Sunday, May 3, 2009

* Bermulanya di Y! M *

“Ish… Apa aku nak tulis ni.. Tak ada idea langsung lah.. Aku tak mampu nak hasilkan penulisan yang boleh ‘mengetuk’ hati orang lain.. Aku tak banyak ilmu..”

Begitu getus hati Sakhiyya, sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Hatinya risau dengan tanggungjawab berdakwah yang dia tahu sedia tergalas di atas bahu setiap muslim. Kerana itu dia sering tercari-cari jalan untuk melihat manusia-manusia di sekelilingnya berubah kepada yang lebih baik dan terbaik.

Dengan perasaan yang masih bingung dan penuh dengan tanda tanya dia log masuk ke Yahoo! Messenger. Bagus juga kalau-kalau dia mampu meluahkan isi hatinya ini dengan mana-mana teman yang bisa membantu. Ternyata waktu malam-malam begitu ramai yang online. Matanya melilau-lilau mencari id yang sedari tadi wujud dalam hatinya, sebagai sasaran untuk menjadi teman perbualannya malam itu.


Sakhiyya_14: Assalamualaikum Ana..

Ahsana_zikraa: Waalaikumussalam Ya. :) Lama tak nampak Ya online. Sibuk ke?

Sakhiyya_14: Tak adalah sibuk sangat pun Ana. Cuma sebelum ni tak rasa perlu untuk online.

Ahsana_zikraa: Oh, jadi malam ni ada keperluan la ye.

Sakhiyya_14: Betul tu Ana. Ya tengah pening ni. Dah lama Ya tak letak entri baru kat blog. Ya hilang idea. Betul-betul rasa tak tahu macam mana nak buat entri yang bermanfaat dan berfaedah untuk orang lain. Ya selalu rasa blog Ya tu banyak merapu je. Ya tak pandai nak menulis panjang-panjang atau ala-ala tsiqah macam orang lain. Tapi Ya nak jugak jadi macam tu..

Ahsana_zikraa: Aah la Ya, Ana pun selalu jenguk blog Ya tu tapi dah lama betul tak ada entri baru. Ana tertunggu-tunggu juga. :) Tapi Ya janganlah sampai cakap blog Ya tu merapu. Insha ALLAH ada manfaatnya yang mungkin Ya tak sedar.

Sakhiyya_14: Ya serius ni Ana. Kalau Ya nak minta pendapat Ana yang seikhlasnya tentang blog Ya boleh? Sekali-sekala Ya nak tahu juga pandangan orang lain tentang blog Ya tu.

Ahsana_zikraa: Hm... Nak pendapat Ana ye? Tapi Ana tak nak Ya rasa terhina atau kecil hati tau.

Sakhiyya_14: Iye, Ya janji. No offense taken. :)

Ahsana_zikraa: First and foremost, Ana rasa Ya perlu jelas apa matlamat Ya buat blog tu. Sebagai wasilah dakwah dan informasi ataupun semata-mata sebagai “scratch pad” untuk Ya bercerita tentang diri sendiri. Jujur Ana katakan yang kebanyakan entri Ya berkisar tentang diri Ya. Bagi Ana, kita perlu menulis tentang sesuatu yang orang perlu tahu. Bukan apa yang kita nak orang tahu tentang kita.

Sakhiyya_14: Tapi Ana, macam mana kalau tujuan cerita-cerita yang kita tulis tu, semata-mata untuk sampaikan pengajaran & nasihat dari kandungannya? Ya banyak je baca blog yang tulis pasal cerita mereka dan motifnya untuk sampaikan pengajaran di sebalik cerita-cerita tu.

Ahsana_zikraa: Maksud Ya, macam penulisan Abu Sulhi tu?

Sakhiyya_14: Aah. Ya nampak penulisan dia semua tentang pengalaman hidup dia.

Ahsana_zikraa: Itu yang Ya silap nampak. Sebagai contoh Abu Sulhi tu, kalau Ya perasan dia bukan bercerita tentang diri dia. Cuma seringkali dia selitkan dialog-dialog realiti yang pernah berlaku dalam hidup dia dan dirasakan berkaitan dengan tajuk penulisan tu. Cuba Ya bandingkan corak penulisan Ya dengan penulisan dia. Ada bezanya kan? Ya pasti selama ni cerita-cerita yang Ya sampaikan tu motifnya untuk sampaikan pengajaran? Ya yakin bila orang baca tulisan Ya, yang mereka dapat ialah pengajarannya? Atau sekadar lebih mengenali diri Ya dan apa yang berlaku dalam kehidupan seharian Ya?

Sakhiyya_14: Betul cakap Ana tu. Ya baru perasan cerita-cerita Ya tu banyak pasal Ya je. Kadang-kadang Ya sendiri boleh jadi riak bila terlalu banyak bercerita tentang diri sendiri. Terima kasih Ana sebab sedarkan Ya pasal benda ni.

Ahsana_zikraa: Sama-sama. Tapi Ya, kalau ada cerita yang pernah berlaku dalam hidup Ya dan dirasakan betul-betul ada manfaatnya, tak salah untuk Ya kongsikan. Cuma Ya boleh tukarkan aktor dan aktres dalam kisah Ya tu. Supaya taklah nampak Ya nak bercerita tentang diri sendiri. Sebaliknya pengajaran tu yang lebih penting untuk orang lain tahu.

Sakhiyya_14: Hm.. Ya setuju dan sangat menerima cadangan Ana tu. Tapikan Ana...

Ahsana_zikraa: Tapi apa Ya?

Sakhiyya_14: Ya nak tulis pasal apa... Ya tak ada ilmu. Ya tak mampu memberi sebab tak memiliki. Bak pepatah Arab tu, “Faaqidussyai’ la yu’ti”. (Orang yang tidak memiliki apa-apa tidak mampu memberi)

Ahsana_zikraa: Ya, yang Ya belajar setiap hari di kuliyyah tu bukan ilmu? Buku-buku yang Ya baca tu dalamnya bukan ilmu? Ilmu berkaitan al-Quran, hadith-hadith sahih yang kebanyakan manusia masih keliru malah buntu tentangnya, bukankah itu antara perkara penting yang manusia di muka bumi ni perlu tahu? Paling tidak pun, tentang isu-isu semasa yang ada sekeliling kita sekarang ni.

Sakhiyya_14: Em, tapi Ana, kalau Ya tulis pasal Quran dan Sunnah, ramai yang rasa benda tu berat dan mereka tak minat.

Ahsana_zikraa: Jadi kat sinilah peranan Ya untuk buat penulisan yang santai dan menarik. Ya perlu pelbagaikan gaya penulisan supaya ramai yang boleh ambil manfaat. Tak semestinya Ya tulis pasal manhaj pentafsir al-Quran atau pembahagian hadith semata, tapi Ya boleh tulis cerita tentang ajaran yang terdapat kedua-dua sumber tu. Aplikasikan ajaran yang ada dalam keduanya ke dalam bentuk penulisan yang pelbagai.

Sakhiyya_14: Okay, Ya cuba, tapi ada ke orang yang boleh ambil manfaat dari penulisan Ya tu? Entah ada atau tidak yang mahu berubah ke arah kebaikan lepas baca penulisan Ya.

Ahsana_zikraa: Ya, tak boleh cakap macam tu. Tanggungjawab kita untuk menyampaikan, bukan memberi hidayah. Ya lupa firman Allah dalam surah al-Qasas ayat 56?

“Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak mampu memberi hidayah kepada orang yang engkau cintai, akan tetapi Allah lah yang mengurniakan hidayah kepada sesiapa yang Dia mahu. Dan Allah lebih mengetahui tentang siapakah yang akan mendapat hidayah...”

Sakhiyya_14: Ana, tak rugi Ya online malam ni. Banyak sangat pengajaran dan tadzkirah yang Ya dapat. Terima kasih banyak-banyak ye Ana. Ya bersyukur ada teman macam Ana.

Ahsana_zikraa: Alhamdulillah... Seharusnya segala pujian kita panjatkan kepadaNya semata. :)

Sakhiyya_14: Okaylah Ana, lain kali kita sembang lagi ye. Ya kat bilik kawan ni. Ya dah kena balik bilik.

Ahsana_zikraa: Okay, ma’as salaamah..

Sakhiyya_14: Ana, lupa ke pepatah Arab “La taqul ma’as salaamah, qul ilal liqaa’.” (Jangan ucapkan selamat jalan, ucapkanlah jumpa lagi) He he.

Ahsana_zikraa: Oh.. Ok ok, ilal liqaa’ ya Sakhiyya.

Sakhiyya_14: Ilal liqaa’. Jazaakillahu khairan katheera.

Ahsana_zikraa: Wa iyyaki.


Sakhiyya berjalan pulang ke biliknya di tingkat 4 dengan perasaan yang sungguh puas, benar-benar terasa ‘kenyang’. Setibanya di kamar, dia segera menyimpan komputer ribanya dan membuka buku Coherence in the Quran. Ada tugasan yang perlu diselesaikan. Sebaik membuka buku itu, matanya melewati satu ayat al-Quran dari surah al-Baqarah yang terasa menyambar hatinya. Ayat ke-44:

“Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berpikir?”

Meski asalnya ayat ini diturunkan kepada orang Yahudi, namun pengajarannya untuk semua. Berdesup masuk ayat ini ke dalam hati dan mindanya. Tiba-tiba dia merasakan selama ini dia selalu sibuk mahu manusia melakukan amal soleh dan menerima hidayah tetapi lupa akan kewajipan sendiri.

Kembali dia termenung sendirian lantas berbisik,

“Ya, mengislahkan diri itu perlu seiring dengan kerja dakwah! Bukan berusaha menyempurnakan diri sendiri kemudian baru berdakwah, kerana sememangnya manusia itu penuh cacat cela. Pun bukan berdakwah yang didahulukan sedangkan kewajipan sendiri tertinggal di belakang...”

2 comments:

Ibn Yusof said...

Salam,

Dialog di atas adalah apa yang selama ini berada dalam fikiran saya.Kembali kepada niat asal terjun dalam bidang penulisan, pilihan adalah milik kita.

Memilih untuk ianya dijadikan medium latihan penulisan dan perkongsian ilmu atau hanya ingin menjadikannya diari hidup agar orang boleh mengikutinya dan mengetahui kisah hidup suka duka yang kita lalui. Pilih salah satu atau boleh sahaja pilih untuk mengadunkan kedua-duanya.

Walaupun pilihan pertama dilihat lebih mendapat perhatian dalam dunia internet sekarang,penting untuk kita melihat secara objektif. Antara contoh laman web yang mengadunkan kedua-duanya pilihan di atas ialah laman web saifulislam dan ustaz zaharuddin. Dalam pada para pembaca mengikuti kisah hidup kedua tokoh ini mereka tetap mendapat ilmu dalam penulisan mereka. Boleh sahaja jika kita ingin mencontohi mereka.

Keduanya, menulis dalam blog juga tidak kita lihat terhad dalam ruangan masa tertentu. Sekurang-kurangnya jika sampai waktunya kita kembali kepada kehidupan abadi. Sekurang-kurangnya anak, malah juga cucu mampu membaca karya-karya kita dan memahami pemikiran yang kita tinggalkan untuk mereka contohi kelak.Mengapa tidak? :)

Ketiga,penulisan yang kita hasilkan di dalam blog juga satu perkongsian tentang pengetahuan kita kepada para pembaca. Ya seperti dialog di atas, mustahil ada orang yang kering ilmunya jika dikongsikan. Hatta pemahaman terhadap sesuatu perkara yang remeh juga adalah ilmu yang mungkin tidak diperolehi oleh orang lain. Maka perkongsian itu diharap dapat menjadi saham kepada kita jika ilmu itu difahami dan dipraktikkan oleh para pembaca.Kita juga boleh melatih diri sendiri daripada nasihat dan ilmu yang dikongsi, supaya tidak tergolong dalam golongan yang disebut dalam surah As-Saffat ayat 2 dan seterusnya itu.Muhasabah diri sambil memberi peringatan.

Tiga poin yang membuatkan saya terus berkarya walaupun tiada orang yang sudi membaca idea-idea yang dilontarkan.Sekadar perkongsian 'ringkas'.

Teruskan berkarya.

Wallahu'allam.

Ibn Yusof
www.ibnyusof.blogspot.com

Sajida said...

Salam. Terima kasih atas perkongsian. :)

Penuh berharap agar segala penulisan yang dihasilkan bukanlah sesuatu yang sia-sia bahkan bermanfaat meski disedari atau tidak. amin.