Saturday, December 3, 2011

* Never in My Sight, Always in Heart *

Bismillah.

Alhamdulillah, umi dan ayah (mertua) serta kakak ipar selamat menunaikan haji dan telah pulang ke rumah pada 25hb November yang lepas. Saat memeluk umi pertama kali selepas pulang dari Mekah, hati terasa sebak dan terharu. Entah kenapa, mungkin kerana terubat rindu, dan kerana kepala asyik membayangkan tanah suci Mekah.

Sejujurnya saya sangat risaukan kesihatan umi sepanjang umi berada di Mekah. Umi mengalami strok separuh badan pada awal tahun lepas, dan semakin hari semakin pulih namun masih tidak seratus peratus. Setiap kali ayah menelefon dari Mekah, saya pasti bertanyakan khabar umi. Dan setiap kali itu jugalah ayah memberitahu bahwa umi sihat, malah lebih sihat dari ayah, bahkan dapat melakukan umrah sebanyak 7 kali. Subhaanallah! Biasanya sewaktu di Malaysia umi cepat penat dan kadangkala boleh mengundang bahaya terutama ketika paras darah tinggi nya naik. Alhamdulillah Allah bantu memudahkan segalanya bagi umi.

Ketika umi baru tiba di rumah, hati saya terlalu teruja untuk mendengar pengalaman umi sepanjang di sana. Ternyata memang pengalaman dan nasihat umi terlalu berharga dan elok untuk dikongsi bersama. Saya sekadar ingin memetik kembali potongan-potongan ayat umi (juga ayat2 kawan umi yg turut berkongsi pengalaman ketika mereka berziarah ke rumah) yang masih segar dalam ingatan saya:

* Walaupun Kaabah itu adalah satu binaan yang berbentuk segi empat, seperti kotak hitam, namun apabila berada di depan mata, terasa bahawa Kaabah adalah objek dan pemandangan paling indah di dunia ini. 

* Sesiapa yang rasa sakit, hidup terasa tidak bersemangat, cubalah pergi ke Mekah. InshaAllah semangat dalam diri pasti pulih, lantas memberi kesan kepada kesihatan. Motivasi dalam diri terus subur saat diri merasa terlalu dekat dengan Sang Pencipta. Seluruh dunia dilupakan, seolah-olah yang ada hanyalah kita dan Allah. (saya ada baca tentang perkara-perkara saintifik berkaitan Mekah i.e. graviti, pusat bumi, kesannya terhadap kesihatan, dll tetapi tidak tahu dari mana sumber kenyataan2 tersebut. Bukan sangsi akan keistimewaan Mekah atau Kaabah, cuma takut tidak sengaja menyebarkan info yang tidak benar. Mungkin anda boleh cuba membaca serta mengkaji dari artikel-artikel berkaitannya di internet atau mana-mana buku. Wallahua'lam)

* Jangan risau untuk meniggalkan anak yang masih kecil semata-mata untuk pergi menunaikan haji. InshaAllah, pasti Allah jaga mereka sebaiknya. Dan yakinlah, sesaat menjejakkan kaki ke sana, yang timbul dalam minda hanyalah untuk beribadah sebanyak-banyaknya, menyucikan diri dari dosa, sehingga tidak terasa 46 hari (umi pergi selama 46 hari) itu berlalu. Tiada masa untuk sedih merindui anak-anak. Yang ada hanya keinginan untuk terus dan terus rapat kepada Allah.

* Pergilah haji secepat yang mungkin. Sebelum beli rumah, kereta, sebelum kejar material untuk bekalan hari mendatang, usahakanlah untuk ke Tanah Suci dahulu. Masa pasti ada jika kita mahu. DIA pasti panggil untuk menjadi tetamuNYA andai kita terus berdoa dan berusaha. Andai tidak pada waktu haji, sekurang-kurangnya umrah.

* Sebelum pergi ke Mekah, banyakkanlah membaca tentang sirah-sirah nabi terutamanya yang berkaitan tempat-tempat sekitar ibadat haji. Kerana ia dapat membantu kita untuk lebih menghayati saat melewati tempat-tempat tersebut. Insha Allah.


Wallahua'lam.

Jom kita luangkan sedikit masa untuk terbangkan hati kita ke Mekah dengan melihat gambar-gambar ini. :')







O Allah I am waiting for your call...


No comments: