Wednesday, March 31, 2010

* Please Take Your Seat *


DARI KAMPUNG MANA?

Makan sambil berjalan... Minum sambil berdiri... Apa yang tidak kena? Andai mata dan hati memandang perkara itu kurangnya pada adab semata, maka ketahuilah bahawa anda silap. Kerana makan & minum sambil berdiri (apatah lagi berjalan) tidak sepatutnya diamalkan seandainya kita memiliki pengetahuan tentang sunnah nabi shollallahu alaihi wasallam dan juga secebis informasi berkenaan kesihatan. Teruskan membaca untuk menyingkap rahsia! [bukan untuk berlama-lama di blog ini, tetapi untuk faedah sendiri, inshaALLAH].

Telah beribu tahun pesanan ini dituturkan, namun hingga kini entah mengapa ia masih asing, masih kurang menjadi pengamalan umat manusia. Betapa kita ini sebenarnya masih jauh dari mendalami sunnah-sunnah baginda shollallahu alaihi wasallam. Mudah-mudahan pengajian dalam kelas formal atau tidak formal tentang hadith tidak akan membeku di dalam minda atau catatan semata, malah akan disampaikan, secara lisan mahupun tulisan, amin.

Pesan nabi shollallahu alaihi wasallam:

1) Daripada Anas R.A, daripada nabi shollallahu alaihi wasallam, bahawasanya baginda shollallahu alaihi wasallam melarang seseorang daripada minum berdiri. Kata Qotadah R.A: Maka kata kami: Bagaimana pula dengan makan? Jawab baginda shollallahu alaihi wasallam: ((Itu lebih teruk dan keji)).

(Hadith riwayat Muslim & At-Tirmidzi)

2) Daripada Abu Hurairah R.A bahawa nabi shollallahu alaihi wasallam bersabda: ((Janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu minum dalam keadaan berdiri, siapa yang terlupa (minum berdiri kerana terlupa) maka muntahkanlah ia.))

(Hadith Riwayat Muslim)

Kalam baginda shollallahu alaihi wasallam bukanlah seperti manusia biasa. Ia wahyu yang turun dari Allah, kerana itu ia bukan sekadar ‘cakap kosong’ malah ‘cakap penuh’. Penuh dengan hikmah dan tujuan yang sememangnya demi kebaikan kita sebagai hambaNYA.

Meski demikian, masih ada lagi manusia yang memandang perbuatan makan & minum berdiri adalah salah satu bentuk ketamadunan. Ada sahaja hotel atau jamuan makan ringan yang sengaja tidak menyediakan kerusi. Andai ada yang mencari kerusi untuk menikmati hidangan dalam keadaan duduk, dia akan diterjah dengan soalan:

“Kamu ni dari kampung mana???”

atau,

“Kamu dari zaman kesultanan ke berapa?!”

MySpace

PESAN DUA DOKTOR

Kata Doktor Abul Razzaq al-Kilani:

• Makan & minum dalam keadaan duduk adalah lebih tepat, lebih selamat (untuk kesihatan perut), dan makanan terasa lebih lazat (wah, ye ke?!)

• Makanan & minuman yang masuk ke dalam perut ketika kita duduk akan turun dengan lebih perlahan memudahkan perut untuk menerimanya kerana ia tidak mengasari dinding perut.

• Minum dalam keadaan berdiri akan menyebabkan air turun (ke dalam perut) dalam keadaan kasar dan laju ke arah tapak perut dan ini menyebabkan berlakunya perlanggaran yang menyakitkan perut. Seandainya dibiasakan perbuatan ini, lama kelamaan ia akan membawa kepada ‘jatuh’nya perut dan melonggarkannya atau dalam istilah lain: menggeleber. Hal ini berlaku kerana berlakunya sistem penghadaman yang tidak lancar.

• Ada ketikanya Nabi shollallahu alaihi wasallam minum berdiri, kerana keadaan yang mendesak dan sukar untuk duduk seperti waktu haji.

• Makan dalam keadaan berdiri hanya akan menggugat kesihatan dan merupakan adat yang sangat asing di sisi orang Arab dan Muslimin.


Kata Doktor Ibrahim ar-Rawi pula:

• Dalam keadaan berdiri, seseorang manusia akan berada dalam keadaan tertekan (berbanding duduk) dan sistem keseimbangan badan akan berada dalam keadaan yang paling aktif dan membolehkannya mengawal kesemua otot dalam badan. Proses ini merupakan proses yang sangat ‘sibuk’ dan ‘berat’ sehingga akan menyebabkan seseorang hilang keupayaan untuk merasakan ototnya dalam keadaan tenang, sedangkan ketenangan atau kerehatan itu adalah antara syarat terpenting ketika makan atau minum.

Ketenangan dan kerehatan ini hanya akan diperoleh dalam keadaan duduk, iaitu ketika setiap anggota dan otot dalam keadaan tidak tertekan dan tanpa gangguan. Ketika duduk jugalah setiap deria akan berfungsi dengan lebih tepat dan kebolehterimaan sistem pencernaan terhadap makanan akan berada dalam keadaan yang lebih sempurna dan sejahtera.

Tambah Doktor Abdul Razzaq:

• Makan dan minum dalam keadaan berdiri boleh mengakibatkan reaksi negatif daripada otot dan ia akan merebak ke seluruh perut. Keadaan ini sekiranya berlarutan boleh membawa kepada serangan jantung, koma dan seterusnya membawa maut.

• Makan dan minum berdiri juga akan membahayakan perut dan boleh menyebabkan berlakunya luka-luka pada dindingnya.

• Sistem pencernaan yang tidak mampu bekerja dengan sempurna adalah penyebab hilangnya rasa nikmat ketika makan dan minum.

Oleh itu, jangan lupa pesanan baginda shollallahu alaihi wasallam yang ini setiap kali mahu makan atau minum. Selain elok dipandang mata, sesungguhnya ia bermanfaat kepada kesihatan.

HARI INI MENENTUKAN ESOK

Itu pesan Prof. Abul Lais.

Sekiranya kita mengamalkan gaya hidup sihat ketika remaja, inshaALLAH kesannya akan dilihat ketika kita semakin berusia nanti.

Begitu juga, seandainya zaman remaja ini kita peliharanya dengan sempurna, kelak kita akan melihat kesan positifnya.

Orang yang tidak menjaga kesihatan badan semasa remaja, kesannya terlihat selepas tempoh masa yang agak panjang. Kerana biasanya proses perubahan pada badan itu tidak berlaku sekelip mata.

Tidak mahu bercerita panjang lagi. Semoga beroleh manfaat.

Wallahua’lam.


P.S: Sumber rujukan entri ini adalah dalam bahasa Arab. Maaf seandainya istilah-istilah yang digunakan tidak berapa tepat dan penterjemahan adalah kurang sempurna. Yang paling penting, amalkanlah sunnah. Pasti selamat dunia akhirat. InshaALLAH. :)