Sunday, May 3, 2009

* Sandarkan kepadaNYA *


"Ummi...Um..mi.. Isk... isk..." panggilan Athni sayup-sayup dari tingkat bawah rumah. Suaranya tersekat-sekat di kerongkong kerana diganggu linangan air mata yang tidak henti-henti mengalir.

"Iye sayang.. ummi kat atas ni. Ummi nak kutip baju kotor kejap." terkocoh-kocoh si ibu mendapatkan anaknya yang tiba-tiba menangis. Panik juga bila jadi begini. Harapnya tiada perkara serius yang berlaku. Sebaik derap kakinya meniti di atas anak tangga yang terakhir, matanya terpandang anak bongsunya itu menangis teresak-esak di sisi beg sekolah serta dikelilingi buku teks yang berselerakan di atas lantai.

"Subhaanallah.. Kenapa dengan anak ummi ni? Athni tak sihat ye sayang?"

Pelbagai andaian terbit dari benak si ibu lantas menambah rasa kaget, namun dicubanya untuk memberi reaksi setenang yang mungkin.

"Tak ummi, Athni sihat. Athni nak pergi sekolah. Tapi Athni takut sebab buku teks Bahasa Melayu Athni hilang. Athni dah cari kat rak tak ada. Kat dalam beg pun tak ada. Athni tak nak kena marah." jelas Athni dengan matanya memandang tepat ke lantai. Sesekali masih ada sisa air mata beningnya yang menitis.

Sayu hati si ibu melihat anaknya menitiskan air mata. Seraya dia menarik Athni rapat ke dadanya.

"Athni jangan menangis ye sayang. Tarik nafas dalam-dalam, tenangkan fikiran dan cuba ingat balik, Athni bawak balik atau tak buku teks tu? Boleh jadi Athni tertinggal kat mana-mana. Dalam van atau dalam laci meja kat kelas.”

Sepi. Si anak cuba mengingati apa yang berlaku dan si ibu sekadar menanti jawapan.

“Ummi...! Athni baru ingat!” Suara Athni yang berbaur kegirangan serta-merta mengejutkan ibunya.

“Ha, kat mana Athni letak buku tu?” Soal ibunya pantas.

“Semalam sebelum balik, Fahima pinjam buku tu kejap. Dia nak tengok muka surat mana yang ada kerja sekolah. Lepas dia pulangkan, Athni lupa nak masukkan dalam beg. Athni letak dalam laci meja...” tersengih-sengih Athni menceritakan kepada ibunya.

“Anak ummi ni.. Lain kali sebelum keluar kelas jangan lupa periksa laci meja. Ummi selalu pesan kan..” pesan si ibu sambil mencuit pipi anaknya itu.

“Athni lupa. Semalam banyak sangat berborak dengan Fahima sampai tak ingat nak tengok laci meja. Tapi ummi....” tidak semena-mena suara Athni berubah.

Tapi apa sayang..?” tanya si ibu kehairanan.

“Athni takut buku tu hilang... Takut budak kelas pagi ambil..” tangisannya kembali menjengah.


“Athni, pergi ambil wudhu’ dan solat sunat dua rakaat. Minta pada Allah supaya pelihara buku Athni tu daripada tangan-tangan manusia yang tak bertanggungjawab. Athni yakin dengan Allah kan. Sudah, bangun cepat, lap air mata tu. Tapi kalau Athni nak menangis kepada Allah dalam solat lagi bagus. Tanda Athni betul-betul berharap pada Allah satu-satunya. Lagi satu ummi nak Athni ingat, walaupun manusia beribu merancang untuk cederakan Athni, tapi Allah kata mereka gagal, maka mereka akan gagal, tak kira hebat macam mana pun cara yang mereka guna. Athni tahu kenapa? Sebab Allah yang Maha Berkuasa. Athni faham kan apa ummi cakap ni.”


Kata-kata si ibu sedikit sebanyak menyiram ketenangan di hati Athni. Bingkas dia bangun dan melangkah ke bilik air untuk mengambil wudhu’.

Tenang hatinya seusai menunaikan solat sunat dua rakaat. Memohon pertolongan dari satu-satunya penolong, juga meminta perlindungan dari satu-satunya yang Maha Melindungi. Syukur yang tidak terhingga dirasakan kerana umminya sedari awal mendidiknya supaya kuat pergantungan kepada Tuhan. Kesyukurannya makin melangit apabila dia mengetahui bahwa di sekolah, masih ramai kawannya yang tidak tahu bersolat, apatah lagi untuk membaca al-Quran. Apabila ditanya, kata mereka usia sekecil itu masih tidak perlu kepada ilmu sedemikian. Pendek kata, belum tiba masanya. Terbit rasa kasihan dalam hati Athni terhadap mereka.

Satu pesan umminya yang paling dia simpan teguh dalam kepala: Allah sangat suka hambaNYA meminta-minta kepadaNYA. Kerana itu dia selalu membiasakan diri dengan berdoa –bukan ‘baca’ doa- pada setiap saat kerana kata umminya, manusia itu lemah pada setiap masa, oleh itu manusia memerlukan Tuhannya pada setiap helaan nafasnya.

Tengah hari itu Athni melangkah ke sekolah dengan diiringi ketenangan yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Yang pasti dia bahagia apabila telah menyandarkan segalanya kepada Allah.


2 comments:

Anonymous said...

sandarkan padaNya.. :)

Anonymous said...

sandarkan padaNya.. :)