Sunday, November 29, 2009

* Di tengah keramaian *

BAHAGIA PUNYA MEREKA

Buat teman-teman yang sering 'mengadu' dan seolah-olah merenung malangnya nasib diri apabila tidak dilahirkan dalam keluarga yang kuat pegangan agama, entri ini saya tujukan khas untuk kalian...


Saya punya ramai teman yang sangat cintakan agama, dan itu merupakan satu perkara yang sangat saya syukuri. Berada di sekeliling mereka membuatkan saya sentiasa ingin memperbaiki diri agar sentiasa lebih baik dari semalam. Ini kerana mereka adalah antara insan-insan yang sering mencari jalan untuk dekat kepadaNya, yang selalu bertanya apabila tidak tahu, sering meneroka jalan untuk meraih cintaNya, sering meluah rindu pada syurgaNya, dan acapkali mengajak insan lain sama-sama melakukan kebaikan. Mohon kami dihimpunkan bersama-sama di dalam firdausiNya kelak. InshaAllah.

Mungkin ada antara mereka yang merasakan malu dan rendah diri apabila agak terlewat mendekatkan diri kepada Allah. Namun pada hakikatnya, tiada istilah terlewat selagi belum dipanggilNya. Selagi nyawa masih dikandung badan, tiada yang perlu disesalkan. Malah ia satu perkara yang amat perlu disyukuri. Betapa ramai lagi umat manusia yang sedar bahawa kematian itu kian hampir namun keseronokan dan kealpaan duniawi yang tetap diburunya, dan akhirnya mati dalam keadaan tidak sempat bertaubat. Na’udzubillah. Ayuh kita jauhkan diri agar tidak tergolong dalam manusia-manusia yang disebutkan dalam ayat ini:

Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan : "Sesungguhnya saya bertaubat sekarang"... (An Nisaa’: 18)

Masih berbaki satu perkara yang sentiasa akan menyebabkan hati seorang mukmin akan meronta-ronta untuk menambah amal kebaikan: kesedaran bahawa kematian itu datang dengan tiba-tiba. Firman Allah:

Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok, dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati.
(Luqman: 34)


Kami telah menentukan kematian di antara kamu dan Kami sekali-sekali tidak akan dapat dikalahkan. (Al Waaqi’ah: 60)

IMAN TIDAK DIWARISI

Pasti masih terpahat di ingatan kita tentang lirik lagu ini pernah popular satu ketika dahulu:

Iman tak dapat diwarisi
Dari seorang ayah yang bertaqwa
Ia tak dapat dijual beli
Ia tiada di tepian pantai

Walau apapun caranya jua
Engkau mendaki gunung yang tinggi
Engkau merentas lautan api
Namun tak dapat jua dimiliki
Jika tidak kembali pada Allah

Nah, satu kenyataan yang sedia difahami ramai namun adakala kefahaman tersasar. Di sinilah tanda Allah itu Maha Adil. Manusia tidak memperoleh iman itu dengan berada dalam keluarga yang berpegang kuat pada agama semata, tetapi iman datang seandainya jiwa sering berusaha memburunya, tidak kira berada di ufuk mana. Kita tidak pernah diberi pilihan untuk lahir di mana, siapa ibubapa atau adik beradik kita, di negeri mana, pada jam berapa, dan lain-lain lagi yang di luar kudrat kita. Kerana itu Allah tidak menetapkan bahawa iman itu bisa berpindah-randah dari satu jasad ke satu jasad, akan tetapi iman itu satu mutiara yang akan lahir tatkala diri mula berusaha mendekati Penciptanya.

Teringat saya akan satu hadith maudhu’ (palsu) yang dipelajari untuk subjek Ma’ayir Naqdil Hadith: Criteria of Hadith Criticism. Hadith palsu tersebut seperti ini:

من أكل مع مغفور له غفر له

Maksudnya: Siapa yang makan bersama orang yang telah Allah ampuni (orang-orang soleh) maka dia akan (turut) diampuni.

Terkekek-kekek kami ketawa apabila dibacakan hadith palsu ini ketika dalam kelas. Terasa kelakar dan tidak masuk akal. Memang adakala antara sifat hadith palsu begitu: akal & jiwa akan merasa ada sesuatu yang tidak kena tatkala mendengarnya.

Hadith ini palsu kerana ia nyata bertentangan dengan Al-Quran. Dan seperti yang kita ketahui, alquran & hadith sekali-kali tidak bertentangan kerana kedua-duanya wahyu dari Allah. Itu salah satu kriteria dalam menilai taraf hadith, iaitu dengan membandingkannya dengan Al-Quran. Istilah nya ialah ‘Ardhus Sunnah ‘alal Quran.


Kita perhatikan, dalam Al-Quran, Allah mengajar kita bahawa manusia itu bertanggungjawab dan akan disoal atas perbuatan sendiri. Manusia juga diberi ganjaran atas perbuatan yang dilakukan sendiri. Firman Allah:

bahwasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain (An-Najm: 38)

tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya. (At-Thuur: 21)

Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya. (Al-Israa’: 36)

Dan satu dalil (bukti) yang kuat untuk mematahkan dakwaan hadith palsu tersebut ialah ayat ini:

Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang saleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), Maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): "Masuklah ke dalam Jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)". (At-Tahrim: 10)

Lihatlah, sedangkan para nabi sendiri tidak mampu membela isteri-isteri (di hadapan Allah kelak) yang menentang agama. Mereka bukan setakat pernah makan bersama dengan nabi, malah hidup bersama sebagai suami isteri, pastilah ia bukan terhad kepada makan bersama sahaja. Namun perkara itu sedikit pun tidak membantu isteri-isteri mereka (yang tidak mahu beriman) untuk terselamat dari seksa neraka. Apakah dengan sekadar makan bersama orang yang diampuni Allah, kita akan turut diampuni? Fikir-fikirkanlah.

BERUNTUNGLAH


Buat teman yang selama ini mengidamkan cintaNya, lantas dipimpin Ar- Rahman agar kembali menelusuri jalanNya, bersyukurlah! Merasa beruntunglah! Tidakkah kalian tahu ada manusia yang mahu menjadi baik, teringin memiliki iman tetapi jalan menuju kebenaran agak sukar buat mereka. Kebanyakannya kerana kesungguhan mereka dalam mengejar yang hakiki itu terlalu nipis. Keinginan kekal sebagai keinginan tanpa disertai perbuatan yang benar-benar mahukan keinginan itu tercapai. Bukankah Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wasallam mengkhabarkan kepada kita:

Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh badan kamu atau harta kamu, tetapi Dia memandang (apa yang ada dalam) hati kamu dan perbuatan kamu.

Sahih Muslim, Bab Tahrim Zulm Almuslim, 12/427

Niat yang lahir dari hati itu serta perbuatan kita saling terikat. Ia tidak mungkin dipisahkan. Kerana itu tiada istilah ends justify the means atau matlamat menghalalkan cara. Kerana itu perbuatan mencuri dengan niat menderma adalah tidak diterima di sisi Islam. Niat dan amalan perlu sentiasa seiringan.


Oleh itu, andai hati kamu terusik agar mencari cintaNya, jika jiwaMu mula terasa memerlukanNya, segeralah buktikan dengan perbuatan bahawa kamu sememangnya mahukannya. Usaha kamu dalam memburu kebaikan tidak akan dipersia. Malah kamu akan menemui suatu sinar yang tidak semua insan terpilih untuk ketemunya.

Teman-temanku, andai kalian diberi hidayah di tengah-tengah manusia lain alpa dengan dunia, merasa beruntunglah dan hargailahnya. Berusahalah agar hidayah itu tidak ditarik kembali, kerana hati itu sifatnya berbolak balik. Bisa sahaja ia menjunam ke lurah kesesatan, dan ia juga bisa terbang menggapai selangit rahmatNya. Berdoalah dan carilah jalan agar mereka yang kalian sayangi akan turut merasai lazatnya kemanisan hidayah Allah itu.

Insha ALLAH.



No comments: