Tuesday, October 20, 2009

* Wasiat untuk Adik *


Buat adikku sayang...

Khabar apa hatimu saat ini? Masihkah gundah gulana dengan kerikil-kerikil kecil yang dilontarkan pada perjalanan hidupmu? Harapanku moga dirimu kekal teguh meski hari-harimu dikunjungi hiba... Doaku agar jiwamu cekal tatkala malam-malammu dicengkam mimpi ngeri.

Adik,

jika engkau mahu mengenali bagaimana sebenarnya rupa sebuah kehidupan, maka ketahuilah bahawa apa yang sedang engkau alami itulah jawapannya. Tidak dinamakan kehidupan jika tiada kesusahan yang bertandang. Ujian dan dugaan itu pasti, namun usah bimbang... ALLAH pasti bersamamu dan menolongmu dalam mengatur hidup ini. Silih ganti antara susah dan senang itu bukanlah sekadar perhiasan dalam kehidupan yang tiada bermakna, bahkan ia perhiasan yang benar-benar mengindahkan lagi kisah hidupmu. Yang penting, bagi setiap kebahagiaan dan kedukaan yang hadir, ambillah pengajaran yang mengiringinya.

Usahlah memikirkan masa akan datang dengan meletakkan pelbagai anggapan-anggapan buruk padanya. Yakinlah bahwa hari esok pasti membawa sinar buatmu seandainya itu yang engkau mahu. Keyakinan yang terselit doa padanya pasti membawamu ke arah kejayaan. Usah gusar usah bimbang adikku. Andai kerisauanmu itu wujud kerana bimbangkan kegagalan, maka berusahalah dari saat ini agar ia tidak menjadi sebuah realiti. Dan andaikata gelisahmu itu hadir kerana takutkan sebuah perpisahan, maka ketahuilah satu perkara ini:
kita berpisah demi satu pertemuan yang lebih abadi.
Ya, kita berpisah kerana takdir menetapkan jalan perjuangan kita kepadaNYA tidak sehaluan. Namun, seandainya kita tetap teguh di atas jalan perjuangan ini, pasti destinasi kita adalah Firdausi yang sering melambai tika kita kelelahan. InshaALLAH.

Adik,

pagi ini kakak ke kuliah seperti biasa. Kakak seronok memerhatikan gelagat teman-teman yang terkocoh-kocoh datang ke kelas, namun tiba-tiba kakak terkejut melihat teman yang seorang ini. Baru beberapa hari lepas dia kehilangan bonda yang tercinta, jadi bagaimana dia masih mampu mengorak langkah menempuh hidup seperti biasa?
Rasa kagum mula terukir di hati. Andainya kakak berada di tempatnya, kakak tidak pasti apakah kakak masih bisa memujuk diri kembali ke universiti? Apatah lagi untuk melangkah ke kuliah?!



Dan tengahari ini, kakak ketemu dia di kafe, mencari makanan untuk bekalan jasad. Ya Allah, andaikan nasibku sepertinya, apakah aku masih punya kekuatan untuk mengangkat muka dan memandang hidup ini? Kerana bagiku dunia ini sudah tiada serinya. Mampukah aku mengekalkan rasa bahagia dengan takdirMu sekiranya dia yang aku kasihi telah Engkau jemput?

Adakala kita sendiri tertanya-tanya. Bagaimana dia mampu kekal tabah? Dari mana sumber kekuatan itu? Andai engkau berusaha mencari pasti engkau akan mengerti. Kekuatan itu dari Dia yang Maha Memberi. Dia lah pengatur hidup insani. Merayulah padanya agar dicekalkan hati. Kerana tanpaNYA dalam hati, nurani pasti mati.

Adik,

sorotilah kisah hidup mereka yang jauh lebih susah darimu. Usah menyimpan pendirian bahawa dalam dunia ini, 'nasib akulah yang paling malang'. Seketika tadi, saat kakak teringatkan teman itu, airmata kakak mengalir. Kakak sendiri tidak pasti mengapa kakak terlalu sedih. Mungkin kerana kasihan. Mungkin juga airmata ini 'mewakilinya' meleraikan kesedihan.


Ayuh teruskan hidup ini di bawah pimpinanNYA, ALLAH yang dirindui.


4 comments:

Trinisaurus said...

sgt terkesan di jiwa...

Sajida said...

moga dapat manfaat darinya.

Anonymous said...

this post was among the best ever that i read in your blog..well done.

FadBaha said...

she's really great bcoz she's my sis..=)