Wednesday, May 25, 2011

* Dia yang Baru Melihat Dunia *

Bismillah.

TITISAN RAHMAT

Beberapa minggu yang lepas, saya menghadiri taklimat ringkas (hanya antara nurse dan saya -serta ditemani ibu mertua) tentang breastfeeding. Saya tidak bercadang untuk berkongsi terlalu banyak tentang isi taklimat itu, namun hanya ingin berkongsi beberapa info baru (bagi saya) dan agak menarik.

Kata kak hayati (nama nurse tersebut), di hospital tersebut, setiap bayi yang baru dilahirkan akan terus diletakkan di atas ibunya, tanpa dibersihkan atau dimandikan dahulu. Alasannya, kerana mahu mententeramkan bayi yang mungkin ketakutan apabila pertama kali tiba di dunia. Kerana itu bayi akan segera dibaringkan di atas dada ibunya, supaya si bayi tahu bahawa dia berada di tempat yang selamat, khususnya apabila dia mendengar denyutan jantung ibu. Subhaanallah betapa kuatnya ikatan antara seorang ibu dan anak.

Juga kak hayati ada mengingatkan supaya para ibu tidak memberi susu formula kepada bayi yang baru lahir gara-gara kononnya tidak cukup susu badan. Meski hanya terlalu sedikit susu yang keluar pada awal-awal melahirkan anak, ia tetap mencukupi dan sesuai untuk keperluan bayi. Hal ini kerana saiz perut bayi terlalu kecil dan tidak pernah digunakan selama dia mendiami rahim ibu. Kerana itu andai diberi susu formula, perut bayi akan membesar terlalu cepat (tidak elok untuk kesihatannya) dan paling membahayakan apabila perutnya yang masih 'muda' itu terpaksa bekerja keras untuk memproses makanan yang masih belum sesuai dengan kemampuan perut kecilnya itu.

Begitu juga, apabila ruang dalam perut bayi membesar terlalu cepat (akibat diberi susu formula), ia akan menyebabkan bayi cepat lapar lantas menyebabkan para ibu membuat keputusan untuk terus memberi susu formula sebagai ganti susu badan yang dianggap tidak mampu lagi mengenyangkan bayi. Sedangkan, si ibu telah terlepas pandang akan kesilapan yang telah dilakukannya sejak awal kelahiran bayi. Malah tambah kak hayati, perkara ini (memberi susu formula bukan pada waktu yang sesuai) jugalah antara punca-punca penyakit seperti diabetes, obesiti, dan sebagainya (yang mungkin akan dialami ketika bayi dewasa kelak).

Apabila difikirkan, sepatutnya kita meyakini bahawa Allah subhaanahu wa ta'ala tidak akan sesekali menzalimi hambaNya. Allah mengasihi hamba-hambaNya dan telah menciptakan sesuatu itu sangat terancang dan sempurna. Kerana itu, yakinlah bahawa susu badan yang mungkin keluar sangat-sangat sedikit pada awal kelahiran adalah sesuai dengan keperluan dan kesihatan bayi. Memberi susu badan memang kadangkala amat mencabar emosi si ibu namun di situlah pahala kesabaran (di samping pahala menyusukan) akan diperoleh. InshaAllah.




CUKURLAH KESEMUANYA

Tengahari ini saya menonton rancangan di TV3 yang memaparkan secara langsung upacara akikah, tahnik (belah mulut) serta mencukur jambul bayi. Lantas saya terfikir, benarkah ada istilah cukur jambul dalam adab-adab menyambut kelahiran menurut ajaran Islam? Saya merujuk kembali buku Ibnu Qayyim Al Jauziyyah: Tuhfatul Maudud bi Ahkaamil Maulud, yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dan berjudul Persiapan Menyambut Kelahiran Bayi.

Terdapat hadith riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, daripada Ibnu Umar RA bahawa dia berkata:

"Rasulullah shollallahu alaihi wasallam telah melarang Qaza'. Qaza' adalah mencukur sebahagian rambut bayi dan membiarkan sebahagian yang lain."

Dan ada hadith juga yang menyuruh agar dibuang kotoran daripada bayi yang baru lahir itu. Kotoran yang dimaksudkan di sini adalah rambutnya. Sebagaimana dinyatakan dalam hadith riwayat al Bazzar:

"Hilangkan darinya kotoran."

Ibnu sirin ketika mensyarah hadith tersebut berkata, "Jika yang dimaksud dengan kotoran tersebut adalah bukan mencukur rambut, aku tidak mengetahui apa maksudnya dengan hadith tersebut." (Fathul Bari).

Mengenai faedah dari mencukur rambut bayi tersebut, Ibnu Qayyim berkata, "Mencukur rambut adalah pelaksanaan perintah Rasulullah shollallahu alaihi wasallam untuk menghilangkan kotoran. Dengan hal tersebut kita membuang rambut yang lemah dengan rambut yang kuat dan lebih bermanfaat bagi kepala dan lebih meringankan untuk si bayi. Dan hal tersebut berguna untuk membuka lubang pori-pori yang ada di kepala supaya gelombang panas bisa keluar melaluinya dengan mudah di mana hal tersebut sangat bermanfaat untuk menguatkan indera penglihatan, penciuman dan pendengaran si bayi." (Athiflu Wa Ahkamuhu, hal 203-204).

Berdasarkan keterangan di atas, maka eloklah kita mencukur keseluruhan rambut bayi tanpa memotong dengan sedikit-sedikit bahagian tertentu. Namun untuk mengatakan bahawa upacara cukur jambul adalah tidak dibenarkan, maka ia bukanlah dalam pengetahuan saya. Wallahua'lam. Andai mahukan yang terbaik, maka turutilah sunnah. :)

No comments: