Monday, May 10, 2010

* Bahagia di Dua Alam *

Bismillah

KEJUTAN BUAT KITA

Alhamdulillah. Malam ini saya terpilih lagi untuk bersama-sama mereka yang beruntung, yang telah diberi kesempatan olehNya untuk ke taman orang-orang soleh (dan solehah). Meski saya bukan orang soleh, tapi saya sukakan orang soleh dan berharap akan termasuk dalam golongan mereka suatu hari nanti.

Buat sahabat-sahabat yang tak berpeluang mengikuti kelas Riadhussolihin sebentar tadi, inshaAllah saya akan cuba kongsikan serba sedikit yang telah saya peroleh. Mungkin tidak banyak yang dapat saya catatkan, kerana malam ini banyak kisah yg ustaz sampaikan, jadi tidaklah dalam kudrat saya untuk menyalin setiap rentetan kisah itu.

Buat hati-hati yg masih belum terbuka untuk ke kuliah-kuliah agama kerana 'takut insaf', ayuh kita kembali muhasabah. Apakah sebenarnya yg mengikat kaki kita dari melangkah ke taman orang-orang soleh sedangkan ia hanya sejengkal. Dan apa pula yang mengasak diri kita untuk ke pasar-pasar tempat berkumpulnya maksiat kepada Tuhan sedangkan untuk ke sana, terlalu banyak pengangkutan yg diperlukan, malah memerlukan wang untuk digadaikan.

Segalanya kerana keinginan bukan? Keinginan yang tinggi terhadap sesuatu telah membutakan mata kita dari melihat halangan-halangan yang ada. Andai kita selami hati, sedih rasanya andai keinginan yg menghuninya bukanlah keinginan ke arah kebaikan duniawi & ukhrawi, akan tetapi setakat kebaikan duniawi. Ya, manusia bisa silap membuat perhitungan, namun yang terbaik ialah yang tersedar dari kesilapan itu dan berusaha membaiki diri agar tidak lagi mengulangi kesilapan yg sama.

Bersabarlah, apabila melihat orang lain bersenang lenang dengan dunia ini, tidak berpenat lelah berjuang demi agama, sematlah di dalam sanubari bahawa andai kita benar-benar bertahan di atas jalan ini, ganjaran yg bakal kita peroleh adalah jauh melangit tinggi berbanding kesenangan yg ada di dunia. Ada kejutan yg Allah sediakan, sebagaimana firmannya:

Tidak ada seseorang pun yang mengetahui persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.
(As-Sajdah: 17)


MENSYUKURI NIKMAT

Saya benar-benar berharap nikmat menghadiri taman orang-orang soleh akan kekal selagi hayat dikandung badan. Bicara soal nikmat, saya ingin memetik sepotong kata-kata ustaz tentangnya,

"Nilai sesuatu nikmat itu hanya benar-benar dihargai oleh orang yg tidak merasainya."

Kita lihat beberapa contoh berikut supaya akan timbul kefahaman terhadap kata-kata di atas:

1) Hanya orang-orang sakit yg akan mengetahui & menghargai nikmat sihat dan nikmat beribadah kepada Tuhannya dengan tubuh badan yg masih gagah.

2) Nikmat menunaikan haji akan dihargai oleh mereka yg tinggal jauh dari Mekah. Kerana itu, masih ada manusia yg tinggal berhampiran Mekah tetapi sehingga mati dia tidak pernah menunaikan haji!

3) Hanya orang-orang yg telah mati akan mengerti betapa berharganya kehidupan di dunia ini demi kebahagiaan akhirat. Betapa ramai manusia yg telah mati merayu kepada Allah agar dikembalikan ke dunia meski sekejap cuma, semata-mata untuk memanfaatkan hidup dengan mencari bekalan menghadapNya.

4) Pahala mengerjakan amalan-amalan sunat (eg: solat rawatib, puasa sunat...) hanya akan diketahui oleh orang yg tidak lagi berpeluang melakukannya (yg telah meninggal) kerana amalan sunat lah yg sebenarnya akan menampung kekurangan 'prestasi' kita pada amalan wajib.

Kerana itu, hargailah kewujudan taman ilmu yg ada dengan menghadirinya. Ramai orang di luar sana yg dahagakan tempat-tempat menuntut ilmu agama & amat mencemburui kita yg sering dikelilingi taman-taman sebegini.




Buat yang tidak pernah jemu mengajak sahabat-sahabatnya ke kuliah, teruskanlah usaha kalian dan jangan lupa berdoa. Manakala buat yg tidak jemu-jemu menolak pelawaan ke taman yg diredhai Allah, cuba renungkan pengaduan Nabi Nuh kepada Allah dan lihatlah samada anda berbeza dengan golongan yg disebutkan atau tidak:

Nabi Nuh a.s mengadu kepada Allah:

Oh Tuhanku, siang malam aku mengajak mereka ke arah kebenaran, namun seruanku itu tidak memberi mereka sesuatu faedah pun selain membuatkan mereka semakin lari kebenaran.

Setiap kali aku menyeru mereka supaya beriman agar mereka mendapat pengampunanMu, mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

(Maksud ayat 6-7 surah Nuh).


Moga ada sesuatu yg terdetik di hati. :)

KESIHATAN & MASA LAPANG

Salah satu hadith yang diterangkan oleh Ustaz Ibrahim pada kuliah tadi adalah berkaitan kesihatan & masa lapang. Hadith ini sudah seringkali kita dengar, jika tidak silap, semenjak di bangku sekolah lagi. Namun siapakah antara kita yg benar-benar mengambil pengajaran daripadanya?

Kata Nabi Shollalallahu "Alaihi Wasallam:

Dua nikmat yg kebanyakan manusia sering leka tentangnya, iaitu kesihatan & masa lapang. (HR Bukhari)

Di sini saya cuma mahu menukilkan pesanan ustaz kepada kita semua:

* Jujurlah kepada diri sendiri, setiap malam sebelum tidur, padamkan lampu dan berfikirlah sejenak. Kenang kembali apa yg telah anda kerjakan dari pagi hari tersebut sehingga saat kamu memadamkan lampu. Kebiasaannya, kita pasti akan tersenyum dan malu sendiri apabila mengenangkan bahawa terlalu banyak masa yg berlalu telah kita isikan dengan perbuatan yg sia-sia & tidak memberi faedah kepada sesiapapun.

* Pastikan setiap saat yg kita lalui, kita akan memanfaatkannya dengan melakukan perkara yg berfaedah. (Ustaz tekankan kita supaya menghafaz ayat2 alQuran & banyakkan membaca buku) Jangan lupa bahawa kelak kita akan ditanya bagaimana kita menghabiskan umur kita.

* Contohilah al Imam Ibn Qayyim Al Jauziyyah. Kitab karangannya yg berjudul Zaadul Ma'ad berjaya disiapkan (5 jilid) semasa dalam perjalanannya menunaikan haji. Bagaimana dengan kita? Ketika menaiki kenderaan awam atau sebagainya, cubalah manfaatkan masa menunggu itu sekurang-kurangnya dengan membaca, bukan termenung atau sekadar berbual kosong.

* Kita harus yakin bahawa kita mampu untuk melakukan apa-apa sahaja pekerjaan (yg menyumbang kepada Islam). Soal waktu bukanlah masalah utama. Kerana, intipati kejayaan adalah semangat yg jitu dan kesabaran yg tinggi. Bukankah orang yg ingin berjaya akan sentiasa mencari jalan, berbanding memberi alasan?


SYURGA MATLAMAT KITA

Saya suka mengingat kembali kata-kata seorang sahabat tentang keinginan untuk ke syurga. Katanya:

Andai kita cintakan Allah, kita harus berusaha untuk berjaya sampai ke syurga. Kerana syurga itu adalah tempat berkumpulnya hamba-hamba yg Allah cinta.

Bagaimana caranya untuk ke sana? Satu jawapan yg menarik dari sahabat itu:

Ikutlah setiap yg telah Rasulullah Shollallahu 'Alaihi Wasallam ajarkan, kerana bagindalah manusia yang paling tahu jalan ke Syurga.

Kata ustaz, setiap manusia yg berjaya ke syurga akan dapat melihat Allah. Dan ketahuilah bahawa nikmat melihat Allah adalah nikmat terhebat yg dikurniakan buat hambaNya & yg paling diinginkan oleh setiap jiwa. Namun, kekerapan mendapat nikmat melihat Allah itu berbeza mengikut amalan masing-masing, dan berdasarkan tingkat syurga yg kita ditempatkan.

Sesungguhnya jiran terhebat di akhirat kelak ialah Rasulullah Shollallahu 'Alaihi Wasallam. Andai kita berjiran dengan kekasih Allah, ketahuilah bahawa kita berada pada semulia-mulia & setinggi-tinggi kedudukan, iaitu Firdaus Al-A'la (Syurga Firdaus yg tertinggi). Kerana itu jangan lupa untuk sering berdoa agar kita ditempatkan di syurga Firdaus. Amin!


"Semoga perkumpulan kita bersama orang-orang soleh di dunia ini akan mendorong kita agar terus berpenat-lelah membela iman dan Islam, demi bersama orang-orang soleh di akhirat kelak..."


No comments: