Wednesday, August 12, 2009

* Segalanya Yang Terbaik *

SEMAKIN, SEMAKIN

Semakin kita meningkat dewasa, semakin kita merasakan bahawa hidup kita sering diterjah oleh dugaan-dugaan yang kita rasakan terlalu berat untuk digalas. Mengapa ya. Adakah dugaan itu kian kerap bertamu kerana:


* Hidup kita yang semakin tidak keruan, tidak tahu matlamat yang jelas lantas melilau-lilau sepanjang perjalanan dan sengaja menjemput kesusahan

* Kita semakin teliti terhadap setiap perkara & jika ia tidak bertepatan dengan kehendak, kita akan merasakan ia adalah satu masalah besar yang sangat menyesakkan dada


* Kita terlalu sibuk menghitung kesukaran berbanding berjuta nikmat yang setiap hari kita terima


*Kita sengaja bermain dengan api tetapi tidak mempersiapkan air yang cukup untuk menyiramnya atau telefon yang cukup bateri untuk membuat panggilan ke balai bomba.


* Kita semakin punya iman yang tinggi terhadap Allah dan kerana itu kita diberi ujian yang lebih. Hmmmm...Begitukah?

Apapun alasannya, yang pasti setiap ujian yang tiba itu, moga ia akan mendekatkan kita kepada Allah. Kita mampu menghadapi ujian dariNya, kerana itu kita yang Dia pilih untuk memikul bebanan ujian tersebut. Firman Allah:

... Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan... (Surah At Thalaq: 7)

ZAMAN PALING TERUK

Saya yakin bahawa
setiap dari kita pernah melalui satu fasa hidup yang dirasakan paling sarat dengan ujian dan yang paling diharapkan agar ia tidak berulang. Dan ketika itu adakala kita merasakan,

"inilah episod yang paling sukar sepanjang aku bernafas di atas muka bumi ini..."


atau,


"Setiap hari aku makin lemah, tapi ujian yang hadir aku rasakan semakin banyak...
"

Lupakah kita, tatkala hati kita bermonolog sedemikian, ia akan merangsang minda kita untuk terus menerus menyimpan pemikiran yang memandang dunia ini dari perspektif yang sangat jelek. Kalaulah begitu, pasti pemikiran itu lama-kelamaan akan terzahir dari perbuatan kita lantas membuatkan kita sentiasa hilang motivasi & sentiasa kecewa untuk meneruskan hidup. Bukankah itu bertentangan dengan perilaku kita sebagai seorang Muslim? Firman Allah:

...dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir. (Surah Yusuf: 87)

Bagaimana kalau kita menukar persepsi dengan mengatakan kepada diri bahawa ini bukanlah fasa hidupku yang paling teruk, bahkan ia adalah yang terbaik! Kerana apa? Kerana pada fasa ini:

* aku dididik untuk meletakkan setinggi-tingginya pergantungan kepada Allah semata

* dengan ujian yang sangat banyak inilah aku akan mampu membina kekuatan pada diri

* aku semakin hampir dengan Tuhanku kerana biasanya tatkala kesusahan, hati akan benar-benar terasa memerlukan Dia

* mengajarku untuk melihat orang lain yang jauh lebih susah dariku

PALING HEBAT, PALING BAHAYA

Menulis tentang perkara ini, membuatkan saya teringat akan zaman Imam Bukhari dan ulama-ulama sezamannya. Zaman itu dinamakan al'Asru adz Zahabiy (Zaman Emas) kerana kegemilangan penulisan & penyebaran Islam yang berlaku. Pada zaman itulah wujudnya peulisan tafsir secara meluas, pembukuan hadith dengan metod yang tersusun, ramai tokoh agama yang lahir, kepesatan dalam pembangunan ilmu dan lain-lain lagi. NAMUN...

Perlu kita ingat bahawa zaman itu juga merupakan zaman yang paling bahaya. Kerana ketika itu terlalu banyak badai fitnah yang melanda seperti berkembangnya penyebaran hadith-hadith palsu, fitnah 'khalqil quran', ancaman pemimpin yang cenderung terhadap aqidah Mu'tazilah sehingga menyebabkan ramai ulama' yang dipenjarakan dan pelbagai lagi.

Meski semua ujian-ujian ini dilontarkan sekaligus, namun zaman itu tetap terus gah & diingati sebagai zaman emas dek kegemilangan yang telah berjaya dicapai di tengah-tengah ombak badai.

Begitu jualah sepatutnya kita. :)

Kita menjadikan ujian-ujian yang ada itu sebagai pemangkin untuk kita terus berjaya. Kita berusaha semampu mungkin berhadapan dengan dugaan yang tiba, bukan berterusan lari daripadanya.

Ayuh, kita mohon petunjukNya.


Pada zaman mana pun yang kita hidup, semoga kita mampu menjadi manusia yang terbaik di alam ini.


2 comments:

aufa_khalilah said...

MasyaAllah sajid..sgt menyentuh hati kita..thanks :)

Sajida said...

u'r welcome. :) alhamdulillah, u've been given a go0d heart. a heart which reacts positively when maw'idzah comes & knocks its door.. :)