Friday, June 24, 2011

* Keangkuhan Lebih Menguasai *

Bismillah.

KULIAH

Ketika menonton video-video agama dari Syeikh Muhammad al-Arifi di Youtube, hati mula teringat akan kuliah-kuliah di Taman Ilmu dan Budi (IIUM) terutamanya kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Radwan Jamal. Saya menaip nama beliau di ruangan search di Youtube, mencuba nasib kalau-kalau kuliahnya ada dimuat naik, tetapi hampa. Rindunya saya rasakan untuk mendengar dan merasai suasana kuliah agama (dalam bahasa Arab). Mudah-mudahan masih ada peluang untuk menghadirinya lagi satu hari nanti. Insha Allah.

Apabila berbicara tentang Ustaz Radwan, pastilah subjek yang diajarnya (al-I'jaz al-Qurani) antara perkara yang terlintas di kepala. Lantas saya membelek-belek semula buku yang kami guna untuk subjek tersebut. Rindu pada dunia pengajian semakin menyengat tatkala mata ini singgah pada setiap helaian buku itu.




GOLONGAN KEDUA

Teringat akan entri saya setahun yang lepas, Hati Terbang yang berkisar tentang salah satu jenis i'jaz Quran iaitu i'jaz ta'thiri/nafsi. (Sila rujuk entri tersebut untuk mengetahui maksud i'jaz ini). Sesungguhnya apabila mendengar bacaan al-Quran, manusia itu terbahagi kepada 2 golongan:

1) yang semakin bertambah imannya

2) yang semakin bertambah kedegilan dan kekerasan hatinya

Jika dalam entri terdahulu, saya membawa satu contoh untuk golongan pertama, kali ini saya akan membawa contoh dari golongan kedua pula.

Kisah-kisah pada zaman Rasulullah sollallahu alaihi wasallam sering sahaja kita dengar atau baca, akan tetapi entah mengapa setiap kali diperdengarkan, hati pasti terusik, sebagaimana kami (pelajar Ustaz Radwan) terkesima tatkala Ustaz menceritakan kisah pengislaman Saidina Umar RA, dan juga kisah Ashabul Kahfi. Subhanallah, kisah yang terlalu meruntun jiwa dan seolah-olah kami dibawa ke zaman itu dan menghayatinya. Aduhai betapa hati ini tidak mahu pulang daripada menerawang ke alam penghayatan itu!

Contoh bagi golongan kedua adalah Abu Jahal, Abu Sufyan dan al-Akhnas bin Syuraiq. Pada satu malam, ketiga-tiga mereka ini pergi ke rumah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam untuk curi-curi mendengar bacaan alQuran oleh baginda yang ketika itu menunaikan solat malam. Namun setiap seorang dari mereka tidak menyedari bahawa mereka tidak bersendirian ketika itu kerana mereka pergi secara berasingan dan ia bukan rancangan bersama.

Ketika fajar menyinsing, mereka mula pulang dan bertembung antara satu sama lain di satu jalan. Ketika itu, mereka saling mencela dan memberi peringatan agar jangan mengulangi perbuatan tersebut (ke rumah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam untuk mendengar bacaan alQuran). Mereka juga risau akan mendapat malu jika suku kaum mereka terlihat perbuatan mereka.

Namun malam seterusnya, mereka secara diam-diam tetap mengulangi perbuatan itu, dan begitu jugalah pada malam yang ketiga. Akhirnya, mereka membuat perjanjian untuk tidak lagi mengulangi perbuatan itu. Mereka saling bertanya pendapat masing-masing tentang ayat alQuran. Mereka mengakui apa yang dibacakan oleh Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bukanlah kata-kata manusia, tetapi kata Abu Jahal, meski di kalangan mereka ada nabi yang menrima wahyu dari langit, selamanya mereka tetap tidak akan beriman.

Perbuatan mereka yang secara diam-diam ke rumah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam sebenarnya membuktikan bahawa mereka benar-benar ta'ajjub dengan ayat alQuran, malah jiwa mereka turut terusik. Akan tetapi, keangkuhan dan kedegilan lebih menguasai lantas bertambahlah kekufuran dalam diri mereka, dan kerana itu jalan menuju hidayah Allah semakin jauh dari mereka.

Wallahua'lam.

5 comments:

Trinisaurus said...

kita pun suka ustaz radwan. dulu kte amek sci or quran dgn dy best.

Sajida said...

dia mengajar sgt bersemangat kan? tu yg buat kita sbg student pun turut terkesan. :)

Anonymous said...

kite pon..kite dulu hari2 consult subjek 'jiwa' dgn dia.. he is the best Palestinian man i'd ever met..:D

Anonymous said...

i knew him to..miss his thoughts.. he is the great palestinian man i'd ever met ;)

Sajida said...

sgt enthusiastic. :) so sweet bila tgh ngajar, n ada anak dia yg lalu, dia akan ckp pada kitorang: "that's my daughter/son. i love her/him sooo much."