Saturday, October 24, 2009

* Catatan Ringkas *

Sekadar menyenaraikan sedikit pesanan daripada Ustaz Fathul Bari dalam kuliahnya pada minggu lepas yang bertajuk "Akhlak Mahasiswa Kian Tercemar". Buat kawan yang tidak dapat hadir tetapi sangat-sangat mahu hadir, mungkin boleh baca serba sedikit & manfaatkan.

MUQADDIMAH (saya tidak hadir dari awal kuliah, mungkin banyak yang tertinggal)

* Skop akhlak itu luas. Bukan sesama manusia sahaja, tetapi termasuk akhlak dengan Allah, Rasulullah Shollallahu 'Alaihi Wasallam dan juga para sahabat baginda. Bahkan akhlak kita kepada Allah yang akan menentukan bagaimana akhlak kita kepada manusia.

* Demi memiliki pemahaman yang baik tentang akhlak, konsep aqidah yang sahih perlulah dikuasai terlebih dahulu.

MASALAH YANG BIASA BERLAKU DI KALANGAN MAHASISWA

(1) Solat

- Antara alasan mereka (lelaki) yang tidak mahu solat berjemaah di masjid, mereka akan kata: "benda tu sunat je.." Namun mereka lupa bahawa Rasulullah pernah menyuruh Ibn Ummi Maktum yang buta untuk menghadiri solat jemaah di masjid, apalagi kita yang celik ini?

- Solat sepatutnya yang mengajar kita menahan diri dari membuat dosa.

- Sesiapa yang ada masalah dalam menunaikan solat di awal waktu, dia sedang mengalami masalah untuk menyusun waktunya.

- Mari kita (mahasiswa) fikirkan untuk membuat satu kempen yang mengajak orang beramai-ramai melakukan solat jemaah di masjid.

- Orang yang tidak mahu rapatkan saff solat, dia mempunyai masalah dalam hal kesatuan sesama muslim.

- Tetapi buat yang menghadiri solat jemaah, jangan pula dengan niat menunjuk-nunjuk.

- Juga bukan niat untuk mencari siapa yang tiada dalam solat jemaah tersebut (sibuk mencari kesalahan orang lain). Sabda Rasulullah SAW:

"Sekiranya kamu mencari-cari kesalahan (kelemahan) manusia, nescaya kamu akan merosakkan mereka, atau kamu hampir menyebabkan kerosakan mereka ". [HR Abu Daud : no.4888]

- Beza antara kita dengan orang kafir ialah solat. Jadi orang yang tidak bersolat, maka... (fikir sendiri)

- Tempat paling afdhal bagi wanita untuk menunaikan solat ialah di satu penjuru di dalam rumahnya. Jadi tak perlu bersusah payah dari bilik untuk bergegas ke masjid setiap kali waktu solat.

(2) Pergaulan

- antara adab berbicara: berkata yang baik atau diam. Sabda Nabi SAW:

" Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau berdiam ". [HR Al-Bukhari : no.5672]

- Jangan menggunakan perkataan kasar atau lucah.

- Nabi SAW melarang kita membuat cerita bohong dengan tujuan membuat orang ketawa.

- Nabi SAW juga bergurau, tetapi tentang perkara yang benar.

- Pesan Nabi SAW lagi: "Janganlah marah"

- Untuk orang yang berhadapan dengan orang yang marah, harus nasihatkan dia supaya sabar. Bukan melaga-lagakan dia dengan pihak yang dia marah itu. Kata Nabi SAW:

" Tidaklah kekuatan itu terletak pada pergaduhan, sebaliknya kekuatan itu terletak pada sesiapa yang dapat menahan dirinya di saat marah ". [HR Al-Bukhari : no.5763].

- Oleh itu, wahai para penceramah (agama atau politik atau motivasi), janganlah mengajak orang saling memarahi dan memusuhi, tetapi ajak mereka tenang dan bersabar.

- Jangan mengumpat. Haram.

- Subtopik: Batas pergaulan antara dua jantina

* Jaga pergaulan, terutamanya dalam pertubuhan-pertubuhan yang menyandarkan nama kepada Islam

* Islam meletakkan peringkat-peringkat supaya kita menjauhkan diri dari zina antaranya, Pertama: menahan pandangan (lelaki & wanita, termasuk yang berkopiah & berpurdah). Kedua: Jaga kemaluan, jaga kehormatan. Ketiga: Wanita jangan bertabarruj.

