Wednesday, October 27, 2010

* Pasti Ada Bahagia *

Bismillah.

BINTULU

Pada awal-awal hari kedatangan saya di bumi Bintulu, saya menerima beberapa nasihat, namun ia tidak memberi ketenangan kepada hati saya. Apa nasihat yang saya terima? Mereka kata;

"Duduk kat Bintulu ni kena banyak sabar..."

"Jangan sedih-sedih bila duduk Bintulu ni, akak pun even dah berkeluarga, kadang-kadang menangis bila rasa tak seronok tinggal di sini..."

"Bintulu bandar yang banyak dugaan..."

Nasihat kah itu? Saya hanya tersenyum menerima kata-kata itu. Terima kasih atas nasihat supaya meminta saya bersabar. Cuma bagi saya, mengapa awal-awal lagi beri perspektif yang tidak enak tentang bandar yang bakal saya huni ini? Sedikit sebanyak ia mempengaruhi jiwa saya apatah lagi pada hari-hari pertama saya di sini, yang saya kenali hanyalah suami. Remuk juga hati apabila sendirian di rumah memikirkan diri yang jauh dari keluarga.

Namun semakin hari semakin bertambah jumlah insan-insan di sini yang saya kenali, terutama apabila saya menyertai program Tadarus Alquran semasa bulan Ramadhan yang lepas. Alhamdulillah berpeluang mengenali kaum ibu yang tinggal berhampiran, dan rata-rata mereka adalah dari semenanjung. Terima kasih Allah kerana beri saya peluang untuk menambah kenalan meski di bumi yang agak asing ini.

Dan terima kasih juga kepada seorang kenalan saya (isteri bos suami) yang membetulkan semula perspektif saya tentang bandar Bintulu ini. Dia juga seorang yang berhijrah dari semenanjung, namun katanya selagi dia berada Bintulu, pasti dia akan mengambil peluang untuk menikmati kehidupan di sini. Terutama sekali dalam menikmati perkara-perkara yang dia tidak akan perolehi di kampung halamannya. Kerana itu dia rajin berekreasi bersama keluarga di hutan lipur dan juga gua-gua indah yang memaparkan fenomena alam.

Katanya lagi, di sini juga dirasakan hubungan sesama sahabat adalah rapat, tidak seperti di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur yang biasanya manusia terlalu sibuk dengan urusan masing-masing. Tambahan, di sini suasana tenang, kesesakan sangat kurang dan biasanya ketenangan inilah yang dirindui saat kembali ke semenanjung. Benar, selama saya di sini, meski hampir dengan bandar, namun ketenangan tetap ada. Terutama sekali kerana kebanyakan premis akan berhenti beroperasi dalam pukul 8malam.

Saya fikir, betapa pandangan dan kata-kata orang adakala sangat mempengaruhi bagaimana kita memandang kehidupan ini. Alhamdulillah, walaupun saya kini di Sarawak, usahlah membayangkan bahawa saya tinggal di rumah panjang atau jauh dari bandar. Malah, kemudahan-kemudahan awam sangat senang didapati. Rumah saya kini berhampiran dengan pantai, tempat rekreasi keluarga, hutan untuk jungle trekking, dan bermacam-macam lagi kemudahan yang bahkan tiada di kampung saya.

Apapun, akhirnya saya sedar, di mana-mana kita berada, sabar itu tetap perlu ada. Kerana ujian Allah itu tidak mengira tempat. Dan di mana-mana jua kaki kita ini bertapak, andai kasih sayang Allah melimpahi kehidupan kita, pasti ada bahagia yang akan kita temui.


MAKCIK

Ada seorang makcik yang saya paling rapat di sini. Anak jati Sarawak. Dari makcik saya belajar sedikit tentang bahasa Sarawak. Pernah suami outstation ke semenanjung, dan saya terpaksa menumpang di rumah makcik selama 3 hari. Sepanjang 3 hari bersama makcik (anak-anak makcik semuanya sudah besar dan tiada di rumah), terlalu banyak perkara yang saya pelajari.

Makcik adalah seorang yang sangat pemurah, rajin memberi tanpa berkira. Katil, set pinggan mangkuk, makanan, semuanya antara yang di sedekahkan kepada manusia yang dilihatnya kurang berkemampuan. Makcik juga adalah yang sangat rajin membantu. Jika terlihat saja orang tua yang tidak bermaya berjalan kaki seorang diri di tepi jalan, pasti makcik akan memberhentikan kereta dan menumpangkan orang tua itu hingga ke destinasinya. Subhaanallah, betapa besar ganjaran yang pasti Allah beri buat sang pemilik hati yang begini. Hal ini segera mangingatkan saya akan sabda Rasulullah Shollallahu Alaihi Wasallam:

Janganlah merasa iri hati, kecuali kepada dua orang:

1) Orang yang diberi harta oleh Allah, kemudian dibelanjakannya untuk yang haq;
2) orang yang diberi hikmah (ilmu yang haq) oleh Allah, kemudian dipergunakannya (untuk yang haq) serta diajarkannya.

[Sahih Bukhari, Kitab Ilmu, hadith no. 59.]

P.S.: iri hati ada dua jenis, pertama yang mengharapkan hilangnya nikmat yang dimiliki oleh orang lain. Kedua, mengharap supaya memperoleh nikmat seperti yang dimiliki oleh orang itu. Dan maksud iri hati dalam hadith ini adalah jenis yang kedua.

Makcik adalah seorang surirumah tangga sepenuh masa namun dia menjadi antara inspirasi saya. Inspirasi untuk menjadi surirumah yang berjaya, maksud saya berjaya dalam soal menunaikan tanggungjawab kepada agama, keluarga dan juga masyarakat.

Waktu dhuha dihabiskan agak lama di atas tikar sejadah, mengamalkan zikir-zikir pagi yang diajarkan oleh Rasulullah Shollallahu Alaihi Wasallam dan pastinya solat sunat dhuha tidak akan ditinggalkan. Namun satu hari makcik mendapat satu penyakit, penyakit yang menyebabkannya tidak mampu untuk meneruskan rutin hariannya seperti biasa. Makcik mengadu bahawa dia merasa sedih kerana sakit itu menyebabkan dia tidak mampu untuk menunaikan solat-solat sunat sebagaimana yang dia biasa lakukan. Kala itu, yang terfikir dalam kepala saya adalah satu hadith yang benar-benar melegakan hati & satu bukti Allah Maha Pemurah.

Sabda nabi shollallahu alaihi wasallam:

Apabila seorang hamba (tetap terus) melakukan sesuatu amal soleh, dan jika dia tidak mampu melakukannya kerana jatuh sakit atau berada dalam keadaan musafir, tetap ditulis baginya (ganjaran) sebagaimana dia melakukan amal soleh itu ketika dia sihat dan bukan dalam keadaan musafir.

[Sunan Abi Daud, Kitab Al-Janaaiz, hadith no. 3091. Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam al Bukhari dalam sahihnya, hadith no. 2834.]


ALLAH MAHA PEMURAH

Subhaanallah, tabaarakallah, betapa pemurahnya Allah! Hadith tadi juga menggalakkan kita agar istiqamah dalam melakukan setiap satu amalan. Meski tidak banyak, namun andai kita melaziminya, maka itulah antara yang terbaik, sebagaimana sabda baginda Shollallahu Alaihi Wasallam:

Demi Allah, Dia tidak bosan memberikan pahala, sehingga kamu sendiri yang malas berbuat amal. Amal (agama) yang lebih disukai di sisi Allah ialah amal yang dilakukan secara tetap dan teratur.

[Sahih Bukhari, Kitab Iman, hadith no. 36.]

p.s.: difahami dari hadith ini juga bahawa amal yang sedikit tetapi dilakukan secara tetap berterusan, lebih baik daripada amal yang banyak tetapi menyebabkan kebosanan atau kemalasan.

Sebagai penutup, saya ingin berkongsi satu lagi hadith bersama pembaca. Sabda nabi Shollallahu Alaihi Wasallam:

Dua kalimah yang ringan di atas lidah (senang untuk disebut), yang berat pada penimbang, yang disukaï oleh yang maha Pemurah:

سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ، سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيمِ

[Sahih Bukhari, hadith no. 6682.]

Daripada hadith ini juga difahami bahawa betapa Allah itu Maha Pemurah. Cara untuk mendapat pahala berganda-ganda terlalu mudah, namun mungkin kerana kelemahan yang ada pada diri kita, kita terlupa untuk mengejar-ngejar mencari pahala jua kasihNYA. Namun harus kita peringatkan diri sendiri juga untuk tidak terlalu leka mengejar kesenangan duniawi sehingga akhirnya kita terlepas untuk mendapat kesenangan di 'sana' nanti.

Wallahua'lam.


No comments: