Thursday, September 13, 2012

* Dari Seorang Hamba *

Bismillah.

Dari dulu, dari zaman belajar, setiap kali kelas berakhir, selalu ada niat di hati untuk kongsikan di blog ini tentang silibus-silibus yang saya belajar. (Subjek-subjek berkaitan alquran dan hadith). Kerana saya tahu ilmu-ilmu yang saya belajar tu adalah ilmu dunia akhirat, yang semua orang patut tahu, tapi tak semua berpeluang untuk tahu. Saya sekadar ingin berkongsi yang mudah-mudah, tetapi inshaAllah ada manfaatnya bagi kita semua.

Dan tadi, bila saya buka kembali reading materials untuk subjek Qiraah Nassiyyah fi Kutub Alhadith (Readings in Hadith Books), agak terkesima bila saya terlihat tarikh yang tercoret adalah Mac 2009. Sudah 3tahun lebih rupanya saya meninggalkan subjek itu tapi sepertinya baru beberapa bulan ia berlalu. Seolah-olah penjelasan Dr. Abdul Rahman tentang hadith-hadith yang dipelajari masih terngiang-ngiang. Dan rindu pada zaman belajar mula datang lagi. Ya Allah...

Proses memahami hadith ada masanya menjadi sesuatu yang membahagiakan hati. Yang membuat jiwa terasa dekat dengan sang kekasih. Bila hati menghayati hadith-hadith tentang doa baginda sollallahu alaihi wasallam, terasa sungguh menusuk, terasa mahu gugur setiap air mata, terasa dekatnya dengan Baginda kerana munajatnya kepada Allah sangat tepat untuk menggambarkan perasaan kita. Adakala kita ini berdoa, namun tidak ketemu kata-kata yang selayaknya kita ucapkan pada Sang Pencipta.

Benar kata seorang kawan tentang doa-doa yang diajarkan nabi sollallahu alaihi wasallam. Katanya, bahasa yang digunakan itu sangat indah, sangat bertepatan dengan kehendak jiwa, padanya ada rayuan yang bersungguhan pada Yang Maha Esa, dan yang paling utama, dalam setiap untaian kata doa-doa itu, terselit pengajaran tauhid buat kita.


Dan malam ini, saya ingin kongsikan satu potongan doa dari hadith baginda sollallahu alaihi wasallam yang sebelum ini tidak pernah saya amalkan. Ayuh, hayati (dan amalkan) rintihan hati dari seorang hamba kepada Tuhannya...

رَبِّ اجْعَلنِي      Ya Tuhanku, jadikan aku ini

لَكَ شَكَّارًا       hambaMu yang banyak bersyukur kepadaMu

لَكَ ذَكَّارًا        hambaMu yang banyak  mengingatiMu

لك رهَّباً        hambaMu yang punyai rasa takut kepada (seksaan) Mu

لك مُطِيعًا      hambaMu yang taat akan segala perintahMu

إِلَيْك مُخْبِتًا     yang khusyuk menghadapMu

إليك أَوَّاهًا مُنِيبًا   yang banyak merintih kepadaMu, & selalu kembali kepadaMu

رَبِّ تَقٌبَّلْ تَوْبَتِي   Ya Tuhanku, terimalah taubatku

وَ اغْسِلْ حَوْبَتِي   sucikanlah aku dari dosa-dosaku

وَ أَجِبْ دَعْوَتِي    perkenankanlah doa-doaku

وَ اهْدِ قَلْبِي     pimpinlah hatiku ke jalanMu

وَ سَدِّدْ لِسانِي  Jadikanlah lidahku ini hanya berkata benar

وَ ثَبِّتْ حُجَّتِي   Teguhkanlah pendirian dan hujahku

وَ اسْلٌلْ سَخِيمَةَ قَلْبِي  Dan cabutlah rasa kebencian (kepada orang lain) yang bersarang dalam hatiku

Amin ya Rabb..

(Hadith direkodkan dalam Sunan Abi Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah. Kata Syeikh Al-albani, hadith ini Sahih)

Tahukah kalian tentang satu perkara? Doa ini (dan doa-doa lain yang Baginda sollallahu alaihi wasallam ajarkan) akan lebih terkesan seandainya kita membacanya dalam bahasa Arab, dan apabila kita memahami bahasa Arab. Sungguh, satu kerugian yang besar jika kita mahu menghayati agama Islam, akan tetapi tidak menguasai bahasa Arab, iaitu bahasa yang digunakan dalam alQuran dan hadith.

Wallahua'lam.



No comments: