinya, pasti kita akan menggunakannya sebagaimana budaya Jepun; makan bersila di bawah, menggunakan meja Jepun yang rendah. Begitu juga dengan TV. Apabila kita membelinya, kita bukan sekadar membeli fizikalnya, akan tetapi kita mungkin akan turut terpengaruh dengan 'budaya' yang disiarkan di kaca TV itu.


Benar, idea & barangan (material and non-material cultures) sememangnya mempunyai kaitan yang cukup kuat. Ia mempengaruhi satu sama lain. Buktinya, kepercayaan (nonmaterial culture) masyarakat Cina (yang bukan Islam) bahawa nombor 13 membawa sial menyebabkan mereka akan menjauhi daripada memilih/ membina rumah (material culture) yang bernombor tersebut. Contoh lain, MP3. Gajet kecil itu (material culture) akan mengembangkan budaya mendengar lagu (nonmaterial culture) di mana-mana sahaja setiap ketika, jua ia adakala menyebabkan ramai remaja membuang masa (nonmaterial culture) dan wang seandainya ia digunakan untuk tujuan yang sia-sia.


Cukuplah dengan omelan di atas. Moga kita akan berterusan di atas jalan dakwah, dan tidak lupa untuk sentiasa memikirkan usaha yang kreatif yang mampu menarik lebih ramai orang agar mengenali Islam.


Monday, June 8, 2009

* Tobaqot al-Musonnafat *

Senarai peringkat2 kitab-kitab hadith
(seperti yang dipelajari dalam subjek Tadwin Sunnah)


Peringkat pertama:

1. Sahih Bukhari
2. Sahih Muslim
3. Muwatta' Malik

Peringkat kedua:
1. Al Sunan Al-Arba'ah (Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie, Ibn Majah)
2. Musnad Ahmad
3. Sunan Darimi

Nota:
* Kitab2 pada peringkat ini juga antara Ummahat Kutub al-Hadith
* Penulis kitab2 peringkat ini dikenali dgn sifat 'adaalah

Peringkat ketiga:
1. Musonnaf Abdul Razzaq
2. Musnad Abi Ya'la
3. Musnad Al-Toyalisi
4. Al-ma'ajim al-thalathah Lit Tobrani
5. Sahih Ibn Hibban

Nota:
* Masanid pada peringkat ini ada yang sahih & ada yang tidak
* Kurang terkenal daripada kitab2 peringkat kedua
* Ulama' hadith tidak terlalu melazimi diri dengan hadith2 yang disebut dalam kitab2 ini tetapi tanpa disebut dalam kitab lain. (Hadith yang hanya ada satu riwayat iaitu dalam kitab tersebut)
* Ulama' tidak menilai kesahihan hadith2 di dalamnya

Peringkat keempat:
1. Musnad al-Firdaus
2. Musnad Ibn Abi Dunia
3. Musnad Abu Sheikh

Nota:
* Kitab2 hadith pada peringkat ini yang banyak menyebabkan salah faham manusia
(kerana menyebabkan manusia menganggap hadith yang maudhu' atau dhaif yg ada di dalamnya sebagai hadith sahih/hasan & dijadikan rujukan utama)
* Penulis2 kitab peringkat ini ingin mengkhususkan hadith2 yang tiada dalam kitab-kitab peringkat 1 & 2 di dalam kitab mereka

Peringkat kelima:
1. Hadith2 yang popular di lidah fuqaha', ahli sufi, sejarawan dan lain2.
2. Hadith2 di dalamnya 'laisa laha aslun' = hadith maudhu'

Kesimpulan:
* Kitab2 pada peringkat 1 & 2 adalah yang menjadi rujukan utama ulama' hadith.
* Kitab2 pada peringkat 3 tiada yang merujuknya melainkan ulama' yang terlalu handal dalam bidang hadith dan pengkritik hadith yang hebat tentang 'ilal hadith dan nama2 perawi. (Kerana mereka tahu membezakan antara sahih/hasan/dhaif/maudhu')
* Rujukan terhadap kitab pada peringkat 4 adalah tambahan daripada mutaakhirin (generasi2 baru) dan pegangan terhadapnya semata (tanpa merujuk kitab2 pada peringkat 1 & 2) adalah satu kesalahan.

Perkara penting yang perlu diambil perhatian:
Buat kita yang tidak banyak ilmu tentang hadith atau baru berjinak2 dengan hadith, maka kitab2 yang perlu menjadi rujukan utama kita adalah yang kitab2 pada peringkat 1 & 2, kerana majoriti hadith2 di dalamnya adalah sahih & hasan. Membahayakan seandainya kita yang kurang ilmu tentang hadith terus merujuk kitab2 peringkat selainnya.


* Sepanjang Julai *

Kuliah di Taman Sri Ukay

Rabu 16-7-08
Kuliah Aqidah by Ust Fathul Bari
After solat maghrib - isya'

Sabtu 19-7-08
Kuliah Tafsir by Dr Abdullah Yassin
10am-11.30am

Sabtu 19-7-08
Seminar Badan Seniman Paksi Rakyat by Dr Asri Zainul Abidin
12.00pm

Ahad 20-7-08
Kuliah Hadith by Dr Asri Zainul Abidin
10am-11.30am

Rabu 23-7-08
Kuliah by Ust Fadlan
After solat maghrib - isya'

Sabtu 26-7-08
Kuliah by Ust Arif Nazri
10am-11.30am

Rabu 30-7-08
Kuliah by Ust Arif Nazri
After solat maghrib - isya'

Surau Al-Muhajirin, Tmn Sri Ukay, Ulu Klang (near Adni Islamic School and Jalan Ampang)

Contact person: Mr Norman 019-2723960

Friday, June 5, 2009

* Rezeki dariNya *

Kepulangan Irham dari klinik itu serba sedikit mengecewakan. Kalaulah tiada insan lain yang memandang, sudah pasti berhamburanlah air mata membasahi bumi. Dan kalaulah tiada rasa redha yang memagari, pasti dia sudah menyalahkan Ilahi. Seketika hatinya terdetik,

“Salahkah aku jika mengandung buat kali kedua dalam keadaan anak sulungku masih menyusu...?”

Tidak, jangan persoalkan perkara ini wahai diri.. Yakinlah bahawa ketetapan Ilahi itu adalah sentiasa yang terbaik dan penuh dengan hikmah yang tersembunyi. Namun dia tidak mampu menafikan bahawa hatinya sedikit terkesan dengan kata-kata jururawat di klinik tadi,

“Lain kali lepas bersalin tu kena rancang elok-elok. Ni mesti kamu tak rancang. Tengok, kan dah jadi macam ni. Nanti nak salahkan siapa kalau anak kedua terabai...”

Aduh, peritnya hati tatkala ditusuk kata-kata berbisa itu. Sekali lagi hatinya bermonolog sepi. Tuhan sahaja yang tahu betapa dirinya telah banyak berkorban semata-mata untuk menyahkan perkataan ‘terabai’ dari kanvas perjalanan anak-anak. Kerjaya, masa muda, pelayaran ke alam mimpi... Ah, segalanya telah dia korbankan.. Hanya Tuhan yang Maha Mengerti perasaannya tika itu.

Perjalanan pulang ke rumah di dalam kereta suami sungguh tiada terasa... Tiada terisi. Benar-benar khali. Cuma sesekali jelingan Izdihar suaminya, dan rengekan Aysar menghiasi suasana yang tiada berwarna itu. Izdihar membisu seribu bahasa. Hanya senyuman tanda ‘aku sentiasa di sisimu’ yang dilontarkan buat Irham seketika mata mereka bertautan.. Tangannya pantas memainkan cakera padat bacaan al-Quran oleh adik Toha Bajunaid. Bukan tidak mahu
memujuk si isteri dengan untaian kata seribu bahasa, tetapi cukuplah bacaan al-Quran ini sebagai penenang dan penghibur hatinya... Bisik hati Izdihar sendirian.

Setibanya di rumah, Irham dan suami segera menunaikan solat dzuhur berjemaah. Dia tahu aktiviti solat berjemaah merupakan antara pengikat kasih sayang antara suami isteri, jua ia menjadi faktor hadirnya sakinah dalam atmosfera rumahtangga. Aysar seolah-olah memahami bahawa ummi dan walidnya perlu menunaikan kewajipan kepada Yang Maha Esa, kerana itu dia tidak banyak kerenah. Terlalu nyenyak tidur di dalam katil kecil miliknya itu. Riak wajahnya nampak tenang. Setenang hati ummi dan walidnya yang sedang asyik dalam munajat kepada
Tuhan sekalian alam.


Usai solat, mereka makan tengahari bersama sebelum Izdihar perlu kembali ke pejabat dek urusan yang masih tertangguh dan perlu diselesaikan seberapa segera.


“Abang ada beli VCD ceramah Ustadz Azim semalam. Abang letak kat atas VCD player. Ada masa Irham tengoklah ye. Nanti boleh cerita kat abang.”

Suara Izdihar memecah keheningan. Sebenarnya dia sudah menontonnya malam semalam, saat Irham terlebih dahulu memejamkan mata bersama Aysar. Namun, melalui kata-katanya, sengaja dia mahu Irham memahami bahawa dia belum menontonnya.


Selepas menghantar suami hingga ke muka pintu, Irham membersihkan dapur dan segera memasang VCD yang baru dibeli suaminya itu.
Matanya terpaku tatkala mendengarkan satu bahagian ceramah itu:

Segala-galanya kita perlu kembalikan kepada Allah. Barulah hati kita tenang untuk terima sesuatu. Ini tidak, macam-macam sangkaan yang tak berasas kita lontarkan. Contohnya, bila ada perempuan yang keguguran, dia sibuk pergi jumpa bomoh dan bomoh cakap kandungannya dimakan hantu. Orang sekeliling juga asyik beri pendapat sendiri yang sedikit pun tidak membantu untuk menenangkan hati perempuan tadi. Antara pendapat yang diberi:

“Tulah, kamu ni aktif sangat kot... Tu yang janin tak lekat..”

“Ini mesti ada orang yang dengki tengok kamu bahagia dengan suami. Mesti kamu dah kena ilmu hitam dia. Dia nak suami kamu cari perempuan lain lah tu, sebab tu kamu dari dulu asyik gugur je.”

“Dari mana le datang penyakit asyik gugur ni. Keturunan mak tak pernah ada pun yang keguguran kamu tau tak..”

“Lain kali kamu jangan suka duduk tepi tangga masa mengandung. Orang tua-tua kata tak elok, boleh gugur kandungan tu...”

Sungguh benar-benar sempit pemikran sebegitu. Nampak jelas bahawa tiada keyakinan bahawa segalanya telah Allah tetapkan. Dia memberi rezeki kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu, dan Dia juga yang menarik rezeki atau nikmat yang telah dikurniakan. Siapalah manusia ini untuk mempersoalkan takdirNya?

Cubalah mendidik diri untuk mengembalikan segala-galanya kepada Allah. Hati yang meminggirkan keyakinan kepada kuasa Allah pasti sering dihimpit keluh kesah. Jangan susah hati kalau kamu, terutamanya wanita-wanita, keguguran atau mengandung. Segalanya ada hikmah yang tersirat. Dan setiap yang berlaku ke atas kita, Allah tahu kamu punya kudrat untuk memikulnya.


Ya Allah... Ampuni aku seandainya sebelum ini aku seolah-olah tidak redha dengan anugerah kandungan ini. Beri aku kekuatan untuk terus menerus memiliki keyakinan yang kuat terhadapMu..

Baru kini hatinya mampu tersenyum lantas melupakan setiap kata manusia yang sering sahaja menanam sembilu di dasar hati.

اللَّهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْقَوِيُّ الْعَزِيزُ
Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan) dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

(As-Syura: 19)

* Banyaknya kunci... *


Al-Imam Ibnul Qoyyim rahimahullah berkata:

“Sesungguhnya Allah telah menjadikan bagi segala sesuatu kunci untuk membukanya, Allah menjadikan kunci pembuka shalat adalah bersuci sebagaiman sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam ‘Kunci shalat adalah bersuci’, Allah Subhanahu wa Ta’ala menjadikan kunci pembuka haji adalah ihram,


kunci kebajikan adalah kejujuran,



kunci surga adalah tauhid,



kunci ilmu adalah bagusnya bertanya dan mendengarkan,



kunci kemenangan adalah kesabaran,



kunci ditambahnya nikmat adalah syukur,



kunci kewalian adalah mahabbah dan dzikir,



kunci keberuntungan adalah takwa,



kunci taufik adalah harap dan cemas kepada Allah ‘Azza wa Jalla,



kunci dikabulkan adalah doa, kunci keinginan terhadap akhirat adalah zuhud di dunia,



kunci keimanan adalah tafakkur pada hal yang diperintahkan Allah, keselamatan bagi-Nya, serta keikhlasan terhadap-Nya di dalam kecintaan, kebencian, melakukan, dan meninggalkan,



kunci hidupnya hati adalah tadabbur al-Qur’an, beribadah di waktu sahur, dan meninggalkan dosa-dosa,



kunci didapatkannya rahmat adalah ihsan di dalam peribadatan terhadap Khaliq dan berupaya memberi manfaat kepada para hamba-Nya,



kunci rezeki adalah usaha bersama istighfar dan takwa, kunci kemuliaan adalah ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya,



kunci persiapan untuk akhirat adalah pendeknya angan-angan,



kunci semua kebaikan adalah keinginan terhadap Allah dan kampung akhirat,



kunci semua kejelekan adalah cinta dunia dan panjangnya angan-angan.


Wednesday, June 3, 2009

* Sekolah Baru *

Runsing bila memikirkan bagaimana saya mahu mengajar adik tentang sifat solat Rasulullah Shollallahu Alaihi Wasallam.. Bukan risaukan dia tidak mahu menerima [seperti sesetengah manusia] tetapi kasihankan dia, pasti timbul kekeliruan dan beribu persoalan dalam kepala. Di sekolah cara solat tidak diajar sebagaimana di rumah [bukan keseluruhan cara solat]. Maka apakah solusinya?

Entah mengapa ramai manusia, apabila dibentangkan di hadapan mereka setiap perkara yang dikatakan berkaitan agama [terutama soal ibadah], mereka terus menerima tanpa usul periksa, asalkan yang berbicara itu punya kopiah di kepala, punya nama di persada dunia. Kita sering lupa bahawa setiap dakwaan tentang agama itu memerlukan hujjah dari alquran & sunnah yang sahih. Tanpa kedua-duanya, hujjah itu nyata lemah. Namun alquran & sunnah tetap kuat meski manusia meminggirkannya.



Ramai manusia lupa tentangnya, boleh jadi kerana sedari kecil tidak dididik bahawa agama itu datang dengan hujjah. Kerana itu saya sentiasa berdoa pada Yang Maha Berkuasa, supaya dihadirkan di dunia ini manusia-manusia yang mampu membina institusi pendidikan yang mengajar agama Islam sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah Shollallahu Alaihi Wasallam kepada para sahabat rodhiyallahu anhum. Mungkinkah generasi kita ini yang bakal menjadi tenaga pengajar di situ? Wallahu a'lam.

Moga selamanya kita tidak akan lupa bahawa untuk mengembalikan kegemilangan umat ini, kita perlu membawanya kembali menelusuri jalan yang pernah dilalui para Salafus Soleh.