* Isu tutup aurat: TUTUP AURAT BUKAN TUTUP KULIT tapi termasuk tutup warna kulit & bentuk badan.

* Fitrah manusia: sukakan yang bertutup. Ganjilnya sifat orang hari ini, suka menayang isteri. Mereka lupa bahawa antara ciri-ciri dayus: kurang @ tidak cemburu pada isteri

* Tidak menutup aurat termasuk dalam bertabarruj.

* Tabarruj: Pakaian yang dipakai dengan tujuan perhiasan, bukan untuk menutup aurat.

* Perempuan tidak salah pakai yang berwarna. Islam tak larang. :)

* Orang lelaki sunnah pakai wangi-wangian. Pakailah semerbak macam mana pun...

* Perempuan pakai bau-bauan dengan tujuan untuk tutup bau busuk sahaja. Bukan untuk orang lain bau.

* Jangan tiru pakaian lelaki.

* Jangan pakai pakaian untuk nampak popular dan membawa kepada rasa megah.

* Jangan keterlaluan dalam make up.

KATA-KATA MEREKA & JAWAPAN PADA KATA-KATA ITU

Kata mereka: "Saya pakai cantik-cantik ni bukan dengan niat nak menunjuk pun..."
Jawablah: Niat itu ada keterikatan dengan amalan atau perbuatan. Kedua-duanya seiring.

Kata mereka: "Saya pakai cantik-cantik ni sebab Allah kan suka keindahan..."
Jawablah: Cantik pada pandangan Allah tidak sama dengan cantik pada mata manusia.

Kata mereka: "Apa salahnya kami berhias, fitrah wanita kan suka berhias..."
Jawablah: Benar, tapi fitrah wanita mukmin tidak sama dengan fitrah wanita fasiq. Wanita mukmin berhias untuk suami, wanita fasiq berhias untuk manusia keliling.

ANTARA FENOMENA IKHTILAT

- Bermesyuarat tanpa hijab
- Study group
- Tidak menjaga nada suara ketika bercakap
- Bercakap-cakap perkara yang tidak perlu
- SMS
- Bergayut di telefon
- YM

SOLUSI

- Kempen solat jemaah

- Kempen basmi ikhtilat

- Elakkan program yang membawa kepada ikhtilat

- buat program: Fesyen menurut sunnah

PESANAN

- antara penyakit kita: Suka anjur program tapi tak ambil manfaat dari program.

- Perempuan jangan terlalu berharap kepada lelaki. :)


Tuesday, October 20, 2009

* Wasiat untuk Adik *


Buat adikku sayang...

Khabar apa hatimu saat ini? Masihkah gundah gulana dengan kerikil-kerikil kecil yang dilontarkan pada perjalanan hidupmu? Harapanku moga dirimu kekal teguh meski hari-harimu dikunjungi hiba... Doaku agar jiwamu cekal tatkala malam-malammu dicengkam mimpi ngeri.

Adik,

jika engkau mahu mengenali bagaimana sebenarnya rupa sebuah kehidupan, maka ketahuilah bahawa apa yang sedang engkau alami itulah jawapannya. Tidak dinamakan kehidupan jika tiada kesusahan yang bertandang. Ujian dan dugaan itu pasti, namun usah bimbang... ALLAH pasti bersamamu dan menolongmu dalam mengatur hidup ini. Silih ganti antara susah dan senang itu bukanlah sekadar perhiasan dalam kehidupan yang tiada bermakna, bahkan ia perhiasan yang benar-benar mengindahkan lagi kisah hidupmu. Yang penting, bagi setiap kebahagiaan dan kedukaan yang hadir, ambillah pengajaran yang mengiringinya.

Usahlah memikirkan masa akan datang dengan meletakkan pelbagai anggapan-anggapan buruk padanya. Yakinlah bahwa hari esok pasti membawa sinar buatmu seandainya itu yang engkau mahu. Keyakinan yang terselit doa padanya pasti membawamu ke arah kejayaan. Usah gusar usah bimbang adikku. Andai kerisauanmu itu wujud kerana bimbangkan kegagalan, maka berusahalah dari saat ini agar ia tidak menjadi sebuah realiti. Dan andaikata gelisahmu itu hadir kerana takutkan sebuah perpisahan, maka ketahuilah satu perkara ini:
kita berpisah demi satu pertemuan yang lebih abadi.
Ya, kita berpisah kerana takdir menetapkan jalan perjuangan kita kepadaNYA tidak sehaluan. Namun, seandainya kita tetap teguh di atas jalan perjuangan ini, pasti destinasi kita adalah Firdausi yang sering melambai tika kita kelelahan. InshaALLAH.

Adik,

pagi ini kakak ke kuliah seperti biasa. Kakak seronok memerhatikan gelagat teman-teman yang terkocoh-kocoh datang ke kelas, namun tiba-tiba kakak terkejut melihat teman yang seorang ini. Baru beberapa hari lepas dia kehilangan bonda yang tercinta, jadi bagaimana dia masih mampu mengorak langkah menempuh hidup seperti biasa?
Rasa kagum mula terukir di hati. Andainya kakak berada di tempatnya, kakak tidak pasti apakah kakak masih bisa memujuk diri kembali ke universiti? Apatah lagi untuk melangkah ke kuliah?!



Dan tengahari ini, kakak ketemu dia di kafe, mencari makanan untuk bekalan jasad. Ya Allah, andaikan nasibku sepertinya, apakah aku masih punya kekuatan untuk mengangkat muka dan memandang hidup ini? Kerana bagiku dunia ini sudah tiada serinya. Mampukah aku mengekalkan rasa bahagia dengan takdirMu sekiranya dia yang aku kasihi telah Engkau jemput?

Adakala kita sendiri tertanya-tanya. Bagaimana dia mampu kekal tabah? Dari mana sumber kekuatan itu? Andai engkau berusaha mencari pasti engkau akan mengerti. Kekuatan itu dari Dia yang Maha Memberi. Dia lah pengatur hidup insani. Merayulah padanya agar dicekalkan hati. Kerana tanpaNYA dalam hati, nurani pasti mati.

Adik,

sorotilah kisah hidup mereka yang jauh lebih susah darimu. Usah menyimpan pendirian bahawa dalam dunia ini, 'nasib akulah yang paling malang'. Seketika tadi, saat kakak teringatkan teman itu, airmata kakak mengalir. Kakak sendiri tidak pasti mengapa kakak terlalu sedih. Mungkin kerana kasihan. Mungkin juga airmata ini 'mewakilinya' meleraikan kesedihan.


Ayuh teruskan hidup ini di bawah pimpinanNYA, ALLAH yang dirindui.


Friday, October 2, 2009

* Kiriman Cintaku Pada ALLAH *


Bait-bait cinta ini sampai kepada saya melalui jalan yang terbina dari lidah salafus soleh yang menjunjung sunnah, mereka yang dipercayai dan tiada keraguan pada keimanan yang mekar dalam hati mereka.

Sungguh-sungguh alangkah indah. Ia diajarkan untuk kita. Tidak mahukah kita menerimanya? Jiwa insan yang sihat pasti tidak akan sesekali menolak atau berpaling dari perkara yang akan membahagiakannya.


Ayuh amalkan.



Kiriman pertama:

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ

وَالْمَغْرِبِ اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنْ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ

الْأَبْيَضُ مِنْ الدَّنَسِ اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ

وَالْبَرَدِ

“Ya Allah, jauhkanlah aku dari dosa-dosaku,

sebagaimana Engkau telah jauhkan timur dari barat;


Ya Allah sucikanlah aku daripada dosa-dosaku,


sebagaimana baju putih dibersihkan daripada kekotoran;


Ya Allah bersihkan dosa-dosaku dengan air dan salji dan kesejukan”


(Sahih Bukhari 3/ 187)

* Doa di atas ini Rasulullah Shollallahu Alaihi Wasallam baca selepas mengangkat takbir & sebelum memulakan bacaan dalam solat.


Kiriman kedua:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا

أَعْلَنْتُ وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي أَنْتَ الْمُقَدِّمُ

وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ



“Ya Allah, ampunilah [dosa-dosa] ku,

apa yang telah lalu,

dan apa yang akan berlaku,

dan apa yang aku lakukan dalam diam-diam,

dan apa yang aku lakukan secara terang-terangan,

dan apa yang berlebih-lebihan,

dan apa yang Engkau tahu tentang dosa-dosaku [yang aku tidak tahu]

Engkaulah yang mendahului dan mengakhiri

Tiada Tuhan melainkan Engkau”


(Sahih Muslim 4/ 169)


* Doa di atas ini Rasulullah Shollallahu Alaihi Wasallam baca selepas tahiyat akhir dan sebelum memberi salam.



Aduhai.... Betapa malang diriku yang adakala terlupa akan cinta yang maha hebat dan teragung ini.

Ingin mengembara setia di sisiNya.