Friday, June 24, 2011

* Keangkuhan Lebih Menguasai *

Bismillah.

KULIAH

Ketika menonton video-video agama dari Syeikh Muhammad al-Arifi di Youtube, hati mula teringat akan kuliah-kuliah di Taman Ilmu dan Budi (IIUM) terutamanya kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Radwan Jamal. Saya menaip nama beliau di ruangan search di Youtube, mencuba nasib kalau-kalau kuliahnya ada dimuat naik, tetapi hampa. Rindunya saya rasakan untuk mendengar dan merasai suasana kuliah agama (dalam bahasa Arab). Mudah-mudahan masih ada peluang untuk menghadirinya lagi satu hari nanti. Insha Allah.

Apabila berbicara tentang Ustaz Radwan, pastilah subjek yang diajarnya (al-I'jaz al-Qurani) antara perkara yang terlintas di kepala. Lantas saya membelek-belek semula buku yang kami guna untuk subjek tersebut. Rindu pada dunia pengajian semakin menyengat tatkala mata ini singgah pada setiap helaian buku itu.




GOLONGAN KEDUA

Teringat akan entri saya setahun yang lepas, Hati Terbang yang berkisar tentang salah satu jenis i'jaz Quran iaitu i'jaz ta'thiri/nafsi. (Sila rujuk entri tersebut untuk mengetahui maksud i'jaz ini). Sesungguhnya apabila mendengar bacaan al-Quran, manusia itu terbahagi kepada 2 golongan:

1) yang semakin bertambah imannya

2) yang semakin bertambah kedegilan dan kekerasan hatinya

Jika dalam entri terdahulu, saya membawa satu contoh untuk golongan pertama, kali ini saya akan membawa contoh dari golongan kedua pula.

Kisah-kisah pada zaman Rasulullah sollallahu alaihi wasallam sering sahaja kita dengar atau baca, akan tetapi entah mengapa setiap kali diperdengarkan, hati pasti terusik, sebagaimana kami (pelajar Ustaz Radwan) terkesima tatkala Ustaz menceritakan kisah pengislaman Saidina Umar RA, dan juga kisah Ashabul Kahfi. Subhanallah, kisah yang terlalu meruntun jiwa dan seolah-olah kami dibawa ke zaman itu dan menghayatinya. Aduhai betapa hati ini tidak mahu pulang daripada menerawang ke alam penghayatan itu!

Contoh bagi golongan kedua adalah Abu Jahal, Abu Sufyan dan al-Akhnas bin Syuraiq. Pada satu malam, ketiga-tiga mereka ini pergi ke rumah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam untuk curi-curi mendengar bacaan alQuran oleh baginda yang ketika itu menunaikan solat malam. Namun setiap seorang dari mereka tidak menyedari bahawa mereka tidak bersendirian ketika itu kerana mereka pergi secara berasingan dan ia bukan rancangan bersama.

Ketika fajar menyinsing, mereka mula pulang dan bertembung antara satu sama lain di satu jalan. Ketika itu, mereka saling mencela dan memberi peringatan agar jangan mengulangi perbuatan tersebut (ke rumah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam untuk mendengar bacaan alQuran). Mereka juga risau akan mendapat malu jika suku kaum mereka terlihat perbuatan mereka.

Namun malam seterusnya, mereka secara diam-diam tetap mengulangi perbuatan itu, dan begitu jugalah pada malam yang ketiga. Akhirnya, mereka membuat perjanjian untuk tidak lagi mengulangi perbuatan itu. Mereka saling bertanya pendapat masing-masing tentang ayat alQuran. Mereka mengakui apa yang dibacakan oleh Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bukanlah kata-kata manusia, tetapi kata Abu Jahal, meski di kalangan mereka ada nabi yang menrima wahyu dari langit, selamanya mereka tetap tidak akan beriman.

Perbuatan mereka yang secara diam-diam ke rumah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam sebenarnya membuktikan bahawa mereka benar-benar ta'ajjub dengan ayat alQuran, malah jiwa mereka turut terusik. Akan tetapi, keangkuhan dan kedegilan lebih menguasai lantas bertambahlah kekufuran dalam diri mereka, dan kerana itu jalan menuju hidayah Allah semakin jauh dari mereka.

Wallahua'lam.

Monday, June 20, 2011

* 4.24pm, 11 Jun 2011 *

Bismillah.

Alhamdulillah aku kini bergelar seorang ibu. Sudah seminggu lebih si kecil itu lahir namun terasa baru semalam ia berlaku.

Pagi 10 jun itu, aku ke hospital untuk extra appointment. Extra kerana sudah terlebih due date. Bila bertemu doktor, aku katakan padanya bahawa cuti suami hampir habis tapi baby ini masih tidak mahu keluar menjengah dunia. Lantas doktor menyuruh aku masuk ke wad pada jam 6petang, dan doktor akan memasukkan pil. Pil untuk mempercepatkan proses bersalin, barangkali.

Tiba sahaja di rumah, ada darah yang keluar, antara tanda baby mahu lahir. Tanpa menunggu jam 6petang, aku dan suami terus ke hospital semula. Aku dimasukkan ke bilik bersalin dan nurse memasang mesin di badanku, untuk memeriksa denyutan jantung baby dan juga untuk melihat kalau-kalau contraction sudah berlaku.

Kata nurse, contraction memang ada namun masih belum kuat, jadi aku diminta tinggal di wad dan waktu untuk memasukkan pil ditangguhkan ke pukul 11malam. Hatiku sudah mula berdebar. Andai diikutkan perasaan, mahu juga aku menangis. Entahlah kenapa, tapi tiap kali melihat muka suami yang menemani, aku jadi sebak... Aku takut seandainya dosa-dosaku pada suami akan menyebabkan aku sukar bersalin. Dan malam itu kami tidak banyak bercakap, tetapi lebih banyak membaca zikir-zikir untuk menenangkan hati dan juga untuk melegakan kesakitan. Aku minta suami mengampunkan segala dosaku padanya dan doakan agar segalanya mudah... Dan kepada Allah juga aku bermunajat agar mengampunkan dosa-dosaku, seandainya sakit bersalin itu akan menghapuskan segala 'kekotoran' diriku, aku redha.

Jam sudah menunjukkan 11 malam dan aku semakin takut... Tetapi nurse memberitahu bahawa ia ditangguhkan lagi ke pukul 7 pagi esok. Kerana contraction semakin banyak dan mungkin aku tidak perlu dimasukkan pil. Pastinya tidurku tidak lena. Bermula jam 4pagi, sakit perutku semakin kuat dan kerap. Akhirnya nurse mengatakan aku tidak perlu pil, tetapi doktor menasihatkan aku untuk banyakkan berjalan.

Dalam pukul 9pagi aku diminta pergi ke wad bersalin. Di situlah bermulanya proses melahirkan anak ini. Sakitnya yang kurasakan. Kata nurse, itu baru sedikit kerana rahimku masih belum terbuka luas. Aku banyak berbual dengan nurse di situ, suami hanya menemani di sisi sambil sekali-sekala membuka lembaran alquran. Nurse mencadangkan agar aku mengambil suntikan epidural, iaitu suntikan untuk menahan sakit. Kata nurse, aku kelihatan seperti tidak dapat bertahan dengan sakit yang ada. Suami bersetuju dan aku pun menandatangani surat tanda turut setuju.

Zuhur sudah menjengah dan kini rahimku sudah 6cm terbuka. Nurse mengajarku cara untuk push dan katanya cara aku push itu betul dan andai consistent begitu, boleh jadi dalam pukul 2petang aku sudah boleh bersalin. Namun entah mengapa bukaan seakan tidak mahu melebar. Setakat 6cm ++ dan tidak sampai 7cm. Hampir pukul 4petang, nurse menelefon doktor dan mengatakan najis bayi sudah keluar, maka diminta persetujuan doktor untuk menjalankan pembedahan secara caesar kepadaku.

Saat telinga ini mendengar perkataan caesar, aku benar-benar seperti hendak pitam. Bibirku terasa pucat. Tidak pernah sekali pun terlintas bahawa aku tidak dapat bersalin secara normal. Aku memandang suami sambil menahan tangisan. Apabila disebut caesar, yang hadir dalam benakku hanyalah kesakitan, anak setakat 3 orang, pantang perlu lama lantas rancanganku untuk mengajar anakku sedari umurnya baru lahir akan terbantut, dan pelbagai lagi perkara negatif yang lain. Aku cuba menenangkan hati dan menerima ketentuan Allah. Aku memujuk diri dengan mengatakan inilah yang terbaik. Yang penting saat ini, baby perlu dikeluarkan dengan segera sebelum dia memakan najisnya sendiri. Na'udzubillah.

Sebelum ke bilik pembedahan, suami menenangkanku dan mencium dahiku. Hampir meniik airmataku namun kutahankan jua. Aku harus kuat demi anak ini. Ya Allah, mudahkanlah urusanku dan selamatkanlah anakku....

Aku sedar sepanjang dibedah kerana bius cuma separuh badan. Dalam tempoh kurang 30 minit, kedengaran tangisan anakku. Ya Allah, syukurku padamu. Anakku selamat keluar dari perutku pada pukul 4.24petang. Tersentuh jiwaku mendengar tangisannya namun badanku lemah. Aku menggigil dengan agak teruk. Kesan ubat bius agaknya. Baby dibawa kepadaku dan aku menciumnya. Aku tidak dapat memeluknya dalam keadaan ku yang sedang dijahit. Baby terus dibawa ke nursery untuk dimandikan dan dipasangkan warmer kepadanya.

Segala puji bagi Allah yang menghadiahkan anak ini kepadaku dan suami.

Namun hatiku masih teringat akan kata-kata doktor ketika aku dibedah. Katanya tulang pelvis aku sempit, kerana itu baby tidak dapat keluar. Kerana itu, aku dinasihatkan agar jangan mencuba untuk bersalin secara normal untuk anak yang seterusnya kerana amat bahaya.

Aku agak sedih kerana mungkin aku tidak dapat melahirkan zuriat yang ramai sehingga 6, 7 orang... Namun kata suami, memandangkan aku tidak dapat bersalin normal, bukan kuantiti yang penting baginya, tetapi kualiti. Ya, meski kemungkinan besar jumlah anak kami tidak ramai, akan tetapi kami akan memberi didikan terbaik untuk mereka. Allah Maha Mengetahui. Mungkin kami tidak mampu menjaga anak yang ramai dan kerana rahmatNya, inilah yang ditetapkan. Dan banyak lagi hikmah yang terselindung yang setakat ini masih tidak diketahui.

Untuk anak yang seterusnya, berapa tahun lagikah perlu aku tunggu? 3 tahun? 5 tahun? Entahlah, biar luka jahitan ini sembuh dahulu dan segalanya aku serahkan pada Allah....



Wednesday, June 1, 2011

* THIS *



Me like this picture so much.