Thursday, July 8, 2010

* Yang Benar Tetap Benar *


PERJALANAN TERISI

Hari itu perjalanan pulang ke Kuala Lumpur benar2 penuh dengan kata-kata. Meski ada kata-kata yang tidak tercapai akal saya untuk memahaminya, bagi saya ia tetap berguna. Mengenang kembali setiap butir percakapan atau nasihat seorang pakcik yang duduk di sebelah saya dalam bas ketika itu, adakala agak memberatkan fikiran. (Kerana dia bercakap tentang sesuatu yang agak sukar saya fahami, yang pertama kali saya dengari) Namun, saya cuba untuk mengambil intipati kata-katanya (yang non-stop sepanjang perjalanan JB-KL) dari sudut yang cerah (from the bright side).

'Ceramah' itu bermula apabila pakcik itu bertanyakan tentang jurusan yang saya ambil di UIA. Jawapan bahawa saya mengambil jurusan Quran Sunnah membuatkan soalan yang lain menyusul. Tanya pak cik:

"Em, apa yang kamu belajar? Jadi kamu sekarang faham tak apa maksud sebenarnya yang nak disampaikan oleh al-Quran?"

Jawab saya:

"Saya belajar tentang macam2 subjek berkaitan al-Quran, tentang hukum hakam nya, gaya bahasa nya, pentafsiran ulama' dahulu & kontemporari terhadap ayat-ayat nya, & macam2 lagi la. InshaAllah faham isi alQuran walaupun bukan keseluruhan."

Kata pakcik lagi,

"Imam Ja'afar (tak pasti pula siapa) pernah berkata bahawa akulah Quran yang berjalan....."

dan panjang lagi penjelasannya yang saya tak berapa ingat. Cuma yang saya pasti, ada hadith sahih tentang deskripsi daripada Aisyah RA tentang akhlak Rasulullah yang mengatakan bahawa: Akhlaknya adalah alQuran. (Sahih Adabul Mufrad, hal. 234, kata Al-Albani hadith ini sahih lighairihi).

Benar bahawa sesungguhnya kehidupan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam adalah terjemahan daripada apa yang diajarkan oleh alQuran, untuk menjadi contoh kepada kita umatnya. Dan kata-katanya adalah huraian terhadap ayat-ayat al-Quran.



PESANAN PAK CIK

Terlalu banyak yang pak cik itu sampaikan, namun keadaan saya yang sangat mengantuk & tidak mampu memahami tidak memungkinkan saya untuk menghafal satu persatu isi penting yang ingin disampaikannya. Sebenarnya banyak perkara yang agak 'pelik' yang saya dengar dari pak cik dan ada juga yang tidak seperti yang saya belajar. Saya sekadar mengangguk (sampai sakit urat leher) bagi setiap yang pak cik sampaikan. Tidak berdaya untuk berhujjah panjang. Itulah kelemahan saya sendiri. Yang saya agak, ceramah yang pak cik sampaikan memang berbaur tasawwuf. Kerana itu terlalu banyak istilah yang tidak saya fahami.

Kelemahan saya yang tidak mampu memahami tidak menghalang saya untuk mengambil pengajaran dari sesetengah pesanannya. Tidak mahu menjadi tidak adil terhadap ilmu, selagi mana ia benar, perlu lah disampaikan & membenarkannya.

Saya cuba untuk menukilkan nasihat pak cik itu ke sini. Nasihat yang saya kira perlu kita ambil iktibar & setuju dengannya.

1. Ilmu agama itu bukan dengan mimpi, bukan juga dengan kata-kata manusia yang tidak bersandarkan alQuran & asSunnah. Andai ia bertentangan dengan kedua itu, haruslah kita menolaknya. Kerana kedua-dua perkara itulah yang menjadi kayu ukur bagi tiap2 sesuatu, terutama yang berkaitan agama Islam. Kata pakcik, dia pernah berjumpa ramai manusia yang mengaku diri hebat semata-mata kerana dia menerima ilham melalui mimpi. Dakwaan itu nyata tidak boleh diterima kerana agama itu bukan datang dengan fantasi namun dengan hujjah dan bukti.

2. Sesungguhnya solat itu wasilah untuk kita semakin dekat dengan Allah, dan sepatutnya kita merasakan bahawa Allah sedang melihat kita dan Maha Mendengar setiap kalimah yag terucap di bibir. Solat itu satu kerehatan bagi kita, setelah kelelahan bertubi-tubi memenuhi bahagian-bahagian kehidupan. Ia juga satu mikraj (proses perjalanan menuju ke atas), di mana kita seolah2 terbang ke langit, meninggalkan keresahan hidup & menuju kasih Allah serta bermunajat kepadaNya. Kata-kata pakcik membuatkan saya teringat tentang sabda Rasulullah sollallahu alaihi wasallam kepada Bilal RA:

"Wahai Bilal, dirikanlah solat! REHATKANLAH KAMI DENGANNYA (solat)..." (Kata Al-Albani dalam kitab Tarikh Misykaatul Masaabih hal. 1209, sanad hadith ini sahih.)

Hati terasa indah dengan ayat: solat itu satu kerehatan...

3. Ada kumpulan yang mengajak orang ramai melakukan kebaikan, namun meninggalkan mereka termangu-mangu tanpa bimbingan. Sebagai contoh, mereka mengajak orang lain datang ke masjid, namun selepas itu mereka tidak mengambil peluang untuk mengajar ilmu agama kepada yang hadir ke masjid. Mereka menganjurkan melakukan itu ini, namun tidak menerangkan bagaimanakah caranya mengikut huraian alQuran & sunnah.

Kerana itu, seharusnya kita sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu agama dan cuba sampaikan kepada yang tidak mengetahui. Beramal itu penting. Dan yang menjadi syarat amalan itu diterima adalah: a) harus ikhlas kerana Allah, b) harus bertepatan dengan yang diajarkan oleh Rasulullah sollallahu alaihi wasallam. (sebagaimana kata Imam alFudhail bin Iyadh)

4. Kata pakcik:

"Sebenarnya pakcik rancang nak tidur je sepanjang naik bas hari ni, tapi dah jumpa kamu, rasa rugi pula kalau tak sampaikan ilmu yang pakcik tahu. Bila kita bercakap tentang Allah, tak terasa masa berlalu dengan cepat. Dah dekat 4jam pun kita bercakap...".

Ya, kita harus selalu mengintai2 peluang yang ada untuk menyampaikan ilmu yang kita ketahui, usah jadikan alasan (seperti mengantuk) menghalang perkara yang lebih utama untuk disampaikan. Sentiasalah berbicara tentang kebesaran Allah & berpesan-pesanlah ke arah kebaikan.


~Andai kita cintakan sesuatu, pasti kita tidak pernah merasa bosan untuk menyebut tentangnya selalu.~

Wallahua'lam.

No comments: