Wednesday, September 16, 2009

* Pelakon Malaysia Berniqab? *


JAUHILAH AKU WAHAI [ISI] TELEVISYEN

Semakin lama semakin hati terasa benci untuk menonton televisyen, terutama drama-drama [oleh pelakon MUSLIM] yang disiarkan, iklan-iklan yang menyelit, dan lain-lain fenomena yang tidak indah. Maka demi mengelakkan diri tidak henti-henti mengutuk dan mengeji apa yang terpampang di televisyen, sebaiknya saya menghindarkan mata ini dari melihat perkara yang menyakitkan hati itu.


Terlalu banyak propaganda juga agenda yang terlindung di sebalik rancangan yang dipaparkan. Tidak dinafikan saya juga sedikit sebanyak turut terpengaruh. Al maklum, sepanjang 22tahun [+ 9bulan] hidup di dunia ini, andai dihitung, entah berapa juta jam telah diluangkan semata-mata untuk menonton TV. Tidak keterlaluan seandainya saya katakan doktrin TV ada juga yang tersuntik pada jasad. Namun sedang mencuba untuk menghilangkan apa yang tidak sepatutnya mengalir dalam diri.


PELAKON MELAYU BERNIQAB


Suatu malam, ketika ibu menonton drama Melayu di televisyen, ada sesuatu yang menarik saya untuk tumpang sekaki: 2 perempuan melayu berniqab (purdah) seperti kebiasaan wanita Arab, malah lebih menutup. Tiada seinci bahagian pun dari wanita tersebut yang terbuka. Segalanya hitam. Mata dan dahi juga tidak kelihatan. Dalam hati timbul rasa pelik juga. Tak pernah-pernah pelakon Melayu berpakaian sedemikian.
(Ketika di luar rumah sahaja)

Tidak tahu rentetan cerita itu bagaimana, namun memang seperti yang dijangka. Watak sebegitu ditonjolkan semata-mata untuk memburukkan lagi imej orang yang berpegang kuat dengan agama Islam. (Ini pendapat saya). Berniqab tetapi keluar bertemu lelaki yang bukan mahram di tepi pantai. 2 perempuan bertemu 2 lelaki. Lupa pada pesanan yang ini barangkali:


Daripada Ibn ‘Abbas, katanya Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wasallam berkata:


“Janganlah seseorang wanita itu keluar bermusafir kecuali bersama mahramnya, dan janganlah (mana-mana) lelaki (ajnabi) pergi bertemunya kecuali ada mahramnya bersama...”

(HR Bukhari 6/409 Bab Hajj Nisaa’)

Nota: Mahram adalah setiap lelaki [bukan wanita] yang haram dinikahi wanita tersebut seperti bapanya, adik beradik lelaki, datuk dll.


Hati saya ketika itu sudah berasa sangat marah, kemudian ditambah lagi dengan perkara yang menyakitkan hati--> wanita itu [tanpa rasa malu] berterus terang tentang perasaannya kepada lelaki tersebut.

Saya tidak risau jika yang menonton cerita itu ialah mereka yang ada kefahaman agama yang baik. Namun bagaimana sekiranya yang menjadi penonton itu ialah mereka yang sudah sedia membenci agama sendiri? Yang anti-muhajjabaat (yang berhijab)? Pasti mereka akan memperlekehkan orang yang [pada zahirnya] nampak berpegang kuat dengan Islam. Pasti juga orang yang tidak memahami agama mula memandang agama dari dimensi yang silap. Boleh jadi baginya perkara ini dibenarkan agama kerana yang bertudung litup sendiri yang membuatnya. Alangkah bahaya!


LA TUNAFFIRU

Seingat saya, banyak lagi cerita-cerita Melayu yang menonjolkan watak seorang yang wara’ tetapi ditakuti manusia sekelilingnya. Sebagai contoh, seorang imam yang sangat garang dengan ahli keluarganya yang tidak bertudung, dan memandang rendah serta menghina muda-mudi yang nampak seperti jahil agama.

Watak sebegini adakala seolah-olah ingin memberitahu penonton bahawa orang-orang yang ‘alim & wara’ itu adalah golongan yang kasar, merasakan diri hebat, menakutkan dan lain-lain karakter yang negatif.
Ketahuilah bahawa perbuatan sedemikian tidak sedikit pun diajar oleh Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wasallam kepada penyambung mata-mata rantai perjuangan Baginda.

Jika diamati sirah nabi kita, kita akan temui bahawa Baginda Shollallahu ‘Alaihi Wasallam tidak berkasar dengan orang Kafir. Malah ramai yang memeluk Islam setelah melihat akhlak baik yang Baginda tunjukkan.
Hatta dengan orang Kafir, baginda menunjukkan sikap yang baik dan menyenangkan hati. Apalagi sesama Muslim? Bukan marah yang sepatutnya ada di hati bahkan rasa kasihan. Sebagaimana doa baginda Shollallahu ‘Alaihi Wasallam buat manusia-manusia yang menyakiti baginda:

اللهم اغفر لقومي فإنهم لا يعلمون

Maksudnya: Ya Allah, berilah keampunan buat kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui. (HR Bukhari 11/296, Bab Hadithul Ghar)

Rasa kasihan yang ada telah menyebabkan diri baginda untuk memohon pengampunan ke atas mereka. Bagaimana dengan kita? Tatkala terasa dakwah tidak mendapat sambutan, malah dihina, adakah kita telah mencontohi Baginda? Atau sumpah seranah yang kita lontarkan buat mereka?

BANTU MEREKA UNTUK TAHU


Hadith yang saya petik di atas membuatkan saya terfikir juga, apakah pengarah cerita itu termasuk golongan yang tidak tahu? Wallahua’lam.
Namun, jika benarlah sedemikian, ke atas orang yang tahulah untuk membantu mereka yang belum mengetahui. Pernah dalam satu ceramah menyebut bahawa kita [Muslim yang benar-benar Muslim] harus berusaha untuk menguasai media. Ya, media, kerana pengaruhnya terlalu besar! Bagaimana caranya? When there is a will, there is a way. :)

Seorang ‘lelaki di sebalik tabir TV’ pernah mengatakan bahawa mereka (di stesen-stesen TV) tidak langsung mempunyai skrip (untuk cerita, iklan dan sebagainya) yang berunsurkan Islam. Tiada yang mahu menyumbang, atau kerana tiada yang tahu sebenarnya peluang terbentang? Sekali lagi, wallahua’lam.


Mungkin kerana itu mereka [orang-orang TV] mencipta skrip sendiri yang kononnya Islamik dan kononnya untuk mengislahkan masyarakat, namun mereka tersilap menggunakan ‘alat’.

Buat yang punya kelebihan dalam menulis skrip, mengarang cerita dll. yang berunsurkan Islam yang sebenar-benarnya, cuba kongsikan bakat dan dalam masa yang sama, menghulurkan bantuan.

Sematkan dalam hati firman Allah yang ini:

وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الإثم والعدوان واتقوا الله
إن الله شديد العقاب

Maksudnya: dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. dan bertakwalah kamu kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya. (Al Maidah: 2)


Ayuh, buktikan bahawa umat Islam adalah manusia terhebat di alam ini. (^0^)v

Wednesday, September 9, 2009

* Senangnya! *

DARI MANA IA DATANG?

Bismillah.

Buat para pembaca sekalian, terutamanya students, pernah tak check co-curricular information kalian? Saya baru sahaja selesai. Sebelum ni tak pernah terasa untuk mengambil tahu sebab pada fikiran saya, pastilah bahagian tentang aktiviti ko-kurikulum saya kosong-sifar-zero. Almaklum, tidak aktif & tidak rajin berpersatuan.

Namun sebentar tadi saya -tanpa harapan yang menggunung- telah sengaja melihat bahagian tersebut dan alangkah terkejutnya saya kerana nyata ia bukan kosong! Meski tidaklah terlalu banyak, tetapi cukup untuk membuatkan saya tertanya-tanya:

"Bila pulak aku pernah join program ni..."

Bukanlah tiba-tiba ia wujud tanpa sebab, cuma tidak menyedari ada juga membuat sesuatu yang menyumbang kepada pertambahan 'kredit' pada profil diri.

Alhamdulillahilladzi bini'matihi tatimmus solihaat.

REKOD BAIK SEPANJANG KEHIDUPAN

Melihat perkara tadi, membuatkan saya terfikirkan satu perkara lain. Mungkinkah perkara yang sama akan berlaku ketika yaumul hisab (Hari Perhitungan) kelak?

Tatkala berdiri di mahkamah Allah, dan dibentangkan amalan, tiba-tiba kita melihat terlalu banyak amalan kebaikan yang telah dilakukan selama hidup di dunia namun kita tidak pernah menyangka bahawa perkara itu juga mempunyai nilai pada pandangan Allah.

Alangkah beruntungnya andai hal tersebut berlaku kepada kita. Moga sepanjang pengembaraan kita di dunia ini, banyak kebaikan yang telah kita lakukan sehingga ia menjadi faktor kepada kita untuk memperoleh rahmat Allah yang akhirnya membawa kita ke syurgaNya. Insha Allah.

ADA HARGANYA

Dalam seharian kita, mungkin kita sering tidak menyedari bahawa terlalu banyak perkara yang kita boleh lakukan -dan terlalu mudah untuk melakukannya- yang boleh memberi kita ganjaran yang banyak dari Allah, Pemilik Alam ini. Sebagai contoh:

* memudahkan kerja mak cik cleaner

* menguntumkan senyuman pada sahabat

* memadam contengan-contengan yang ada pada white board sebelum pensyarah masuk

* menumpangkan sahabat -yang lewat ke kelas dan sebagainya- menaiki kenderaan kita

* memberi tempat duduk kepada golongan yang kurang mampu

* memberi kucing makan

Dan sebagainya. Semua perkara tersebut, seandainya disertakan niat yang ikhlas, bukan kerana riya', pasti ada ganjarannya. Subhaanallah... Allah Maha Pemurah. Dia memberi kita peluang untuk memperoleh pahala yang sebanyak-banyaknya, namun adakah kita sudah merebut peluang itu? Mudah-mudahan sudah.

TANAM POKOK

Hati rasa seronok ketika membaca buku Life is an Open Secret: Ramadan Special karya Sis Zabrina A. Bakar. Kebolehannya mengaitkan setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian dengan keindahan menjadi hambaNya benar-benar menarik perhatian saya.

Antara ceritanya yang saya baca hari ini ialah tentang Best Time For Charity. Disebutkan satu hadith riwayat Imam Muslim tentang menanam pokok.

Rasulullah Shollallahu Alaihi Wasallam said:

"Whenever Muslims plant a tree, they will earn the reward of charity because of the food that comes from it; and likewise what is stolen from it, what the wild beasts eat out of it, what the birds eat out of it, and what people take from it is charity for them."


(HR Muslim)

Subhaanallah! Hanya dengan menanam pokok juga kita boleh mendapat kebaikan yang banyak dan ia juga dikira sebagai sedekah seandainya buahnya dimakan oleh haiwan atau manusia lain.

Jadi, berlumbalah membuat kebaikan. Bukankah tujuan kita dihidupkan di dunia ini semata-mata mencari bekal buat hidup di sana? Ayuh kita perbanyakkan bekalan taqwa kerana itulah sebaik-baik bekalan.

Seandainya diri telah banyak berbuat dosa, mohonlah keampunanNYA... Kerana kita tidak mahu di akhirat sana baru 'menyedari' bahawa kehidupan di dunia telah diisi dengan mencari bekalan ke Neraka. Na'udzubillah...



Saturday, September 5, 2009

* Selamat Tinggal *

Meluangkan masa beberapa ketika untuk kembali menyelak helaian yang terkandung dalam buku Jangan Bersedih: Jadilah Wanita yang Paling Bahagia. Mudah-mudahan mata ini akan tertumpu pada untaian bicara yang mampu berpesan kepada hati, supaya meyakini bahawa hidup ini terlalu penuh dengan kebahagiaan seandainya itu yang kita mahu.

Memetik kata-kata dari pena Dr. 'Aidh al-Qarni:

Kesenangan anda berada dalam iman

Penyejuk hati anda berada dalam solat

Keselamatan kalbu anda berada dalam sifat redha

Keteduhan perasaan anda berada dalam sifat qana’ah

Ketenangan hati anda terletak pada dzikir.

Jua katanya:

"Sebelum engkau melihat duri dalam bunga, perhatikan dulu keindahannya. Sebelum engkau mengeluh teriknya sinar mentari, nikmatilah cahaya indahnya. Sebelum engkau menyesali gelapnya malam, ingatlah keteduhan dan ketenangannya. Jadi mengapa harus ada pandangan-pandangan penyesalan terhadap segala sesuatu? Kenapa kenikmatan harus berubah dan menyimpang dari jalurnya?"

Firman Allah, Tuhan kita:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ بَدَّلُوا نِعْمَتَ اللَّهِ كُفْرًا وَأَحَلُّوا قَوْمَهُمْ دَارَ الْبَوَارِ

Surah Ibrahim: 28

Maksudnya:
Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan?

Ucapkanlah selamat tinggal kepada kesedihan, tinggalkan kegelisahan, hindarkan lorong-lorong kesengsaraan, dan jauhilah keputusasaan dan kegagalan.

Marilah kembali ke jalan keimanan dengan melampiaskan kerinduan kita kepada Allah dan merasa puas dengan Qadha' dan Qadar-Nya.



p.s.: Sesiapa yang ada buku yang saya sebutkan di atas dalam Bahasa Arab, beritahu saya ya! Sangat pasti bahawa ungkapan dalam bahasa Arab amat puitis dan jauh lebih indah dan menusuk sanubari. :)


* Memilih Agama *


Entri pendek.

Sering terbaca penulisan tentang pernikahan yang menggunakan hadith 4kriteria wanita yang dikahwini. Namun terdapat sedikit kesilapan pada pentafsiran & pemahaman terhadap hadith tersebut.

Hadithnya seperti ini:

تنكح المرأة لأربع لمالها ولحسبها وجمالها ولدينها فاظفر بذات الدين
تربت يداك


Maksud hadith: Dinikahi seseorang wanita kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama, nescaya engkau akan beroleh keuntungan.

(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Ramai yang mentafsirkan hadith ini dengan mengatakan bahawa Rasulullah menyuruh kita berkahwin kerana 4 perkara tersebut sedangkan itu silap. Perhatikan kembali matan hadith ini dan kita akan dapati bahawa Rasulullah Shollallahu 'Alaihi Wasallam menyebutkan bahawa 4 perkara yang dilihat apabila seseorang wanita itu ingin dinikahi, bukanlah maksud baginda Shollallahu 'Alaihi Wasallam: "Nikahlah perempuan kerana 4 perkara ini" akan tetapi: "Perempuan dinikahi kerana 4 perkara".

Dan difahami dari bahagian akhir hadith itu, Rasulullah Shollallahu 'Alaihi Wasallam berpesan kepada umatnya yang ingin bernikah agar memilih pasangan yang BERAGAMA. :)


Wallahu a'lam.