Thursday, January 21, 2010

* Di Situ Keajaibannya *

PERJALANAN MENUNTUT ILMU

Bismillah.

Subjek-subjek untuk semester kali ini [juga semester-semester sebelum ini] sangat sarat dengan ilmu yang menarik dan menggembirakan hati. Gembira kerana hati terisi ilmu yang benar-benar mendatangkan segunung manfaat.

Subjek-subjek untuk semester ini adalah:

1. Al ‘Ijaz Al Qur‘ani (Inimitability of the Al Qur‘an)

2. Ittijahat Al Hadithah fi Al Tafsir (Modern Trends in Tafsir)

3. Ittijahat Al Hadithah fi Al Sunnah (Modern Trends in Sunnah Studies)

4. Mabadi’ Al Ta’amul Ma’a Al Sunnah (Principles in Dealing with Sunnah)

5. Al ‘Ijaz fi Al Sunnah (Inimitability Elements in the Sunnah)


5 subjek sahaja, kerana hanya ini yang berbaki [termasuk satu lagi subjek: Arabic for Occupational Purposes yang akan diambil pada semester pendek nanti]. Untuk entri kali ini, suka untuk saya berkongsi ilmu dengan pembaca sambil menceritakan sedikit-sebanyak perkara yang telah saya pelajari. Namun bukan tentang semua subjek yang saya sebutkan, akan tetapi fokusnya cuma pada subjek terakhir dalam senarai di atas.

ILMU ZAMAN INI MEMBUKTIKANNYA!

Dalam subjek Al I’jaz fi Al Sunnah, terlalu banyak perkara yang membuat kami [saya dan rakan-rakan kelas] kagum dan terkesima. Subjek ini masih baru diperkenalkan di bumi UIA. Semester ini merupakan semester kedua ia diajarkan. Syukur pada Allah kerana memberi peluang untuk menambah ilmu tentang sunnah nabi-Nya.

Maksud I’jaz Sunnah adalah: Ketidakmampuan manusia yang hidup zaman wahyu dan juga beberapa kurun yg panjang selepasnya dari mendatangkan sesuatu yg sepertinya [sunnah]. Hal ini kerana ilmu yang terdapat dalam sunnah itu terlalu jauh mendahului zamannya, hingga menyebabkan tiada manusia yang mampu memahami apa sebenarnya yang tersirat dalam isi kandungan sunnah itu pada ketika ia dituturkan.

Namun pada kurun akhir-akhir ini, ilmu dan fakta serta penemuan-penemuan baru telah berjaya menyingkap rahsia di sebalik kata-kata yang keluar dari lidah yang tidak bertutur mengikut hawa nafsu, bahkan ia adalah wahyu. [ma yantiqu ‘anil hawa, in huwa illa wahyun yuha].

Penemuan-penemuan terbaru ini telah membuktikan bahawa pada sunnah itu terisi pelbagai ilmu yang sangat penting dan diperlukan oleh manusia keseluruhan. Kerana itu, ia merupakan antara yang paling berjaya dalam mengajak manusia memeluk Islam dan sama-sama mentauhidkan Allah. Seperti yang kita sedia ketahui, ‘established facts’ merupakan perkara yang tiada sesiapa boleh mengatakan ia bohong dan tidak mungkin ada pembetulan terhadapnya. Sebagai contoh, matahari terbit dari timur. Tiada apa yang mampu menyanggah kenyataan ini. Begitu jugalah halnya dengan ilmu-ilmu yang baru tersingkap dari sunnah Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wasallam. Kebanyakannya telah menjadi established facts hasil dari usaha manusia zaman kini dalam pencarian ilmu.

JIKA DIA MENGINGINKAN, TIADA YANG MAMPU MENGHALANG.

Kita lihat satu hadith ini:

ما من كل الماء يكون الولد وإذا أراد الله خلق شيء لم يمنعه شيء

(Sahih Muslim, Kitab Nikah, Hadith no. 1438)

Terjemahan: Tidaklah anak itu tercipta dari keseluruhan air [mani], dan jika Allah berkehendak mencipta sesuatu, maka tiada sesuatu pun yang mampu menghalangnya.



Hadith ini merupakan jawapan Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wasallam apabila ditanyakan tentang ‘azl [salah satu cara pencegah kehamilan]. Melalui ilmu perubatan, akan tersingkap bahawa terdapat dua elemen I’jaz dalam hadith ini, iaitu:


“Tidaklah anak itu tercipta dari keseluruhan air [mani]”


1. Sebelum kurun ke-20, tiada siapa yang tahu bahawa janin itu terjadi dari setitis air mani [atau satu sperma] sahaja, bukan dari keseluruhan sperma yang keluar dari satu pancutan ke dalam rahim wanita. Secara purata, satu pancutan kebiasaannya mengandungi 200 juta hingga 300 juta sperma. Namun 20% daripadanya adalah tidak ‘sihat’ dan tidak mampu menjalani proses fecundation, iaitu penyatuan sperma dan ovum, seterusnya ketika ia sampai ke vagina dan pangkal rahim, sebahagian besar dari jutaan sperma itu akan mati. Maka yang tinggal itu sebahagiannya akan ke tiub fallopio kanan dan sebahagiannya ke kiri. Yang akan tiba hingga ke destinasi akhirnya hanyalah dalam lingkungan 500 sperma. Dan yang akan berjaya untuk bersatu dengan ovum hanyalah satu. Maka terbukti benarlah apa yang telah dikatakan Nabi SAW pada berpuluh kurun yang lalu.


“jika Allah berkehendak mencipta sesuatu, maka tiada sesuatu pun yang mampu menghalangnya”


2. Setiap cara pencegah kehamilan seperti kondom dan sebagainya tidak akan berjaya seratus peratus. Setiap daripadanya mempunya peratus kegagalan untuk mencegah:

a) Kaedah ‘azl mempunyai: 22% nisbah kegagalan,
b) pemotongan tiub fallopio dan ‘mengikatnya’: 55% nisbah kegagalan
c) pemakaian Loop (intrauterine device): 6% nisbah kegagalan
d) pil pencegah kehamilan: 2.5% nisbah kegagalan

Terbuktilah bahawa tiada satu kaedah pun yang mampu 100% menghalang dari berlakunya kehamilan. Dari nisbah kegagalan itulah boleh jadi terciptanya janin. Biar apa sahaja kaedah yang digunakan, seandainya Allah menginginkan untuk menetapkan bahawa kehamilan itu terjadi, maka itulah yang pasti terjadi. Tiada apa pun yang mampu menghalangnya.

Siapakah yang telah mengkhabarkan segala ilmu ini kepada Baginda Shollallahu ‘Alaihi Wasallam pada zaman yang tiada seorang pun mengetahui tentangnya? Tidak lain tidak bukan ia datang dari Allah Ta’ala, dan inilah bukti kebenaran bahawa Nabi Muhammad Shollallahu ‘Alaihi Wasallam itu adalah utusan dari Allah!

Terdapat banyak lagi hadith yang ditemui keajaiban ilmu padanya. Saya akan kongsikannya pada masa akan datang. Insha Allah! Mohon iman kita akan bertambah dengan adanya pengetahuan kita tentang perkara sebegini. Amin.


2 comments:

Anonymous said...

sajid..time kasih sbb kongsi tulisan ni dan juga sebelum ni..^^

~smoga bertambah imanku hr ini dan hari2 berikut..ameen

* luv ur writing and YOU..=)

Sajida said...

sama-sama... :)

luv you too. tapi takleh lebih2, yani nak jadi milik org dah. huk3