Tuesday, August 31, 2010

* Harapan Mendiami Syurga Hakiki *

Bismillah.

FACEBOOK

Ada apa dengan facebook? Terlalu banyak jawapan yang boleh diberi. Kebenaran, kebatilan, dakwah ke arah kebaikan, dakyah kepada agenda musuh, segalanya tersedia ada. Hanya tinggal keinginan di hati, mahu kebaikan atau kebaikan, buatlah pilihan berbekalkan akal yg sempurna. Kali ini bukanlah saya ingin bercerita panjang tentang Facebook. Siapa tidak tahu tentang facebook? Makcik-makcik di taman perumahan saya sendiri memiliki akaun di laman web itu.

Jadi saya yang tidak berapa punya pengetahuan tentang latar belakang Facebook tidaklah mahu berbicara soal itu. Namun saya ingin menyentuh tentang satu perkara yang ada kaitan dengannya, iaitu: status.

STATUS

Status di sini bukanlah bermaksud status tentang relationship yang kita ada, tetapi tentang ayat-ayat yang bermain di fikiran kita dan ingin kita kongsikan bersama kawan-kawan lain di laman itu. Status-status yang ada bisa sahaja mengundang pergaduhan, penghayatan, keinsafan & pelbagai lagi respon terhadapnya. Saya di sini ingin berkongsi setakat yang saya tahu tentang satu status (dan status lain yang sewaktu dengannya) serta perbincangan tentangnya.

Panjang sungguh muqaddimah saya sebelum sampai ke intipati. Secara ringkas, saya sekadar ingin menyatakan kehairanan tentang status yang meluahkan keluhan sesetengah jiwa manusia yang merasa bersalah tatkala ia menginginkan balasan syurga di akhirat kelak. Mengapa sampai demikian? Benarkah ada silapnya apabila hati kita ini menginginkan diberi balasan syurga oleh Allah?

IKHLAS

Saya dapati sesetengah manusia merasa bersalah tatkala melakukan amal ibadat dengan mengharapkan syurga Allah. Kata mereka, amalan yang disertakan keinginan untuk masuk ke syurga adalah tidak ikhlas. Saya tahu ada sesetengah kelompok manusia yang mengatakan bahawa jika kita inginkan maqam atau kedudukan yang tinggi di sisi Allah, maka seharusnya kita membebaskan diri dan hati daripada mengharapkan syurga, sebaliknya mengharapkan kasih sayang Allah SWT semata.




Saya tidak berapa arif tentang kelompok manusia ini, akan tetapi saya yakin bahawa mereka (atau idea ini) wujud kerana saya sering bertemu manusia-manusia seperti ini, dan antara buktinya, status di Facebook tentang cemuhan terhadap diri yang merasa berdosa apabila mengharap syurga.

Penuh kehairanan jadinya. Adakah mereka ini menganggap bahawa apabila amalan itu disertakan pengharapan terhadap syurga, maka ia dikategorikan sebagai tidak ikhlas kerana Allah Ta'ala? Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ikhlas? Syaikh Ibn Uthaymeen rahimahullah pernah ditanyakan tentang makna ikhlas, dan secara ringkas, jawapannya:


Ikhlas kepada Allah subhanahu wata’ala maknanya seseorang berharap melalui ibadahnya tersebut untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah subhanahu wata’ala dan mendapatkan keredhaanNya.

(Fatwa-Fatwa Terkini Jilid 1, penerbit Darul Haq.)

Dan untuk lebih memahami, kita lihat apakah antonim bagi perkataan ikhlas dan siapakah yang termasuk dalam golongan yang tidak ikhlas ketika melakukan ibadah. Kata Syaikh Ibn Uthaymeen rahimahullah lagi, perbuatan itu tidak lagi dianggap ikhlas apabila ia dilakukan untuk mengharap pujian orang ramai, atau secara ringkasnya, riyak (ingin menunjuk-nunjuk) atau sum'ah (agar tersebar berita tentang hal dia beribadah lantas mendpat pujian).

Nah, kita jelas kini bahawa mereka yang melakukan ibadah kerana mengharapkan ganjaran dari Allah (syurga) nyata tidak sama dengan mereka yang beribadah kerana riyak atau sum'ah. Dan andai kita fikirkan sejenak, kelompok manusia tadi mengatakan kita perlu beribadat semata-mata kerana mengharap kasih sayang Allah, bukan kerana syurga, tetapi bukankah apabila kita mengharap ganjaran syurga tatkala beramal, bererti kita juga mengharap kasih sayang Allah? Kerana Syurga adalah tempat khas yang Allah sediakan buat hamba-hamba yang Allah kasihi. Apakah kita ingin mengatakan bahawa hamba yang berjaya meraih cintaNya akan turut dihumban ke dalam neraka?

AJARAN ALQURAN & ASSUNNAH

Yakinlah, bahawa mengharap syurga ketika beramal adalah berasaskan ajaran dari alQuran dan asSunnah. Saya akan bawakan beberapa ayat alQuran serta hadith yang terkandung ajaran tentang meletakkan pengharapan terhadap ganjaran syurga Allah.

Ayat alQuran:

1) Firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Dan bersegeralah kamu semua menuju keampunan daripada Tuhanmu dan juga menuju syurga yang luasnya seluas langit-langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang bertaqwa. (Ali ‘Imran: 133).

Ayat ini menerangkan bahawa syurga itu adalah untuk orang-orang yg bertaqwa, dan Allah menyatakan dalam firmanNya yang lain bahawa Dia mengasihi orang yang bertaqwa. (Rujuk: Surah Ali ‘Imran: 76 dan al Taubah: 4 & 7).

Inilah bukti bahawa Syurga itu adalah tempat mereka yang dikasihi Allah. Dan di sebalik keinginan untuk ke Syurga, terselit pengharapan untuk berada di tempat hamba-hamba yang dikasihi Allah.

2) Firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka bagi mereka syurga-syurga sebagai tempat mereka kembali. (al Sajdah: 19).

Ayat ini dengan terang menyatakan bahawa tempat kembali orang yang beriman dan beramal soleh adalah syurga, lantas patutkah kita mengatakan orang yang mengidamkan syurga sebagai tempat kembali adalah mereka yang bermaqam atau berkedudukan rendah?

Malah terdapat juga hadith-hadith yang mengajar kita agar meminta diberikan syurga oleh Allah:

1) Sabda Rasulullah SAW kepada para sahabat ketika suasana peperangan: ‘Apabila kamu meminta kepada Allah, mintalah al Firdaus, sesungguhnya ia adalah syurga di tengah-tengah dan syurga yang paling tinggi. (al Bukhari: no. 2790)

2) Ketika seorang lelaki ditanya oleh Rasulullah SAW tentang doanya di dalam solatnya, beliau berkata: aku bertasyahhud dan aku berkata, ya Allah, aku memohon kepadaMu syurga dan aku mohon perlindungan kepadamu daripada neraka. Aku tidak pandai memohon apa yang engkau (Rasulullah) dan Muadz (Ibn Jabal) pohon. Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Itulah yang kami pohon’. (Muslim: no. 1122)

Kerana itu, wahai pembaca sekalian, usahlah mencemuh diri tatkala merasakan keinginan untuk diberi ganjaran syurga timbul dalam diri saat beramal. Malah, perbanyakkanlah doa agar diberi ganjaran Syurga di akhirat kelak. Kita cuma ada dua pilihan, samada syurga atau neraka. Mustahil kita inginkan adzab neraka! Namun, jangan lupa bahawa destinasi akhir kita ditentukan oleh amalan kita di dunia. Jika inginkan Syurga, lakukanlah amalan2 yang akan membawa kita ke syurga. Teringat saya akan kata-kata seorang Ustadz ketika iftar di Shah Alam beberapa hari lepas:


"Kita ingin kaya dan ada rumah besar di dunia ini, sepatutnya kita juga perlu ada kemahuan untuk lebih kaya di akhirat kelak!" (Diberi nikmat syurga yang berganda-ganda mewah dan indah daripada apa yang ada di dunia ini.)


Wallahua'lam.


Rujukan:

http://fatwaulama.wordpress.com/2007/01/10/makna-ikhlas/
http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/41


2 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum..

teringat salah satu kisah rabiah.
beliau berjalan sambil membawa air dan obor api di tangannya dan berkata;

"jika manusia beribadah semata-mata takut akan neraka Allah, akan kusiram neraka dengan air dan jika manusia beribadah kerana mengharap syurga Allah, akan kubakar syurga itu."

Sajida said...

waalaikumussalam.

kisah rabiah sehingga kini masih tidak ada yg mampu datangkan dalil bahawa ia dtg dari sumber yg sahih. (inform me if you do have the dalil).

tentang kata2 nya itu, wallahua'lam dari mana datangnya dan tidak perlu kita menjadikan sumber dalam mengamalkan agama. what matters the most adalah kita ambil kira yg Alquran & sunnah ajarkan. & apa2 sahaja kata2 manusia atau ideologi yg bertentangan dgn kedua2 itu, maka kita tolak.

bukankah nabi SAW mengajar kita berdoa "rabbana aatina fid dunya hasanah, wa fil aakhirati hasanah, wa qina /adzaabannaar."

YA ALLAH BERIKAN KAMI KEBAHAGIAAN/ KEBAIKAN DI DUNIA, DAN KEBAHAGIAAN DI AKHIRAT, DAN LINDUNGI KAMI DARI ADZAB API NERAKA.

tidak ada satu dalil dari quran & sunnah yang menghalang kita beribadah dan mengharapkan syurga Allah.

mungkin saya belum temui dalil (dari alquran & sunnah) yg menyokong kata2 rabiah, & minta bawakan andai anda ada temui.

wallahua'lam.