Thursday, April 30, 2009

* Rindu itu adalah... *

Masa tengok vcd ceramah Ustadz Zawawi yang bertajuk “Sup Bayi”, ada satu ayat ustadz yang menyentuh hati saya. Pada penutup ceramah itu, kata ustadz:

“Berubahlah kepada yang lebih baik. Mungkin tidak kita sedari, tetapi sebenarnya ramai yang merindui perubahan kita..”

Serta merta saya teringatkan diri saya. Adakah insan yang merindui perubahan diri saya..? Pasti ada. Ma dan Abah terutamanya. Mereka mungkin mahukan saya menjadi jauh lebih baik dari sekarang. Saya yakin mereka ingin saya menjadi anak yang benar2 solehah dan berjaya dunia akhirat. Saya masih dalam perjalanan untuk menggapai perkara itu. Entah mengapa perjalanan ini dirasakan terlalu berliku. Kadangkala saya keliru hingga akhirnya berteleku... Mengenangkan diri yang tidak menentu.. Benar2 mendambakan Hidayah dari Yang Maha Satu..

Apapun, yang penting saya tahu Allah lebih menginginkan saya dan hamba-hambaNYA yang lain untuk berubah, menjadi hambaNYA yang sentiasa kembali kepadaNYA, bukan sekadar di kala musibah melanda. Juga agar menjadi hamba yang sering merindukan untuk bertemu Tuhannya, lantas mempersiapkan diri dengan bekalan-bekalan yang mampu membawanya sampai kepadaNYA...

Allah yang menjadikan kita, Allah jualah yang sungguh menyayangi kita, Dia mempersiapkan syurga nan indah buat kita.. Dan telah memberi kita jalan untuk tiba ke sana. Namun manusia selalu lupa dan adakala sengaja memesongkan diri dari jalan ke syurga. Mereka terpesona dengan keindahan sementara yang menghiasi jalan berdestinasikan neraka.

Ya Allah... Bantu aku untuk berubah.. :(



p.s.: Bila bicara soal rindu, teringat saya akan pertanyaan adik beberapa hari lepas. Saya ditanya tentang “apa maksud rindu???” Tiba-tiba saya sendiri jadi tidak pasti dengan jawapan sendiri.. Cuma sekadar pemahaman saya, rindu itu satu perasaan yang menyebabkan kita terlalu menginginkan sesuatu, terfikir-fikir tentangnya, juga adakala menderita kerana ketiadaannya..

Benarkah begitu...? Kerana ada seorang sahabat pernah memberi istilah ‘Rindu yang Bahagia.’ Saya tidak tahu apa maksudnya di sebalik istilah iu tetapi mungkin maknanya, rindu terhadap sesuatu yang dia pasti akan mendapatnya atau menemuinya. Atau boleh jadi rindu itu yang membuatkan dirinya terasa bahagia dan tenang. Seperti, perasaan rindukan Allah yang membuatkan kita lebih bersemangat untuk beramal soleh serta dikurniakan rasa ketenangan di jiwa.. Saya cuba meneliti lirik lagu Rindu oleh Hijjaz, namun tidak menemui definisi rindu melainkan “Rindu itu adalah anugerah dari Allah...” Semoga kita tidak silap dalam menujukan rasa rindu itu.. :)

No comments: