Saturday, August 21, 2010

* Arasy ar-Rahman *

LUPA!

Terkilan, baru sahaja beberapa bulan meninggalkan alam degree, sudah terlalu banyak pelajaran yang semakin luput dari kepala. Sesuatu yang sangat memalukan & paling penting, merugikan! Kerana segala yang saya pelajari itu adalah tentang Islam (bidang Quran & Sunnah), satu-satunya ilmu yang bakal kita bawa sepanjang perjalanan hingga ke Akhirat kelak.

Kerana itu saya cuba mengingatkan kembali antara perkara-perkara yang telah saya pelajari & mahu saya kongsikan. Oleh kerana ketiadaan buku-buku pelajaran itu bersama saya waktu ini, maka boleh jadi terdapat kekurangan atau kesalahan dalam entri ini. Buat yg lebih mengetahui, minta betulkan atau tegur andai terdapat kesilapan.

QURANIYYUN

Untuk semester panjang terakhir saya untuk degree, salah satu subjek yang saya pelajari ialah Ittijahat Hadithah fi Dirasat as Sunnah atau Modern Trends in Studying the Sunnah. Untuk subjek ini, fokus utamanya adalah mengenali puak-puak atau gerakan tertentu, bagaimana metodologi mereka dalam memahami Sunnah juga kefahaman mereka terhadap beberapa isu agama.

Sebagai contoh, Quranniyyun. Secara ringkasnya, golongan ini adalah yang mendakwa bahawa hadith-hadith Nabi Shollallahu 'Alaihi wa Sallam tidak boleh dijadikan hujjah dalam beramal dan alQuran satu-satunya sumber yang mereka rujuk. Alasan mereka, kerana hadith-hadith direkod atau disusun bukan pada zaman Rasulullah Shollallahu 'Alaihi wa Sallam dan itu adalah tanda bahawa hadith-hadith yang ada sekarang ini tidak ada yang dapat dipastikan kesahihannya. Dakwaan ini tidak benar sama sekali kerana sebagaimana yang kita tahu & mungkin pelajari, ulama' hadith telah meletakkan disiplin ilmu yang sangat teliti dalam menilai taraf setiap hadith.

Namun terdapat banyak lagi pecahan di bawah golongan ini dan setiap satu itu membawa metodologi yang berbeza-beza. Satu-satunya persamaan antara pecahan itu adalah, mereka menolak sunnah sebagai sumber untuk memahami agama.

ARASY ALLAH

Kefahaman yang menyeleweng telah menyebabkan mereka tersilap dalam memahami sebahagian besar isu agama terutama dalam soal aqidah. Antaranya, dakwaan mereka terhadap arasy Allah. FirmanNya:

Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy. (Toha: 5)

Mereka mendakwa bahawa Arasy Allah itu hanyalah majaz dan ia bukan perkara hakiki yang memiliki bentuk fizikal (tetapi ia antara perkara ghaib, seperti syurga yang ada bentuk dan sifat-sifatnya). Ulama' ahlus sunnah wal jama'ah telah menolak pendapat ini dengan mengemukakan beberapa dalil:

* Arasy mempunyai wazan @ berat.

Zikir yang diajar oleh Rasulullah Shollallahu 'Alaihi wa Sallam:

سُبْحـانَ اللهِ وَبِحَمْـدِهِ عَدَدَ خَلْـقِه ، وَرِضـا نَفْسِـه ، وَزِنَـةَ عَـرْشِـه ، وَمِـدادَ كَلِمـاتِـه

Maksudnya: Maha suci Allah dan aku memujiNya, sebanyak makhluk ciptaanNya, keredhaan dirinya, seberat timbangan Arasy dan sebanyak tinta kalimahNya. [1]

* Arasy didukung oleh malaikat-malaikat tertentu.

Lagi zikir dari Rasulullah Shollallahu 'Alaihi wa Sallam:

اللّهُـمَّ إِنِّـي أَصْبَـحْتُ أَُشْـهِدُك ، وَأُشْـهِدُ حَمَلَـةَ عَـرْشِـك ، وَمَلائِكَتِك ، وَجَمـيعَ خَلْـقِك ، أَنَّـكَ أَنْـتَ اللهُ لا إلهَ إلاّ أَنْـتَ وَحْـدَكَ لا شَريكَ لَـك ، وَأَنَّ ُ مُحَمّـداً عَبْـدُكَ وَرَسـولُـك


Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya pada pagi ini aku mempersaksikan kepadaMu dan aku mempersaksikan malaikat yang memikul arasyMu, malaikat-malaikat dan semua makhlukMu bahawa sesungguhnya Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, Yang Esa tidak ada sekutu bagimu dan sesungguhnya Nabi Muhammad adalah hamba & rasulMu. [2]

* Nabi menerangkan kedudukan Arasy.

إذا سألتم الله فاسألوه الفردوس فإنها وسط الجنة و أعلاها و فوقها عرش الرحمن و منها تفجير أنهار الجنة

Maksudnya: Jika kalian meminta daripada Allah, mintalah (supaya dimasukkan dalam) alFirdaus, sesungguhnya ia di tengah-tengah syurga, dan ia adalah syurga tertinggi, di atasnya terletak Arasy ar-Rahman, dan daripadanya terpancar sungai-sungai syurga. [3]

* Arasy pernah bergegar kerana kematian seorang sahabat.

اهتز عرش الرحمن لموت سعد بن معاذ

Maksudnya: Arasy telah bergegar kerana kematian Sa'ad bin Mu'adz. [4]

Hadith-hadith inilah yang membuktikan bahawa Arasy Allah itu wujud dalam bentuk fizikal, bukan sekadar majaz seperti yang didakwa golongan Quraniyyun. Masih ada beberapa dalil lagi yang berkaitan, tetapi setakat ini sahaja yang mampu saya selitkan di sini. Moga kita tidak tergolong bersama insan-insan yang menolak kehujjahan sunnah sebagai sumber agama Islam, dan mudah-mudahan kita ini adalah hambaNya yang sentiasa berusaha mengamalkan ajaran agama lantas mengembangkannya. Amin.


Nota kaki:

[1] HR Muslim (4/2090).
[2] Riwayat Abu Daud (4/317), al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad no. 1201, kata Ibn Baz: sanad Abu Daud hasan.
[3] Sahih Ibn Khuzaimah, kata al-Albani dalam Takhrij Kitabus Sunnah hal. 581: hadith ini sahih.
[4] HR Bukhari no. 3803.


No comments: