Friday, June 5, 2009

* Rezeki dariNya *

Kepulangan Irham dari klinik itu serba sedikit mengecewakan. Kalaulah tiada insan lain yang memandang, sudah pasti berhamburanlah air mata membasahi bumi. Dan kalaulah tiada rasa redha yang memagari, pasti dia sudah menyalahkan Ilahi. Seketika hatinya terdetik,

“Salahkah aku jika mengandung buat kali kedua dalam keadaan anak sulungku masih menyusu...?”

Tidak, jangan persoalkan perkara ini wahai diri.. Yakinlah bahawa ketetapan Ilahi itu adalah sentiasa yang terbaik dan penuh dengan hikmah yang tersembunyi. Namun dia tidak mampu menafikan bahawa hatinya sedikit terkesan dengan kata-kata jururawat di klinik tadi,

“Lain kali lepas bersalin tu kena rancang elok-elok. Ni mesti kamu tak rancang. Tengok, kan dah jadi macam ni. Nanti nak salahkan siapa kalau anak kedua terabai...”

Aduh, peritnya hati tatkala ditusuk kata-kata berbisa itu. Sekali lagi hatinya bermonolog sepi. Tuhan sahaja yang tahu betapa dirinya telah banyak berkorban semata-mata untuk menyahkan perkataan ‘terabai’ dari kanvas perjalanan anak-anak. Kerjaya, masa muda, pelayaran ke alam mimpi... Ah, segalanya telah dia korbankan.. Hanya Tuhan yang Maha Mengerti perasaannya tika itu.

Perjalanan pulang ke rumah di dalam kereta suami sungguh tiada terasa... Tiada terisi. Benar-benar khali. Cuma sesekali jelingan Izdihar suaminya, dan rengekan Aysar menghiasi suasana yang tiada berwarna itu. Izdihar membisu seribu bahasa. Hanya senyuman tanda ‘aku sentiasa di sisimu’ yang dilontarkan buat Irham seketika mata mereka bertautan.. Tangannya pantas memainkan cakera padat bacaan al-Quran oleh adik Toha Bajunaid. Bukan tidak mahu
memujuk si isteri dengan untaian kata seribu bahasa, tetapi cukuplah bacaan al-Quran ini sebagai penenang dan penghibur hatinya... Bisik hati Izdihar sendirian.

Setibanya di rumah, Irham dan suami segera menunaikan solat dzuhur berjemaah. Dia tahu aktiviti solat berjemaah merupakan antara pengikat kasih sayang antara suami isteri, jua ia menjadi faktor hadirnya sakinah dalam atmosfera rumahtangga. Aysar seolah-olah memahami bahawa ummi dan walidnya perlu menunaikan kewajipan kepada Yang Maha Esa, kerana itu dia tidak banyak kerenah. Terlalu nyenyak tidur di dalam katil kecil miliknya itu. Riak wajahnya nampak tenang. Setenang hati ummi dan walidnya yang sedang asyik dalam munajat kepada
Tuhan sekalian alam.


Usai solat, mereka makan tengahari bersama sebelum Izdihar perlu kembali ke pejabat dek urusan yang masih tertangguh dan perlu diselesaikan seberapa segera.


“Abang ada beli VCD ceramah Ustadz Azim semalam. Abang letak kat atas VCD player. Ada masa Irham tengoklah ye. Nanti boleh cerita kat abang.”

Suara Izdihar memecah keheningan. Sebenarnya dia sudah menontonnya malam semalam, saat Irham terlebih dahulu memejamkan mata bersama Aysar. Namun, melalui kata-katanya, sengaja dia mahu Irham memahami bahawa dia belum menontonnya.


Selepas menghantar suami hingga ke muka pintu, Irham membersihkan dapur dan segera memasang VCD yang baru dibeli suaminya itu.
Matanya terpaku tatkala mendengarkan satu bahagian ceramah itu:

Segala-galanya kita perlu kembalikan kepada Allah. Barulah hati kita tenang untuk terima sesuatu. Ini tidak, macam-macam sangkaan yang tak berasas kita lontarkan. Contohnya, bila ada perempuan yang keguguran, dia sibuk pergi jumpa bomoh dan bomoh cakap kandungannya dimakan hantu. Orang sekeliling juga asyik beri pendapat sendiri yang sedikit pun tidak membantu untuk menenangkan hati perempuan tadi. Antara pendapat yang diberi:

“Tulah, kamu ni aktif sangat kot... Tu yang janin tak lekat..”

“Ini mesti ada orang yang dengki tengok kamu bahagia dengan suami. Mesti kamu dah kena ilmu hitam dia. Dia nak suami kamu cari perempuan lain lah tu, sebab tu kamu dari dulu asyik gugur je.”

“Dari mana le datang penyakit asyik gugur ni. Keturunan mak tak pernah ada pun yang keguguran kamu tau tak..”

“Lain kali kamu jangan suka duduk tepi tangga masa mengandung. Orang tua-tua kata tak elok, boleh gugur kandungan tu...”

Sungguh benar-benar sempit pemikran sebegitu. Nampak jelas bahawa tiada keyakinan bahawa segalanya telah Allah tetapkan. Dia memberi rezeki kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu, dan Dia juga yang menarik rezeki atau nikmat yang telah dikurniakan. Siapalah manusia ini untuk mempersoalkan takdirNya?

Cubalah mendidik diri untuk mengembalikan segala-galanya kepada Allah. Hati yang meminggirkan keyakinan kepada kuasa Allah pasti sering dihimpit keluh kesah. Jangan susah hati kalau kamu, terutamanya wanita-wanita, keguguran atau mengandung. Segalanya ada hikmah yang tersirat. Dan setiap yang berlaku ke atas kita, Allah tahu kamu punya kudrat untuk memikulnya.


Ya Allah... Ampuni aku seandainya sebelum ini aku seolah-olah tidak redha dengan anugerah kandungan ini. Beri aku kekuatan untuk terus menerus memiliki keyakinan yang kuat terhadapMu..

Baru kini hatinya mampu tersenyum lantas melupakan setiap kata manusia yang sering sahaja menanam sembilu di dasar hati.

اللَّهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْقَوِيُّ الْعَزِيزُ
Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan) dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

(As-Syura: 19)

4 comments:

nur afzan`` said...

sedihnya bc cte ni..huhu T_T
btl kak,kdg2 kita lupe Dia sebaik-baik perncg..sy sdri pun cam tu jugak kdg2..
Moga kita sm2 berada dlm pandgan kasih sygNya..
amenn.. T_T

Sajida said...

hehe... ni adaptasi dari kisah benar tau. :)

amin, moga kita juga sentiasa menyedari kasihNya pada hambaNya..

Mohd Masri bin Mohd Ramli said...

Assalamualaikum wbt.

Mungkin ukhti Sajida boleh membincangka dari sudut feqh hukum perancangan keluarga.

Sajida said...

inshaALLAH.. nnt saya copy paste la dari mana2. rasanya dah byk sgt perbincangan fiqh pasal ni. nak tulis sendiri tak reti.