Monday, August 31, 2009

* Malu Sendiri *

DENTUMAN PERTAMA

Terdengar ibu dan adik berbicara perihal akhirat. Pada mulanya terasa tiada perasaan untuk turut serta dalam perbincangan. Hati sungguh tidak keruan. Berita yang baru diterima seketika tadi benar-benar mengocak air ketenangan dalam hati. Berkali-kali ia bermonolog, bagaimana caranya untuk bersabar pada dentuman pertama...?

Hati tidak berjaya untuk serta-merta sabar & redha dengan ketetapanNYA saat menerima dugaan. Mungkin kerana itu ujian masih tidak putus-putus tiba, kerana diri masih belum berjaya melalui proses tarbiyah robbaniyyah ini.

Kesal juga kerana masih belum berjaya untuk melihat setiap perkara yang berlaku itu adalah yang terbaik. Terlupa seketika pada hadith yang mengatakan bahawa bagi orang mukmin, setiap yang berlaku (gembira atau duka) semuanya adalah yang terbaik. Jika mengaku diri sebagai mukmin, maka berperlakuanlah seperti seorang mukmin.

Malu sendiri.

SEMUA TERBALAS

Tidak mampu mengelak dari menyertai perbualan ibu dan adik. Tanya adik, adakah dalil dari alQuaran & Sunnah yang menceritakan tentang peristiwa akhirat yang didengarnya dari kawannya. Saya tidak tahu.

Pertanyaan adik membuatkan saya teringat satu topik yang saya pelajari dalam subjek Manahij Mufassirin. Satu contoh yang diberi di bawah tajuk: Kaedah mentafsir alQuran menggunakan hadith.

Ayat Qurannya adalah seperti ini:

لَيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ وَلَا يَجِدْ لَهُ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

Surah An Nisaa': 123

Terjemahan: (Pahala dari Allah) itu bukanlah menurut angan-anganmu yang kosong dan tidak (pula) menurut angan-angan ahli Kitab. barangsiapa yang mengerjakan kejahatan, niscaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu dan ia tidak mendapat pelindung dan tidak (pula) penolong baginya selain dari Allah.

Melihatkan ayat ini, Abu Bakar RA berkata kepada Rasulullah Shollallahu 'Alaihi Wasallam: Adakah di antara kita yang tidak melakukan kesilapan dalam hayatnya? Jika begitu, setiap dari kita akan ke neraka? Apakah masih punya jalan keluar untuk selamat darinya sekiranya setiap kesilapan yang kita lakukan akan dibalas?

Jawab Rasulullah Shollallahu 'Alaihi Wasallam: Semoga Allah mengampunimu.. Wahai Abu Bakar, bukankah engkau ditimpa kesakitan? Bukankah engkau pernah diberi ujian? Bukankah engkau jua dirundung kesedihan, bukankah bencana adakala mendatangimu?

Jawab Abu Bakar RA: Ya. (Aku mengalami semua itu)

Kata Rasulullah Shollallahu 'Alaihi Wasallam lagi: Maka ketahuilah sesungguhnya itu adalah antara bentuk balasan dari Allah.

(HR Imam Ahmad, hadith no. 65, 1/68)

Fahamkah kalian dengan hadith tersebut? Sesungguhnya setiap musibah yang menimpa kita, setiap airmata yang mengalir kerana kesedihan, keperitan hidup yang melanda, segalanya sebagai balasan atas dosa kita. Segala ujian itu datang sebagai menghapus dosa kita dan dengan itu, sesudah menerima balasan di dunia, maka di Akhirat sana ia tidak akan ada lagi balasan buat dosa yang telah kita terima balasannya di dunia.

Kerana itu usahlah merungut andai menerima kesusahan. Usah berburuk sangka terhadap Allah. Sesungguhnya badai yang menimpa adalah penghapus dosa-dosa kita.

Sekali lagi, akhirnya malu sendiri. Rupanya sedang memberi nasihat kepada diri.

Saturday, August 29, 2009

* Open your heart *

Assalamualaikum.. It's been a while.. :)

Sorry, i got not much time to look for information (for entries), writing thoughts, 'online'ing, blah blah blah.. And sometimes 'the lack of feelings' makes me a bit lazy to write anything.

Just telling that it really annoys me to see those who say that they are not confident to practice the sunnah of the Prophet Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam, though the hadith were presented in front of their own eyes. Just because it is different from what they've learned before in schools, it doesn't mean that it (the sunnah) never exist. It doesn't indicate that it is wrong. And importantly, please don't have the 'belief' that everything u've learned before (about our religion) is 100% true, until it is proven (by the Quran & Sunnah).

Open your eyes dear friends.. Are you looking for another religion besides Islam? If no, please open you heart to accept whatever has been told to you about the teachings from al-Quran & As-Sunnah.

Please beware, seek knowledge with a pure & sincere heart, then only you will realize that your sayings are very hazardous to your aqidah.

Friday, August 14, 2009

* Ingin Lihat Dia *

KERANA SIAPA

Seronok belajar hari ni. :) Bukan apa, kadang-kadang belajar sahaja yang lebih, tapi penghayatan tu sangat kurang dan yang menyedihkan, apabila ilmu-ilmu yang diperoleh tak berjaya merapatkan diri kepada Allah. Bukankah itu satu perkara yang sia-sia? Kita semua mencedok dan menelan ilmu dari lautan-lautan yang terbentang semata-mata kerana apa? Pernahkah kita terfikir? Jika pernah, apakah kita berjaya menemui jawapannya?

Adakala risau apabila terfikirkan apa sebenarnya niat diri pergi menuntut ilmu. Semata-mata memenuhi adat resam manusia atau kerana mahukan masa hadapan yang bahagia? Sungguh, apabila kita melakukan sesuatu yang tidak spesifik matlamatnya, maka akan kurang fokus dalam menyelesaikan sesuatu urusan itu. Tanpa fokus, pastilah hasil yang diperoleh hanya ala kadar sahaja. Dikeranakan itu, ayuh kita spesifikkan matlamat kita dalam setiap perkara yang kita lakukan, apa yang kita mahu capai dan bila kita mahu ia menjadi kenyataan.

DI SANA JUA ADA KEHIDUPAN

Berbicara soal masa hadapan, perlu kita sedar bahawa bagi seorang muslim, masa hadapan yang perlu dipandangnya ialah masa hadapan yang melangkaui batas kehidupan alam shahadah ini (alam sekarang). Kita semua yakin dan percaya bahawa kehidupan itu bukanlah berakhir di alam kubur namun ada alam ghaib yang bakal kita huni, dan yang pasti alam itu yang lebih utama bagi kita. Firman Allah:

Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.
(Surah Al-A’laa: 17)

Ya, alam di sana lebih kekal dan jauh lebih baik. Meski adakala kita merasakan perihal akhirat, syurga, neraka, semuanya seolah-olah satu mimpi –kerana ia belum hadir di hadapan mata- namun ia pasti datang, malah SEDANG MENGHAMPIRI KITA. Tak terbayang apa yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNYA yang DIA sayang. Seindah mana ciptaan yang wujud di muka bumi ini, sedikit pun ia tidak menyamai apa yang telah Allah siapkan untuk para kekasihNYA.

Tak seorangpun mengetahui berbagai nikmat yang menanti, yang indah dipandang sebagai balasan bagi mereka, atas apa yang mereka kerjakan.
(Surah As Sajdah: 17)

Dalam satu hadith qudsi:

“Aku menyediakan untuk hamba-hambaKu yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar (perihalnya) oleh telinga, dan sedikitpun tidak pernah terlintas dalam hati manusia.”
(Muttafaq ‘Alaih)

Seandainya yang kita gambarkan bahawa di sana ada taman-taman indah, yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, beserta buah-buahan yang enak, dihiasi kicauan burung dan anak-anak muda yang cantik parasnya, ia tetap tidak akan sama dengan yang kita gambarkan. Jauh lebih indah.

Jadi, wujudkah rasa teruja untuk menyaksikan kejutan-kejutan yang ada di sana? Jiwa dan akal yang sihat pastilah terlalu rindu dan teringin untuk menjejakkan kaki ke sana. Pasti meronta-rontalah jiwa mahu menjalani kehidupan di sana yang amat indah. Alangkah bahagia andai setiap hari kita ditemani sebaik-baik teman. Siapakah sebaik-baik teman itu? Firman Allah:

Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para siddiqin, dan orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh, dan mereka Itulah teman yang sebaik-baiknya.
(Surah An-Nisaa’: 69)

MELIHATMU

Namun satu perkara yang menjadi keberuntungan paling besar buat ahli jannah ialah apabila ia dapat melihat Allah. Sabda Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wasallam:

Daripada Jarir bin Abdullah, katanya: Kami bersama Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wasallam dan Baginda melihat kepada bulan pada malam itu, iaitu bulan purnama, seraya baginda berkata:

“Sesungguhnya kalian akan dapat melihat Tuhan kalian sebagaimana kalian melihat bulan purnama ini...” (HR Bukhari, hadith no. 521, 2/389)

Tidak teringinkah kita menjadi antara hambaNYA yang dapat melihatNYA? Merasakan kehadiranNYA sahaja sudah membuatkan hati kita tenang, mengalunkan ayat-ayatNYA jua bisa mendamaikan jiwa yang gelisah, apatah lagi apabila dapat melihatNYA? Subhaanallah. Jadi apa yang perlu kita lakukan untuk menemuiNYA?

“...barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, Maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya.”
(Surah Al-Kahfi: 110)

Cuma dua perkara: Kerjakan amal soleh & jangan sekali-kali mempersekutukan Allah. Mudah sahaja, bukan? Semua itu perkara yang berada dalam kudrat kita untuk melaksanakannya. Mari tanamkan dalam hati bahawa kita ini sungguh-sungguh rindu untuk menemui Pencipta kita. Tatkala Dia menyeru:

Hai jiwa yang tenang.
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya.
Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku,
Masuklah ke dalam syurga-Ku.

(Surah Al-Fajr: 27-30)

Moga kitalah yang bakal menyahut seruan itu. Amin.




Wednesday, August 12, 2009

* Segalanya Yang Terbaik *

SEMAKIN, SEMAKIN

Semakin kita meningkat dewasa, semakin kita merasakan bahawa hidup kita sering diterjah oleh dugaan-dugaan yang kita rasakan terlalu berat untuk digalas. Mengapa ya. Adakah dugaan itu kian kerap bertamu kerana:


* Hidup kita yang semakin tidak keruan, tidak tahu matlamat yang jelas lantas melilau-lilau sepanjang perjalanan dan sengaja menjemput kesusahan

* Kita semakin teliti terhadap setiap perkara & jika ia tidak bertepatan dengan kehendak, kita akan merasakan ia adalah satu masalah besar yang sangat menyesakkan dada


* Kita terlalu sibuk menghitung kesukaran berbanding berjuta nikmat yang setiap hari kita terima


*Kita sengaja bermain dengan api tetapi tidak mempersiapkan air yang cukup untuk menyiramnya atau telefon yang cukup bateri untuk membuat panggilan ke balai bomba.


* Kita semakin punya iman yang tinggi terhadap Allah dan kerana itu kita diberi ujian yang lebih. Hmmmm...Begitukah?

Apapun alasannya, yang pasti setiap ujian yang tiba itu, moga ia akan mendekatkan kita kepada Allah. Kita mampu menghadapi ujian dariNya, kerana itu kita yang Dia pilih untuk memikul bebanan ujian tersebut. Firman Allah:

... Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan... (Surah At Thalaq: 7)

ZAMAN PALING TERUK

Saya yakin bahawa
setiap dari kita pernah melalui satu fasa hidup yang dirasakan paling sarat dengan ujian dan yang paling diharapkan agar ia tidak berulang. Dan ketika itu adakala kita merasakan,

"inilah episod yang paling sukar sepanjang aku bernafas di atas muka bumi ini..."


atau,


"Setiap hari aku makin lemah, tapi ujian yang hadir aku rasakan semakin banyak...
"

Lupakah kita, tatkala hati kita bermonolog sedemikian, ia akan merangsang minda kita untuk terus menerus menyimpan pemikiran yang memandang dunia ini dari perspektif yang sangat jelek. Kalaulah begitu, pasti pemikiran itu lama-kelamaan akan terzahir dari perbuatan kita lantas membuatkan kita sentiasa hilang motivasi & sentiasa kecewa untuk meneruskan hidup. Bukankah itu bertentangan dengan perilaku kita sebagai seorang Muslim? Firman Allah:

...dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir. (Surah Yusuf: 87)

Bagaimana kalau kita menukar persepsi dengan mengatakan kepada diri bahawa ini bukanlah fasa hidupku yang paling teruk, bahkan ia adalah yang terbaik! Kerana apa? Kerana pada fasa ini:

* aku dididik untuk meletakkan setinggi-tingginya pergantungan kepada Allah semata

* dengan ujian yang sangat banyak inilah aku akan mampu membina kekuatan pada diri

* aku semakin hampir dengan Tuhanku kerana biasanya tatkala kesusahan, hati akan benar-benar terasa memerlukan Dia

* mengajarku untuk melihat orang lain yang jauh lebih susah dariku

PALING HEBAT, PALING BAHAYA

Menulis tentang perkara ini, membuatkan saya teringat akan zaman Imam Bukhari dan ulama-ulama sezamannya. Zaman itu dinamakan al'Asru adz Zahabiy (Zaman Emas) kerana kegemilangan penulisan & penyebaran Islam yang berlaku. Pada zaman itulah wujudnya peulisan tafsir secara meluas, pembukuan hadith dengan metod yang tersusun, ramai tokoh agama yang lahir, kepesatan dalam pembangunan ilmu dan lain-lain lagi. NAMUN...

Perlu kita ingat bahawa zaman itu juga merupakan zaman yang paling bahaya. Kerana ketika itu terlalu banyak badai fitnah yang melanda seperti berkembangnya penyebaran hadith-hadith palsu, fitnah 'khalqil quran', ancaman pemimpin yang cenderung terhadap aqidah Mu'tazilah sehingga menyebabkan ramai ulama' yang dipenjarakan dan pelbagai lagi.

Meski semua ujian-ujian ini dilontarkan sekaligus, namun zaman itu tetap terus gah & diingati sebagai zaman emas dek kegemilangan yang telah berjaya dicapai di tengah-tengah ombak badai.

Begitu jualah sepatutnya kita. :)

Kita menjadikan ujian-ujian yang ada itu sebagai pemangkin untuk kita terus berjaya. Kita berusaha semampu mungkin berhadapan dengan dugaan yang tiba, bukan berterusan lari daripadanya.

Ayuh, kita mohon petunjukNya.


Pada zaman mana pun yang kita hidup, semoga kita mampu menjadi manusia yang terbaik di alam ini.


Tuesday, August 11, 2009

* Kembali Dibuka *

Untuk Makluman:

Blog lama saya yang sekian lama ditutup kini kembali dibuka untuk umum. Moga-moga bermanfaat.

Click here: www.sujjada.blogspot.com




* K.M.I *

Selasa 11 Ogos 2009

Kuliah Aqidah- 200 Soal Jawab Aqidah oleh Shaikh Hafiz al Hakami
Speaker: Ustaz Roesfan Shazzerin

Rabu 12 Ogos

Tafsir Juzu' 30
Ustaz Fadhil b Kamaruddin

Khamis 13 Ogos 2009

Fiqh Puasa- Kitab Umdatul Ahkam
Ustaz Azli Fairuz

----------
Lokasi kuliah di ADM LT2 bersebelahan entrance wanita di masjid UIA.
Masa 920 malam

Contact person:
Jika sesat di UIA dan tidak menemui kelas sila hubungi

[Lelaki] Abu Usamah: 0132506391
[Perempuan] Hafizah: 0132229586


* Tak Pernah Segembira Ini *

TIDAK PERNAH SEGEMBIRA INI

Ketika mendengar hadith ini sewaktu kuliah Aqidah beberapa minggu lepas, tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaan yang terukir dalam hati. Mahu tahu hadith yang mana? Jom baca & hayati:

Daripada Anas RA, seorang lelaki dari ahli badiyah mendatangi Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wasallam dan berkata: Wahai Rasulullah, bilakah hari Qiamat akan berlaku? Jawab Rasulullah: Apa yang telah engkau persiapkan untuk menghadapinya? Jawab lelaki itu: Tidaklah aku mempersiapkan apa-apa untuk hari itu melainkan dengan mencintai Allah dan Rasulnya. Kata Rasulullah: Sesungguhnya engkau akan bersama siapa yang engkau cintai. Maka kami (para sahabat) bertanya: Apakah kami juga begitu? Jawab Rasulullah: Ya. Maka kami sungguh gembira pada hari itu dengan kegembiraan yang amat sangat.

(Sahih Bukhari, hadith no: 5701, juzuk 19, muka surat 143)

Tambahan dari hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam musnadnya:

Kata Anas RA (sahabat yang meriwayatkan hadith ini):

(Selepas mendengar jawapan Rasulullah)

“Aku tidak pernah melihat para Muslimin bergembira dengan sesuatu (selepas nikmat Islam) sebagaimana mereka bergembira dengan (khabar) ini.


Matan hadith dalam bentuk dialog:

Ahli Badiyah: Wahai Rasulullah, bilakah hari Qiamat akan berlaku?

Rasulullah: Apa yang telah engkau persiapkan untuk menghadapinya?

Ahli Badiyah: Tidaklah aku mempersiapkan apa-apa untuk hari itu melainkan dengan mencintai Allah dan Rasulnya.

Rasulullah: Sesungguhnya engkau akan bersama siapa yang engkau cintai.

Para Sahabat: Apakah kami juga begitu (akan berada bersama siapa yang kami cintai di akhirat kelak)?

Rasulullah: Ya.


Tahu mengapa mereka segembira itu???

Kerana mereka mencintai Allah & Rasulullah Shollallahu Alaihi Wasallam, maka tempat mereka pastilah di syurga nan indah. :)

INILAH BUKTI CINTAKU

Soalan cepu emas:

Bagaimana perasaan kalian setelah membaca hadith tadi? Gembira? Teruja?

Mudah-mudahan. Tanda kalian juga mencintai Allah & RasulNya lebih dari segala isi bumi ini. :)

Tapi…

Apakah maksud mencintai Allah & RasulNya itu? Cukupkah sekadar dengan mengatakannya di bibir? Memadaikah hanya dengan menyimpannya dalam hati tanpa dibuktikan dengan perbuatan?

Sudah pasti tidak. Jawapannya ada pada firman Allah yang ini:

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Aali Imran: 31)

Kalian sudah temui jawapannya bukan? Ya, ikutlah (ajaran dan sunnah) Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wasallam.

Jadi, bisakah kita mengatakan seseorang itu mencintai Allah & RasulNya seandainya dia sengaja membelakangi sunnah Baginda?

Cuba selidik setiap kebiasaan (dalam soal ibadah) yang telah kita lakukan, sejajarkah dengan yang telah baginda ajarkan? Atau, wujudkah dalam sunnah Baginda? Jika tidak, segeralah perbetulkan.

Usah sibuk berkata:

“Amalan ini kami dah biasa buat dari kecil...”

Ataupun,

“Amalan ini Ustadz kami kata boleh...”

Tapi tanyalah:

“Apakah cara ibadah yang aku lakukan ini pernah diajar oleh Rasulullah? Apakah para Salafus Soleh (para sahabat, para tabi’ien, para tabi’ tabi’ien) pernah mengamalkannya?”

Betulkan yang biasa,
Biasakan yang betul.

USAH GENTAR

Andai kita benar-benar mencintai Allah & RasulNya, usah gentar menegakkan kebenaran. Usah rasa malu mengamalkan sunnah Rasulullah yang telah dilupakan oleh kebanyakan manusia.

Sabda Baginda Shollallahu ‘Alaihi Wasallam:

Islam bermula dalam keadaan dagang (yakni asing), dan akan kembali (pada akhir zaman nanti) dalam keadaan dagang, maka beruntunglah orang-orang dagang (orang-orang asing) itu.

(Sahih Muslim, hadith no: 208, juzuk 1, muka surat 350)

Kitakah yang beruntung itu???

Mudah-mudahan.


Monday, August 10, 2009

*Menang Besar*

PERLUKAH KECEWA

Malam itu, selesai sahaja kuliah Ustadz Amri, dia pulang ke bilik dengan hati yang hiba. Meski dari luar tampak masih bertenaga, namun jiwanya terkulai layu. Sedih. Mengenangkan suasana kuliah sebentar tadi. Terlalu sedikit yang hadir. Meski telah dikhabarkan melalui poster, mesej, handbill, pengumuman di kolej, jua tika perbualan, semuanya seolah-olah tiada yang tahu akan kewujudan kuliah itu kecuali beberapa orang. Remuk redam jua hatinya, kerana tiba-tiba merasakan usahanya selama ini seperti debu di atas batu yang licin. Bila angin datang bertamu, bertebaranlah semuanya. Entah ke mana hala tuju.

Sesaat merebahkan diri di atas katil, dia mengadu kepada Allah akan kepiluan hatinya. Namun tiba-tiba dia teringat akan doa ini:


Ya Allah…

Tika rembulan menampakkan dirinya

Dan tika mentari memancarkan sinarnya

Maka tika itu jugalah aku telah menyeru manusia-manusia di sekelilingku

agar mereka kembali kepadaMu

dan menyedari kasih sayangMu

supaya hati mereka tiada lagi gusar

dan moga di hujung waktu kelak, mereka tidak akan tersasar

mohon Engkau menerima mereka

dan mengampuni tiap zarah dosa mereka

Semoga di Akhirat sana

Aku dan mereka akan Kau pilih untuk mendiami singgahsana di syurga

Berbahagia, bersama-sama kekasihMu yang mulia

Oh indahnya!

Tetapi ya Allah

Hatiku ini benar-benar sedih,

Qalbu ku ini sarat dengan kepiluan

Lantaran kesombongan mereka untuk menerima kebenaran

Aku hairan, melihatkan mereka yang

Tetap tegar berada di atas jalan kesesatan.

Setiap kali aku mengajak mereka ke jalanMu,

Setiap kali itu juga mereka menutup telinga

Tanda bencinya mereka kepada kebaikan

Malah mereka turut menutup wajah mereka dengan baju

Tanda jauhnya mereka dari keimanan

Telah pelbagai cara yang aku cuba

Agar agama yang benar ini terpasak di jiwa

Namun segalanya hampa

Mereka tidak pernah berhenti berlari memburu dunia

Ya Allah, berilah aku kesabaran…

Adaptasi doa nabi Nuh A.S (Surah Nuh: 5-7)


Ya, aku harus tabah. La budda! Aku perlu belajar dari ketabahan Nabi Nuh A.S dalam berdakwah!!!



BUAT PARA PENYERU KE ARAH KEBENARAN & KESABARAN

Situasi yang disebutkan di atas merupakan salah satu situasi yang sering sahaja berlaku dalam fenomena dakwah. Namun ia bukanlah satu alasan bagi da’ie untuk kecewa, apalagi untuk berhenti terus dari jalan dakwah. Kerana tanggungjawab kita adalah untuk berusaha menyampaikan ajaran Islam, bukan untuk mengumpulkan jumlah ‘penerima sahutan’. Jika bilangan mereka bertambah dan bertambah,
الحمدلله الذي بنعمته تتم الصالحات

Namun jika jumlahnya ‘statik’ atau berkurang,

الحمدلله على كل حال

Sungguh tidak patut seandainya jumlah yang kecil menjadi penyebab kekecewaan atau faktor keputus asaan kita dalam mengajak manusia beramai-ramai menelusuri satu-satunya jalan yang diredhai Allah.

Ketahuilah bahawa natijah (atau keputusan) sesuatu itu bukanlah pada genggaman kita. Meski kadangkala ia menjadi matlamat, Allah lah penentu segalanya. Hadirkanlah dalam hati, bahawa usahamu tidak akan sekali-kali disia-siakan. Kata Allah:

Dan bersabarlah, Karena Sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan. (Surah Hud: 115)

Dan jika kamu bertaqwa, maka sesungguhnya Allah sentiasa bersama kamu. Sebagaimana yang termaktub di kitabNya:

Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan. (Surah An Nahl: 128)

Bersabarlah dan tetaplah menyeru ke arah kebenaran. Bagaimana mungkin untuk kita menyeru ke arah kesabaran seandainya kita sendiri tidak mampu bersabar???

TIDAK MAMPU ATAU TIDAK MAHU?

Kita semua tahu bahawa sememangnya jalan untuk menyeru manusia itu berbagai-bagai. Apatah lagi dengan kemudahan yang ada pada zaman ini, ia memberi peluang yang luas untuk kita berdakwah.

Lupakah kita tentang kisah sahabat yang bercucuran air mata tatkala Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wasallam mengkhabarkan bahawa tidak ada kenderaan bagi mereka untuk bersama-sama pergi berperang? Mereka miskin, tidak punya harta untuk di infakkan ke jalan Allah, lantaran itu, menjadi kesedihan yang tidak terkata bagi mereka kerana niat mereka untuk ‘menginfakkan’ jiwa ke jalan Allah turut tidak kesampaian. (Rujuk Surah At Taubah: 92-93)

Sungguh jauh perbezaan mereka dengan kita. Kebanyakan dari kita punya kemampuan untuk mengajak manusia ke arah kebenaran. Punya wasilah (atau cara) yang pelbagai untuk pergi menuntut ilmu agama & menyebarkannya demi membantu agama Allah, namun kita sekadar berpeluk tubuh dan merasakan tanggungjawab itu hanya tergalas di bahu ‘Ustadz-ustadzah’.

Juga menjadi satu kehairanan bagi kita, apabila orang yang hartanya menggunung tinggi sering ‘buat-buat lupa’ untuk menginfakkannya ke jalan Allah. Malah ada yang berkata:
“Aku tak tahu nak buat apa dengan duit yang banyak ni!”

Moga kita mengambil pengajaran dari petunjuk para Salafus Soleh yang diri mereka yang telah diselubungi redha Allah, dan mereka juga meredhai setiap ketetapan Allah. Jika kita mahu diredhai, maka turutilah jalan mereka yang diredhai. :)

Firman Allah:

Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar. (Surah At Taubah: 100)

Moga-moga kita termasuk dalam golongan yang disebutkan dalam ayat tersebut (orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik). Moga kita juga akan “menang besar”, bukan dengan memenangi peraduan AliCafe atau sebagainya, tetapi berjaya menjejakkan kaki ke syurga dan kekal di dalamnya...

Insha Allah.