Tuesday, August 31, 2010

* Harapan Mendiami Syurga Hakiki *

Bismillah.

FACEBOOK

Ada apa dengan facebook? Terlalu banyak jawapan yang boleh diberi. Kebenaran, kebatilan, dakwah ke arah kebaikan, dakyah kepada agenda musuh, segalanya tersedia ada. Hanya tinggal keinginan di hati, mahu kebaikan atau kebaikan, buatlah pilihan berbekalkan akal yg sempurna. Kali ini bukanlah saya ingin bercerita panjang tentang Facebook. Siapa tidak tahu tentang facebook? Makcik-makcik di taman perumahan saya sendiri memiliki akaun di laman web itu.

Jadi saya yang tidak berapa punya pengetahuan tentang latar belakang Facebook tidaklah mahu berbicara soal itu. Namun saya ingin menyentuh tentang satu perkara yang ada kaitan dengannya, iaitu: status.

STATUS

Status di sini bukanlah bermaksud status tentang relationship yang kita ada, tetapi tentang ayat-ayat yang bermain di fikiran kita dan ingin kita kongsikan bersama kawan-kawan lain di laman itu. Status-status yang ada bisa sahaja mengundang pergaduhan, penghayatan, keinsafan & pelbagai lagi respon terhadapnya. Saya di sini ingin berkongsi setakat yang saya tahu tentang satu status (dan status lain yang sewaktu dengannya) serta perbincangan tentangnya.

Panjang sungguh muqaddimah saya sebelum sampai ke intipati. Secara ringkas, saya sekadar ingin menyatakan kehairanan tentang status yang meluahkan keluhan sesetengah jiwa manusia yang merasa bersalah tatkala ia menginginkan balasan syurga di akhirat kelak. Mengapa sampai demikian? Benarkah ada silapnya apabila hati kita ini menginginkan diberi balasan syurga oleh Allah?

IKHLAS

Saya dapati sesetengah manusia merasa bersalah tatkala melakukan amal ibadat dengan mengharapkan syurga Allah. Kata mereka, amalan yang disertakan keinginan untuk masuk ke syurga adalah tidak ikhlas. Saya tahu ada sesetengah kelompok manusia yang mengatakan bahawa jika kita inginkan maqam atau kedudukan yang tinggi di sisi Allah, maka seharusnya kita membebaskan diri dan hati daripada mengharapkan syurga, sebaliknya mengharapkan kasih sayang Allah SWT semata.




Saya tidak berapa arif tentang kelompok manusia ini, akan tetapi saya yakin bahawa mereka (atau idea ini) wujud kerana saya sering bertemu manusia-manusia seperti ini, dan antara buktinya, status di Facebook tentang cemuhan terhadap diri yang merasa berdosa apabila mengharap syurga.

Penuh kehairanan jadinya. Adakah mereka ini menganggap bahawa apabila amalan itu disertakan pengharapan terhadap syurga, maka ia dikategorikan sebagai tidak ikhlas kerana Allah Ta'ala? Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ikhlas? Syaikh Ibn Uthaymeen rahimahullah pernah ditanyakan tentang makna ikhlas, dan secara ringkas, jawapannya:


Ikhlas kepada Allah subhanahu wata’ala maknanya seseorang berharap melalui ibadahnya tersebut untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah subhanahu wata’ala dan mendapatkan keredhaanNya.

(Fatwa-Fatwa Terkini Jilid 1, penerbit Darul Haq.)

Dan untuk lebih memahami, kita lihat apakah antonim bagi perkataan ikhlas dan siapakah yang termasuk dalam golongan yang tidak ikhlas ketika melakukan ibadah. Kata Syaikh Ibn Uthaymeen rahimahullah lagi, perbuatan itu tidak lagi dianggap ikhlas apabila ia dilakukan untuk mengharap pujian orang ramai, atau secara ringkasnya, riyak (ingin menunjuk-nunjuk) atau sum'ah (agar tersebar berita tentang hal dia beribadah lantas mendpat pujian).

Nah, kita jelas kini bahawa mereka yang melakukan ibadah kerana mengharapkan ganjaran dari Allah (syurga) nyata tidak sama dengan mereka yang beribadah kerana riyak atau sum'ah. Dan andai kita fikirkan sejenak, kelompok manusia tadi mengatakan kita perlu beribadat semata-mata kerana mengharap kasih sayang Allah, bukan kerana syurga, tetapi bukankah apabila kita mengharap ganjaran syurga tatkala beramal, bererti kita juga mengharap kasih sayang Allah? Kerana Syurga adalah tempat khas yang Allah sediakan buat hamba-hamba yang Allah kasihi. Apakah kita ingin mengatakan bahawa hamba yang berjaya meraih cintaNya akan turut dihumban ke dalam neraka?

AJARAN ALQURAN & ASSUNNAH

Yakinlah, bahawa mengharap syurga ketika beramal adalah berasaskan ajaran dari alQuran dan asSunnah. Saya akan bawakan beberapa ayat alQuran serta hadith yang terkandung ajaran tentang meletakkan pengharapan terhadap ganjaran syurga Allah.

Ayat alQuran:

1) Firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Dan bersegeralah kamu semua menuju keampunan daripada Tuhanmu dan juga menuju syurga yang luasnya seluas langit-langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang bertaqwa. (Ali ‘Imran: 133).

Ayat ini menerangkan bahawa syurga itu adalah untuk orang-orang yg bertaqwa, dan Allah menyatakan dalam firmanNya yang lain bahawa Dia mengasihi orang yang bertaqwa. (Rujuk: Surah Ali ‘Imran: 76 dan al Taubah: 4 & 7).

Inilah bukti bahawa Syurga itu adalah tempat mereka yang dikasihi Allah. Dan di sebalik keinginan untuk ke Syurga, terselit pengharapan untuk berada di tempat hamba-hamba yang dikasihi Allah.

2) Firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka bagi mereka syurga-syurga sebagai tempat mereka kembali. (al Sajdah: 19).

Ayat ini dengan terang menyatakan bahawa tempat kembali orang yang beriman dan beramal soleh adalah syurga, lantas patutkah kita mengatakan orang yang mengidamkan syurga sebagai tempat kembali adalah mereka yang bermaqam atau berkedudukan rendah?

Malah terdapat juga hadith-hadith yang mengajar kita agar meminta diberikan syurga oleh Allah:

1) Sabda Rasulullah SAW kepada para sahabat ketika suasana peperangan: ‘Apabila kamu meminta kepada Allah, mintalah al Firdaus, sesungguhnya ia adalah syurga di tengah-tengah dan syurga yang paling tinggi. (al Bukhari: no. 2790)

2) Ketika seorang lelaki ditanya oleh Rasulullah SAW tentang doanya di dalam solatnya, beliau berkata: aku bertasyahhud dan aku berkata, ya Allah, aku memohon kepadaMu syurga dan aku mohon perlindungan kepadamu daripada neraka. Aku tidak pandai memohon apa yang engkau (Rasulullah) dan Muadz (Ibn Jabal) pohon. Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Itulah yang kami pohon’. (Muslim: no. 1122)

Kerana itu, wahai pembaca sekalian, usahlah mencemuh diri tatkala merasakan keinginan untuk diberi ganjaran syurga timbul dalam diri saat beramal. Malah, perbanyakkanlah doa agar diberi ganjaran Syurga di akhirat kelak. Kita cuma ada dua pilihan, samada syurga atau neraka. Mustahil kita inginkan adzab neraka! Namun, jangan lupa bahawa destinasi akhir kita ditentukan oleh amalan kita di dunia. Jika inginkan Syurga, lakukanlah amalan2 yang akan membawa kita ke syurga. Teringat saya akan kata-kata seorang Ustadz ketika iftar di Shah Alam beberapa hari lepas:


"Kita ingin kaya dan ada rumah besar di dunia ini, sepatutnya kita juga perlu ada kemahuan untuk lebih kaya di akhirat kelak!" (Diberi nikmat syurga yang berganda-ganda mewah dan indah daripada apa yang ada di dunia ini.)


Wallahua'lam.


Rujukan:

http://fatwaulama.wordpress.com/2007/01/10/makna-ikhlas/
http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/41


Saturday, August 21, 2010

* Arasy ar-Rahman *

LUPA!

Terkilan, baru sahaja beberapa bulan meninggalkan alam degree, sudah terlalu banyak pelajaran yang semakin luput dari kepala. Sesuatu yang sangat memalukan & paling penting, merugikan! Kerana segala yang saya pelajari itu adalah tentang Islam (bidang Quran & Sunnah), satu-satunya ilmu yang bakal kita bawa sepanjang perjalanan hingga ke Akhirat kelak.

Kerana itu saya cuba mengingatkan kembali antara perkara-perkara yang telah saya pelajari & mahu saya kongsikan. Oleh kerana ketiadaan buku-buku pelajaran itu bersama saya waktu ini, maka boleh jadi terdapat kekurangan atau kesalahan dalam entri ini. Buat yg lebih mengetahui, minta betulkan atau tegur andai terdapat kesilapan.

QURANIYYUN

Untuk semester panjang terakhir saya untuk degree, salah satu subjek yang saya pelajari ialah Ittijahat Hadithah fi Dirasat as Sunnah atau Modern Trends in Studying the Sunnah. Untuk subjek ini, fokus utamanya adalah mengenali puak-puak atau gerakan tertentu, bagaimana metodologi mereka dalam memahami Sunnah juga kefahaman mereka terhadap beberapa isu agama.

Sebagai contoh, Quranniyyun. Secara ringkasnya, golongan ini adalah yang mendakwa bahawa hadith-hadith Nabi Shollallahu 'Alaihi wa Sallam tidak boleh dijadikan hujjah dalam beramal dan alQuran satu-satunya sumber yang mereka rujuk. Alasan mereka, kerana hadith-hadith direkod atau disusun bukan pada zaman Rasulullah Shollallahu 'Alaihi wa Sallam dan itu adalah tanda bahawa hadith-hadith yang ada sekarang ini tidak ada yang dapat dipastikan kesahihannya. Dakwaan ini tidak benar sama sekali kerana sebagaimana yang kita tahu & mungkin pelajari, ulama' hadith telah meletakkan disiplin ilmu yang sangat teliti dalam menilai taraf setiap hadith.

Namun terdapat banyak lagi pecahan di bawah golongan ini dan setiap satu itu membawa metodologi yang berbeza-beza. Satu-satunya persamaan antara pecahan itu adalah, mereka menolak sunnah sebagai sumber untuk memahami agama.

ARASY ALLAH

Kefahaman yang menyeleweng telah menyebabkan mereka tersilap dalam memahami sebahagian besar isu agama terutama dalam soal aqidah. Antaranya, dakwaan mereka terhadap arasy Allah. FirmanNya:

Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy. (Toha: 5)

Mereka mendakwa bahawa Arasy Allah itu hanyalah majaz dan ia bukan perkara hakiki yang memiliki bentuk fizikal (tetapi ia antara perkara ghaib, seperti syurga yang ada bentuk dan sifat-sifatnya). Ulama' ahlus sunnah wal jama'ah telah menolak pendapat ini dengan mengemukakan beberapa dalil:

* Arasy mempunyai wazan @ berat.

Zikir yang diajar oleh Rasulullah Shollallahu 'Alaihi wa Sallam:

سُبْحـانَ اللهِ وَبِحَمْـدِهِ عَدَدَ خَلْـقِه ، وَرِضـا نَفْسِـه ، وَزِنَـةَ عَـرْشِـه ، وَمِـدادَ كَلِمـاتِـه

Maksudnya: Maha suci Allah dan aku memujiNya, sebanyak makhluk ciptaanNya, keredhaan dirinya, seberat timbangan Arasy dan sebanyak tinta kalimahNya. [1]

* Arasy didukung oleh malaikat-malaikat tertentu.

Lagi zikir dari Rasulullah Shollallahu 'Alaihi wa Sallam:

اللّهُـمَّ إِنِّـي أَصْبَـحْتُ أَُشْـهِدُك ، وَأُشْـهِدُ حَمَلَـةَ عَـرْشِـك ، وَمَلائِكَتِك ، وَجَمـيعَ خَلْـقِك ، أَنَّـكَ أَنْـتَ اللهُ لا إلهَ إلاّ أَنْـتَ وَحْـدَكَ لا شَريكَ لَـك ، وَأَنَّ ُ مُحَمّـداً عَبْـدُكَ وَرَسـولُـك


Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya pada pagi ini aku mempersaksikan kepadaMu dan aku mempersaksikan malaikat yang memikul arasyMu, malaikat-malaikat dan semua makhlukMu bahawa sesungguhnya Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, Yang Esa tidak ada sekutu bagimu dan sesungguhnya Nabi Muhammad adalah hamba & rasulMu. [2]

* Nabi menerangkan kedudukan Arasy.

إذا سألتم الله فاسألوه الفردوس فإنها وسط الجنة و أعلاها و فوقها عرش الرحمن و منها تفجير أنهار الجنة

Maksudnya: Jika kalian meminta daripada Allah, mintalah (supaya dimasukkan dalam) alFirdaus, sesungguhnya ia di tengah-tengah syurga, dan ia adalah syurga tertinggi, di atasnya terletak Arasy ar-Rahman, dan daripadanya terpancar sungai-sungai syurga. [3]

* Arasy pernah bergegar kerana kematian seorang sahabat.

اهتز عرش الرحمن لموت سعد بن معاذ

Maksudnya: Arasy telah bergegar kerana kematian Sa'ad bin Mu'adz. [4]

Hadith-hadith inilah yang membuktikan bahawa Arasy Allah itu wujud dalam bentuk fizikal, bukan sekadar majaz seperti yang didakwa golongan Quraniyyun. Masih ada beberapa dalil lagi yang berkaitan, tetapi setakat ini sahaja yang mampu saya selitkan di sini. Moga kita tidak tergolong bersama insan-insan yang menolak kehujjahan sunnah sebagai sumber agama Islam, dan mudah-mudahan kita ini adalah hambaNya yang sentiasa berusaha mengamalkan ajaran agama lantas mengembangkannya. Amin.


Nota kaki:

[1] HR Muslim (4/2090).
[2] Riwayat Abu Daud (4/317), al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad no. 1201, kata Ibn Baz: sanad Abu Daud hasan.
[3] Sahih Ibn Khuzaimah, kata al-Albani dalam Takhrij Kitabus Sunnah hal. 581: hadith ini sahih.
[4] HR Bukhari no. 3803.


* Promoting an Excellent Service *


Bismillah.

Buat sesiapa di luar sana yang memerlukan khidmat terjemahan, proof-reading, dan editing dalam English, silalah ke laman web ini. :)




p.s.: Ia servis milik seorang kawan baik saya. ^___^ (I am proud of u! All the best!)



Friday, August 13, 2010

* Sharing a True Story *

Bismillah.

Saya usai membaca & menjelajah blog ustaz Abdullah Bukhari (pensyarah IIUM) dan ada satu entri daripada beliau yang sangat2 menarik perhatian saya & saya rasakan ia amat penting utk saya kongsikan di sini. Tentang bagaimana keluarganya dan hartanya dipelihara Allah ketika rumahnya dipecah masuk. Apakah rahsianya???

Klik sini.

Saturday, August 7, 2010

* Utusan dari Borneo *


Bismillah.

Ini pertama kali saya menulis setelah bergelar seorang isteri. Alhamdulillah. Juga pertama kali saya menulis ketika berada di kepulauan Borneo ini. Setiap hari hati merindu keluarga & sahabat2 di semenanjung, terutama sahabat UIA. InshaAllah kita pasti ketemu lagi.

Mungkin penulisan kali ini tidaklah terlalu ilmiah. Sekadar laporan tentang pemerhatian awal sebagai seorang isteri, juga sebagai seorang yg -bolehlah dikatakan- berada di perantauan. Hati agak terkilan kerana buku-buku kesayangan saya tidak dapat saya bawa bersama ke bumi kenyalang ini. Semuanya gara-gara jumlah berat yg terhad utk menaiki kapal terbang. Kerana itu juga saya tidak dapat menulis tentang input-input berguna. Almaklum, segala ilmu masih belum melekat di kepala, tetapi dalam catatan juga penulisan.

PENGAKHIRAN JUGA PERMULAAN

Most endings are beginnings as well. Itulah kata-kata yg saya temui dalam satu blog. Benar. Setiap pengakhiran itu boleh jadi (dan biasanya) adalah satu permulaan. Begitulah situasi yg saya alami kini. Pengakhiran zaman bujang saya merupakan satu permulaan ke alam perkahwinan. Pengakhiran degree saya merupakan permulaan pencarian ilmu di tahap yg lebih tinggi. (InshaAllah saya akan menyambung ke peringkat Master namun masih belum ada waktu yg sesuai.)

Kehidupan sekarang mengajar saya untuk banyak bersabar. Satu perkara yg saya sering terfikir dan telah menimbulkan bibit-bibit kesyukuran di hati,

"bagaimana agaknya kita akan mampu hadapi hidup ini dengan ketenangan dan kesabaran tatkala ujian melanda seandainya kita tiada pengetahuan tentang Islam?"

Ya, kerana Islam yg mengajar kita erti kehidupan, mendidik sebuah kesabaran, juga memberi penyelesaian kala kebuntuan. Lalu bagaimana orang yg tiada hubungan baik dengan Allah akan meneruskan hidupnya dengan berbekalkan sebuah keredhaan dalam hati khususnya ketika menghadapi tekanan demi tekanan?

Alhamdulillah Allah telah memilih kita sebagai manusia-manusia yg mempunyai fahaman tentang agama. Yang mampu memahami bahawa kehidupan ini benar-benar Allah jadikan sebagai tempat untuk menguji siapakah hambaNya yang paling baik amalannya. Dan syukur hanya kepada Allah yang telah memberi kita AlQuran juga asSunnah, yang mengajar kita untuk memandang hidup ini dengan persepsi Islami. Allah mengajar kita amalan-amalan yang mampu memberi ketenangan di sanubari.

WANITA HAMPIR DENGAN TUHANNYA

Saya terjumpa hadith ini di facebook kak Ili:

Nabi shallallahu 'alayhi wa sallam berkata : "Wanita itu aurat, jika dia keluar maka syaitan akan memandangnya, dan seorang wanita itu paling hampir dengan Tuhannya sekiranya dia berada tetap di dalam rumahnya." (Diriwayatkan oleh Ibn Hibban, Ibn Abi Syaibah, Ibn Khuzaimah dan al-Tabarani. Al-Haithami berkata : Perawi-perawinya dipercayai)

Pertama kali terbaca, saya berasa sungguh gembira, terutama ayat yg terakhir: seorang wanita itu paling hampir dengan Tuhannya sekiranya dia berada tetap di dalam rumahnya. Saya yang kini bergelar surirumah sepenuh masa, benar-benar merasakan apa yang disebut dalam hadith ini.

RATAPAN HATI NAN INDAH

Saya ingin mengakhiri penulisan kali ini dengan berkongsi satu doa yang indah:

Ya ALLAH, aku memohon:

* kata-kata yang benar semasa redha dan ketika marah
* kesederhanaan semasa senang atau susah
* nikmat yang tidak berkurangan
* zuriat yang sejuk dipandang mata dan tidak akan putus
* keredhaan selepas ditakdirkan sesuatu terjadi
* kehidupan yang baik selepas mati
* kelazatan melihat wajahMu
* kerinduan untuk bertemu denganMu tanpa kesusahan yg memudaratkan & fitnah yg menyesatkan
* hiasi kami dgn perhiasan iman
* jadikanlah kami orang yg memimpin kepada kebaikan dan yg mengikut kebenaran

Petikan doa dari hadith riwayat an nasa'i (3/54-55), Ahmad (4/364).