Saturday, May 28, 2011

* Memadaikah Sekadar Air Mata *

Bismillah.

Pagi ini bicara di radio IKIM terasa sangat meninggalkan kesan di hati. Meski tidak berpeluang mendengar dari awal (malah tidak tahu nama ustaz yang menjadi jemputan), namun saya bersyukur kerana mendapat peluang mendengar jawapan bagi soalan terakhir daripada pendengar. Soalannya lebih kurang begini:

"Memadaikah tangisan penyesalan kita dijadikan tanda kita ini benar-benar sudah bertaubat dan mahu kembali ke pangkal jalan?"

Jawapan daripada ustaz telah menarik perhatian saya, lantas tergerak untuk berkongsi di sini. Kata ustaz (olahan ayat dari saya):

Para ulama' ada membicarakan bahawa akan ada satu ketika di mana seseorang manusia itu tersedar dari kesilapannya secara tiba-tiba, dia lantas jadi sangat bersungguh mahu bertaubat, seringkali menangisi dosa-dosa lalu, sangat fokus dalam beribadat, mahu segera menunaikan umrah atau haji, dan pelbagai lagi. (Saya yakin ramai antara kita pernah mengalami situasi sebegini.)

Ulama' mentafsirkan bahawa situasi itu adalah satu "wake up call" atau "turning point" bagi mereka yang mengalaminya. Ia seolah-olah membangkitkan kita daripada lena yang panjang agar sedar daripada terus melakukan kesilapan. Namun satu persoalan di sini: Sebaik sahaja nurani kita diketuk oleh panggilan tersebut, apakah perkara pertama yang perlu kita lakukan???


Kata ustaz, antara perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mencari ilmu. Kerana ilmu itu adalah permulaan hidayah. Andai seseorang itu terus sahaja melakukan ibadat, khusyuk dalam suasana taubat, namun hakikatnya tiada ilmu yang teguh tentang agama dan ibadat yang dilakukannya, perkara ini boleh jadi akan menyebabkannya cepat putus asa dan kembali kepada kesilapan yang lalu. Na'udzubillahi min dzaalik.

Kerana itu, dalam mencari ilmu, sangat perlu bagi kita mencari guru, membaca buku-buku agama, dan juga mencari suasana atau rakan-rakan yang mampu membantu kita untuk terus kekal dalam penghijrahan tersebut. Sebagaimana dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam alBukhari dan Muslim, kisah lelaki yang telah membunuh 100 nyawa dan ingin bertaubat, seorang 'aalim telah berpesan kepadanya agar pergi ke satu daerah baru yang ramai penduduknya adalah hamba-hamba Allah yang soleh. Di sini saya letakkan potongan hadith tersebut (terjemahan):

"Pergilah ke daerah itu, di dalamnya ada ramai orang yang beribadah kepada Allah Ta’ala, maka beribadahlah kepada Allah Ta’ala dengan mereka. Dan jangan kembali ke daerahmu, karena ia tempat yang dipenuhi dengan keburukan. Lelaki itu kemudian meninggalkannya dan menuju ke daerah yang disarankan. Ketika di pertengahan jalan Malaikat Maut mengambil rohnya (ia meninggal dunia)..."

Apabila ustaz memberi jawapan sedemikian, segera saya teringat akan seorang artis, yang mana pada awal penghijrahannya, sangat nampak bahawa dia benar-benar sudah bertaubat, mendengar munajatnya yang sungguh syahdu, memang berbeza dengan dirinya sebelum itu, akan tetapi, semakin lama, saya lihat dia kini sudah tidak lagi menutup aurat dengan sempurna, (malah tudung seperti mahu tercabut dari kepala), dia juga tidak kisah menyentuh berlainan jantina ketika berlakon.

Apakah ini kerana dia masih lagi meletakkan dirinya dalam 'daerah' yang berbahaya bagi imannya? Wallahua'lam. Boleh jadi dia jauh lebih baik dari saya dan kita, namun yang ketara di sini, apabila kita mahukan iman yang baru kita bajai itu bercambah dengan baik, eloklah kita segera mengangkat kaki meninggalkan daerah lampau yang kita sendiri tahu penuh dengan noda.


Ya muqallib al-qulub, thabbit quluubana ‘ala dinik...


No comments: