Monday, November 30, 2009

* Miskin Bukan Faqir *

ISLAM TIDAK MEMUSUHI KEKAYAAN

Sejak kecil kita telah diajar berdoa. Pada kebanyakan perlakuan kita, ia dimulakan dengan doa, dan diakhiri juga dengan doa. Apakah berdoa itu sekadar adat kebiasaan kita atau ia lebih dari itu?


Soalan yang sudah sedia maklum jawapannya. Pastinya kita ini dididik agar berdoa kepada al-Khaliq sebagai tanda kita memerlukan pertolonganNYA dalam setiap hal dan perbuatan. Tanda kerendahan hati kita di hadapan Pencipta yang tiadalah sesuatu akan berlaku melainkan dengan izinNYA.

Banyak doa yang telah diajarkan oleh Rasulullah Shollallahu alaihi Wasallam kepada umatnya. Dan antaranya terdapat satu doa yang sering disalah fahami maksudnya. Mari kita lihat apakah doa yang dimaksudkan.

Allahumma ahyinii miskiinan, wa amitnii miskiinan, wahsyurnii fii jumratil masaakiin.

Ertinya: Ya Allah ! Hidupkanlah aku dalam keadaan miskin, dan matikanlah aku dalam keadaan miskin, dan kumpulkanlah aku (pada hari kiamat) dalam rombongan orang-orang miskin".

Hadits ini dikeluarkan oleh Imam Ibnu Majah (no. 4126) dan lain-lain. Al-Albani mengatakan bahawa hadith ini hasan. [Lihat pembahasannya dalam kitab beliau: Irwaul Ghalil (no. 861) dan Silsilah Shahihah (no. 308)]

Seandainya kita memandang bahawa maksud MISKIN dalam doa di atas adalah sebagaimana yang sedia difahami, iaitu: orang yang kekurangan harta, maka ia akan membawa kepada banyak impak negatif seperti:

1. Akan terlalu sedikit manusia yang berani mengamalkan doa ini lantaran fitrahnya yang cintakan harta.

2. Akan timbul pertanyaan: Mengapa Rasulullah menyuruh kita agar meminta dijadikan miskin? Sedangkan dalam Islam terdapat sistem zakat yang tujuannya untuk memerangi kemiskinan? (Kita berlindung daripada berburuk sangka terhadap baginda SAW).

3. Akan ada musuh Islam yang mengatakan bahawa agama Islam memusuhi kekayaan!

Apa pula kata ulama’ hadith dan bahasa dalam mentafsir perkataan miskin dalam doa tersebut?

1. Kata Imam Ibnul Atsir: Miskin bermaksud tawaduk dan khusyu', maka maksud jadikan aku miskin bermaksud: meminta agar tidak menjadi orang-orang yang sombong dan takabbur.

2. Kata Ibn Manzur: asal perkataan miskin dari segi bahasa ialah al-khaadi' (orang yang tunduk), dan asal perkataan faqir ialah: Orang yang memerlukan. Maka yang dikehendaki dari doa ini ialah: Aku merendahkan diriku kepada Mu wahai Rabb dalam keadaan berhina diri, tidak dengan sombong. Dan bukanlah yang dikehendaki dengan miskin di sini adalah faqir yang memerlukan (harta).

3. Kata Imam Baihaqi: Menurutku Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam tidaklah meminta keadaan miskin yang maknanya kekurangan tetapi beliau meminta miskin yang maknanya tunduk dan merendahkan diri.

Dan begitu jugalah keterangan yang diberikan oleh Imam-iman lain seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiyah, Imam Ghazali, Imam Qutaibi, Imam Sakhawi, Imam Mubarakfuri dan lain-lain. Sebagai penjelasan lengkap, maksud doa di atas adalah seperti berikut:

“Ya Allah, hidupkanlah aku dalam keadaan khusyu' dan tawaduk, dan matikanlah aku dalam keadaan khusyu' dan tawaduk, dan kumpulkanlah aku (pada hari kiamat) dalam rombongan orang-orang yang khusyu' dan tawaduk.”

Kerana itu, segeralah bertanya atau membuat rujukan setiap kali kita dilanda kemusykilan agama, antaranya dalam memahami maksud hadith. Ayuh kita berhati-hati agar tidak tersilap beramal.

Satu perkara lagi, jangan takut untuk amalkan doa di atas. :)



TIADA TARADUF DALAM AL QURAN

Apa itu taraduf? Taraduf ialah (apa yang saya faham) sinonim yang sama 'sebijik' maksudnya. Sebagai contoh, dalam bahasa kita, penulis sama ertinya dengan pengarang.

Tetapi dalam konteks Al Quran tiada satu perkataan atau istilah pun yang ada sinonim. Kerana itu, apabila ada ulama' yang mengatakan bahawa Tafsir itu seerti dengan Takwil tanpa membezakannya, pendapat itu tertolak kerana kedua-dua perkataan tafsir & takwil adalah istilah Quran dan mengikut kaedah ini: LAISA HUNAKA TARADUF FIL QURAN (tiada taraduf dalam al-quran), tafsir dan takwil perlu difahami dengan maksud yg tersendiri.

Selama ini kita mungkin faham bahawa al-walid itu seerti dengan al-ab. Tetapi jika kita membuat analisis penggunaan alquran terhadap dua istilah itu, terdapat perbezaannya. Terlalu panjang jika mahu diceritakan di sini. Buat yang berminat untuk mengkaji, mungkin antara kitab yang boleh dirujuk ialah AL-FURUQ AL-DILALIYYAH yang ada di bahagian Reference, IIUM Library. :)

Sangat menarik. Tahukah anda, dengan kaedah ini, kita akan mengetahui sebenarnya:

-Al-bayt dan al-manzil ada perbezaan maknanya.

-Al-jamaal dan al-ibil bukanlah sinonim.

-Orang yang bertaqwa tidak sama ertinya dengan orang yang beriman.

-Baata (بات) dan naama (نام) membawa erti yg berbeza walaupun hampir sama.

-Al-khail bukan al-hison.

-Miskin tidak seperti faqir.

Kaedah ini penting terutamanya dalam bidang fiqh atau dalam menetapkan hukum. Kerana alquran itu adalah sumber hukum, maka setiap perkataan perlu difahami dengan sebenar-benarnya dan dengan tepat.

Ini juga sebagai tanda bahawa Allah itu Maha Kaya dan tidak lemah sehingga perlu menggunakan perkataan yang sama berulang kali untuk konteks yang berbeza. Subhaanallah.

Itulah keistimewaan bahasa Arab. Kerana itu juga ia adalah antara faktor (banyak faktor lain lagi) yang menjadikan bahasa Arab dipilih menjadi bahasa Al Quran. Ia adalah bahasa yang sangat kaya. Sebagai contoh, kambing yang berbeza-beza umur ada namanya yang tersendiri. Tidak seperti bahasa kita, tidak kira berapa umurnya, kambing tetap kambing. :)

Berusahalah mendalami dan mempraktikkan bahasa Arab. Telah diakui bahawa bahasa ini adalah bahasa yang paling sistematik dan mengikut logik. Sistematik dan logik bagaimana? Perlulah belajar. :)

Wallahua'lam.

No comments: