Monday, August 10, 2009

*Menang Besar*

PERLUKAH KECEWA

Malam itu, selesai sahaja kuliah Ustadz Amri, dia pulang ke bilik dengan hati yang hiba. Meski dari luar tampak masih bertenaga, namun jiwanya terkulai layu. Sedih. Mengenangkan suasana kuliah sebentar tadi. Terlalu sedikit yang hadir. Meski telah dikhabarkan melalui poster, mesej, handbill, pengumuman di kolej, jua tika perbualan, semuanya seolah-olah tiada yang tahu akan kewujudan kuliah itu kecuali beberapa orang. Remuk redam jua hatinya, kerana tiba-tiba merasakan usahanya selama ini seperti debu di atas batu yang licin. Bila angin datang bertamu, bertebaranlah semuanya. Entah ke mana hala tuju.

Sesaat merebahkan diri di atas katil, dia mengadu kepada Allah akan kepiluan hatinya. Namun tiba-tiba dia teringat akan doa ini:


Ya Allah…

Tika rembulan menampakkan dirinya

Dan tika mentari memancarkan sinarnya

Maka tika itu jugalah aku telah menyeru manusia-manusia di sekelilingku

agar mereka kembali kepadaMu

dan menyedari kasih sayangMu

supaya hati mereka tiada lagi gusar

dan moga di hujung waktu kelak, mereka tidak akan tersasar

mohon Engkau menerima mereka

dan mengampuni tiap zarah dosa mereka

Semoga di Akhirat sana

Aku dan mereka akan Kau pilih untuk mendiami singgahsana di syurga

Berbahagia, bersama-sama kekasihMu yang mulia

Oh indahnya!

Tetapi ya Allah

Hatiku ini benar-benar sedih,

Qalbu ku ini sarat dengan kepiluan

Lantaran kesombongan mereka untuk menerima kebenaran

Aku hairan, melihatkan mereka yang

Tetap tegar berada di atas jalan kesesatan.

Setiap kali aku mengajak mereka ke jalanMu,

Setiap kali itu juga mereka menutup telinga

Tanda bencinya mereka kepada kebaikan

Malah mereka turut menutup wajah mereka dengan baju

Tanda jauhnya mereka dari keimanan

Telah pelbagai cara yang aku cuba

Agar agama yang benar ini terpasak di jiwa

Namun segalanya hampa

Mereka tidak pernah berhenti berlari memburu dunia

Ya Allah, berilah aku kesabaran…

Adaptasi doa nabi Nuh A.S (Surah Nuh: 5-7)


Ya, aku harus tabah. La budda! Aku perlu belajar dari ketabahan Nabi Nuh A.S dalam berdakwah!!!



BUAT PARA PENYERU KE ARAH KEBENARAN & KESABARAN

Situasi yang disebutkan di atas merupakan salah satu situasi yang sering sahaja berlaku dalam fenomena dakwah. Namun ia bukanlah satu alasan bagi da’ie untuk kecewa, apalagi untuk berhenti terus dari jalan dakwah. Kerana tanggungjawab kita adalah untuk berusaha menyampaikan ajaran Islam, bukan untuk mengumpulkan jumlah ‘penerima sahutan’. Jika bilangan mereka bertambah dan bertambah,
الحمدلله الذي بنعمته تتم الصالحات

Namun jika jumlahnya ‘statik’ atau berkurang,

الحمدلله على كل حال

Sungguh tidak patut seandainya jumlah yang kecil menjadi penyebab kekecewaan atau faktor keputus asaan kita dalam mengajak manusia beramai-ramai menelusuri satu-satunya jalan yang diredhai Allah.

Ketahuilah bahawa natijah (atau keputusan) sesuatu itu bukanlah pada genggaman kita. Meski kadangkala ia menjadi matlamat, Allah lah penentu segalanya. Hadirkanlah dalam hati, bahawa usahamu tidak akan sekali-kali disia-siakan. Kata Allah:

Dan bersabarlah, Karena Sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan. (Surah Hud: 115)

Dan jika kamu bertaqwa, maka sesungguhnya Allah sentiasa bersama kamu. Sebagaimana yang termaktub di kitabNya:

Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan. (Surah An Nahl: 128)

Bersabarlah dan tetaplah menyeru ke arah kebenaran. Bagaimana mungkin untuk kita menyeru ke arah kesabaran seandainya kita sendiri tidak mampu bersabar???

TIDAK MAMPU ATAU TIDAK MAHU?

Kita semua tahu bahawa sememangnya jalan untuk menyeru manusia itu berbagai-bagai. Apatah lagi dengan kemudahan yang ada pada zaman ini, ia memberi peluang yang luas untuk kita berdakwah.

Lupakah kita tentang kisah sahabat yang bercucuran air mata tatkala Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wasallam mengkhabarkan bahawa tidak ada kenderaan bagi mereka untuk bersama-sama pergi berperang? Mereka miskin, tidak punya harta untuk di infakkan ke jalan Allah, lantaran itu, menjadi kesedihan yang tidak terkata bagi mereka kerana niat mereka untuk ‘menginfakkan’ jiwa ke jalan Allah turut tidak kesampaian. (Rujuk Surah At Taubah: 92-93)

Sungguh jauh perbezaan mereka dengan kita. Kebanyakan dari kita punya kemampuan untuk mengajak manusia ke arah kebenaran. Punya wasilah (atau cara) yang pelbagai untuk pergi menuntut ilmu agama & menyebarkannya demi membantu agama Allah, namun kita sekadar berpeluk tubuh dan merasakan tanggungjawab itu hanya tergalas di bahu ‘Ustadz-ustadzah’.

Juga menjadi satu kehairanan bagi kita, apabila orang yang hartanya menggunung tinggi sering ‘buat-buat lupa’ untuk menginfakkannya ke jalan Allah. Malah ada yang berkata:
“Aku tak tahu nak buat apa dengan duit yang banyak ni!”

Moga kita mengambil pengajaran dari petunjuk para Salafus Soleh yang diri mereka yang telah diselubungi redha Allah, dan mereka juga meredhai setiap ketetapan Allah. Jika kita mahu diredhai, maka turutilah jalan mereka yang diredhai. :)

Firman Allah:

Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar. (Surah At Taubah: 100)

Moga-moga kita termasuk dalam golongan yang disebutkan dalam ayat tersebut (orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik). Moga kita juga akan “menang besar”, bukan dengan memenangi peraduan AliCafe atau sebagainya, tetapi berjaya menjejakkan kaki ke syurga dan kekal di dalamnya...

Insha Allah.


No comments: