Sunday, July 11, 2010

* Hilang Lelapku *



SEMANGAT YANG KUAT

Agak lama tidak menghabiskan masa menulis entri. Jadi janggal dan buntu bila mahu memulakan nukilan. Perasaan tidak rajin itu terlalu menebal. Sibuk memang bukan alasan. Terlalu ramai public figure (yang kita sedia maklum dia pasti sibuk dengan pelbagai tugasan) tetap punya masa berbakti di alam maya, mencurah ilmu jua berkongsi pengalaman melalui penulisan. Mohon diberi keberkatan pada masa dan jua kehidupan, agar sentiasa akan punya masa untuk terus mengaut pahala selama masih diberi nikmat kehidupan.

Benarlah kata orang, semangat yang kental itu antara bekalan yang penting untuk kita istiqamah dalam melakukan apa-apa sahaja perkara. Apatah lagi dalam hal membuat kebaikan dan menyeru manusia ke arah cintaNya. Ilmu jua penting, namun semangat itulah yang akan membantu kita untuk berterusan di atas jalan perjuangan. InshaAllah.

KESINAMBUNGAN

Entri ini saya cuba siapkan sebagai memenuhi janji yang telah saya coretkan pada penghujung entri Hati Terbang. Jika entri itu berkisar kepada pengalaman dan juga analisa terhadap beberapa perkara, namun lain pula dengan entri kali ini. Bolehlah saya katakan entri ini sekadar terjemahan daripada secebis informasi yang terdapat dalam buku I’jazul Quran tulisan Dr. Radwan Jamal.

Mudah-mudahan penulisan ini akan membantu kita untuk lebih mengenali alQuran dan menyedari kehebatan kesannya kepada manusia seluruhnya, inshaAllah.

KEHEBATANNYA TIADA TANDINGAN

Kemukjizatan alQuran itu boleh dilihat dari 5 aspek iaitu bayani, ta’thiri, ghaybi, tasyri’ie, ilmiy (boleh jadi lebih, tapi ini setakat yang saya belajar). Saya akan menerangkan tentang 2 aspek itu sahaja buat masa ini (supaya tidak terlalu panjang dan memberatkan fikiran untuk memahamkannya secara sekaligus):

1) I’jaz Bayani (Mukjizat dari segi Bahasa yang digunakan)

Kesesuaian lafaz-lafaz yang digunakan dalam alQuran dengan maksud yang ingin disampaikan adalah sangat sempurna, tiada kekurangan sedikitpun. Kerana jika diteliti, setiap istilah dan lafaz yang digunakan sangat bertepatan dengan konteks ayat dan akan membawa kita benar-benar memahami dengan tepat tentang maksud yang ingin disampaikan. Bentuk penggunaan yang indah ini tidak mampu ditiru atau ditandingi oleh mana-mana manusia meskipun dia itu seorang ahli bahasa (bahasa Arab) yang unggul. Mukjizat ini terzahir melalui:

- ketidakmampuan manusia untuk menulis atau mencipta ayat yang cantik susunannya dan tepat penggunaan kalimahnya semisal alQuran. Ini kerana manusia tidaklah mengetahui semua maksud bagi setiap perkataan dengan tepat.
- Akal manusia tidak pernah mengetahui setiap makna yang terkandung dalam setiap lafaz.
- Pengetahuan manusia tentang sesuatu tidak akan sempurna sehinggalah mereka mengetahui setiap ’jalan cerita’ dan keterikatan antara setiap bahagian.

Contohnya: bagaimana alQuran menggunakan perkataan yang biasanya digunakan untuk manusia kepada makhluk-makhluk lain. Dan bagaimana lafaz itu menzahirkan sesuatu yang maknawi itu kelihatan hakiki. Firman Allah:

والصبح إذا تنفس

Dan demi waktu Subuh, tatkala ia bernafas. (at-Takwir: 18)

2) I’jaz Ta’thiri @ Nafsi (Kemukjizatan pada kesannya terhadap diri)

I'jaz ta'thiri adalah keadaan apabila seorang hamba terkesima dengan keindahan alQuran, dari segi lafaz, makna, dan penyusunannya yang sangat teratur. Kekaguman itu meninggalkan kesan pada kulitnya, lidahnya, hatinya, akalnya dan juga matanya. Hati serta-merta menjadi khusyuk kerananya dan bisa sahaja mata mengalirkan tangisan syahdu.

Aspek mukjizat yang kedua inilah yang akan saya tuliskan secara lebih mendalam beserta kajian-kajian yang telah dilakukan bagi membuktikan kehebatannya.

TENSION, TAK BOLEH TIDUR!

Kita pasti pernah mengalami malam-malam yang diselangi keletihan atau ketegangan perasaan kerana beberapa masalah yang dialami. Dan seringkali masalah-masalah itu menghapuskan rasa mengantuk lantas menjadikan kita sukar untuk melelapkan mata dan merehatkan mental fizikal. Sememangnya perkara-perkara sedemikian bisa menyebabkan urat-urat dalam badan kita tidak berada dalam keadaan yang menenangkan malah akan menghantar isyarat ke otak yang mengatakan bahawa pelayaran ke alam mimpi adalah sesuatu yang sangat sukar.

Jadi bagaimana caranya untuk kembali menenangkan sistem dalam badan kita yang ketegangan, merehatkan minda yang keletihan, jua perasaan yang keresahan? InshaAllah, cara ini pasti akan membantu kita: mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran.

Satu kajian telah dijalankan ke atas sekelompok orang pekak dan didapati bahawa meskipun mereka tidak mampu mendengar, tetapi saat ayat alQuran dipasang kepada mereka, ternyata tahap ketegangan atau tekanan yang mereka hadapi dalam badan pulih atau berkurangan sedikit demi sedikit. (Tahap ketegangan sistem badan yang mereka hadapi telah diukur menggunakan mesin khas terlebih dahulu sebelum eksperimen dijalankan).

Nah, bagaimana akal mahu menghuraikan keajaiban ini? Terbongkarlah satu lagi rahsia bahawa sesungguhnya setiap anggota badan kita akan bertindak balas ketika mendengar bacaan alQuran (apatah lagi jika kita sendiri membacanya). Dan tidak lain tidak bukan, tindak balas itu menjelma dalam bentuk sebuah ketenangan.

Kerana itu, disarankan bagi mereka yang sukar untuk tidur malam agar mendengar bacaan alQuran. Mereka yang tiba-tiba terjaga pada tengah malam, kemudian sukar untuk kembali melelapkan mata, juga disarankan berbuat demikian.

Apakah rahsia di sebalik semua ini? Sebenarnya ia bukanlah suatu rahsia. Siapa yang berusaha mencari pasti akan menemui. Ayat-ayat alQuran datangnya dari Tuhan yang Maha Bijaksana, kalam Tuhan yang mencipta kita. Dialah Allah ‘Azza wa Jalla, yang mengetahui setiap keperluan kita. Yang memberi panduan kepada kita untuk membezakan antara yang haq dan batil. Ayat-ayat cinta dari Tuhan tidak sedikit pun mampu ditandingi oleh manusia. Kerana itu, sedar atau tidak:

1) Tatkala kita mendengar alunan ayat-ayat bahasa Arab yang bukan alQuran (tetapi dibaca seperti nada alQuran), kita mampu merasakan bahawa wujud perbezaan antara keduanya. Ketika saya masih bersekolah rendah, saya pernah beberapa kali menonton rancangan bahasa Arab fushah (bukan bahasa pasar) tetapi hati saya tetap mahu mengatakan bahawa bahasa yang digunakan oleh orang-orang Arab tidak sama dengan bahasa yang sering saya alunkan ketika mengaji. Semua ini dikeranakan perbezaan gaya bahasa yang wujud pada kalam manusia dan kalam Allah.

2) Bacaan terjemahan alQuran (cth: terjemahan dalam bahasa Melayu) mampu mewujudkan rasa tenang jua keinsafan pada hati kita tatkala mendengarnya. Perkara ini juga telah dijalankan kajian ke atasnya. Pengkaji mahu mencari apakah sebenarnya faktor yang menyebabkan wujudnya ketenangan dalam hati manusia kerana bacaan alQuran dan bacaan terjemahan alQuran kedua-duanya bisa mewujudkan rasa kelainan dalam hati manusia yang mendengarnya.


YANG UTAMA


Setelah membaca entri saya ini, jangan pula jadikan bacaan alQuran itu sebagai ‘ubat tidur’ semata-mata. Usah dilupa tujuan utama alQuran diturunkan, iaitu membimbing manusia ke satu-satunya jalan yang Allah redhai.

Ya, kita mahu diri kita mampu tidur dengan tenang di kala malam kelam, namun jangan lupa, ketenangan ‘tidur’ kita ketika di alam barzakh adalah yang lebih penting. Alquran bukan sekadar hantaran perkahwinan, bukan jua untuk sekadar menjadi alat untuk bersumpah tidak melakukan kesalahan, tetapi andai mampu kita benar-benar fahami, tujuan Allah memberi kita alQuran adalah berganda lebih besar dari itu, ia penyelamat kita dari berterusan dalam kesesatan.

Wallahua’lam.


No comments: