Friday, August 14, 2009

* Ingin Lihat Dia *

KERANA SIAPA

Seronok belajar hari ni. :) Bukan apa, kadang-kadang belajar sahaja yang lebih, tapi penghayatan tu sangat kurang dan yang menyedihkan, apabila ilmu-ilmu yang diperoleh tak berjaya merapatkan diri kepada Allah. Bukankah itu satu perkara yang sia-sia? Kita semua mencedok dan menelan ilmu dari lautan-lautan yang terbentang semata-mata kerana apa? Pernahkah kita terfikir? Jika pernah, apakah kita berjaya menemui jawapannya?

Adakala risau apabila terfikirkan apa sebenarnya niat diri pergi menuntut ilmu. Semata-mata memenuhi adat resam manusia atau kerana mahukan masa hadapan yang bahagia? Sungguh, apabila kita melakukan sesuatu yang tidak spesifik matlamatnya, maka akan kurang fokus dalam menyelesaikan sesuatu urusan itu. Tanpa fokus, pastilah hasil yang diperoleh hanya ala kadar sahaja. Dikeranakan itu, ayuh kita spesifikkan matlamat kita dalam setiap perkara yang kita lakukan, apa yang kita mahu capai dan bila kita mahu ia menjadi kenyataan.

DI SANA JUA ADA KEHIDUPAN

Berbicara soal masa hadapan, perlu kita sedar bahawa bagi seorang muslim, masa hadapan yang perlu dipandangnya ialah masa hadapan yang melangkaui batas kehidupan alam shahadah ini (alam sekarang). Kita semua yakin dan percaya bahawa kehidupan itu bukanlah berakhir di alam kubur namun ada alam ghaib yang bakal kita huni, dan yang pasti alam itu yang lebih utama bagi kita. Firman Allah:

Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.
(Surah Al-A’laa: 17)

Ya, alam di sana lebih kekal dan jauh lebih baik. Meski adakala kita merasakan perihal akhirat, syurga, neraka, semuanya seolah-olah satu mimpi –kerana ia belum hadir di hadapan mata- namun ia pasti datang, malah SEDANG MENGHAMPIRI KITA. Tak terbayang apa yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNYA yang DIA sayang. Seindah mana ciptaan yang wujud di muka bumi ini, sedikit pun ia tidak menyamai apa yang telah Allah siapkan untuk para kekasihNYA.

Tak seorangpun mengetahui berbagai nikmat yang menanti, yang indah dipandang sebagai balasan bagi mereka, atas apa yang mereka kerjakan.
(Surah As Sajdah: 17)

Dalam satu hadith qudsi:

“Aku menyediakan untuk hamba-hambaKu yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar (perihalnya) oleh telinga, dan sedikitpun tidak pernah terlintas dalam hati manusia.”
(Muttafaq ‘Alaih)

Seandainya yang kita gambarkan bahawa di sana ada taman-taman indah, yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, beserta buah-buahan yang enak, dihiasi kicauan burung dan anak-anak muda yang cantik parasnya, ia tetap tidak akan sama dengan yang kita gambarkan. Jauh lebih indah.

Jadi, wujudkah rasa teruja untuk menyaksikan kejutan-kejutan yang ada di sana? Jiwa dan akal yang sihat pastilah terlalu rindu dan teringin untuk menjejakkan kaki ke sana. Pasti meronta-rontalah jiwa mahu menjalani kehidupan di sana yang amat indah. Alangkah bahagia andai setiap hari kita ditemani sebaik-baik teman. Siapakah sebaik-baik teman itu? Firman Allah:

Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para siddiqin, dan orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh, dan mereka Itulah teman yang sebaik-baiknya.
(Surah An-Nisaa’: 69)

MELIHATMU

Namun satu perkara yang menjadi keberuntungan paling besar buat ahli jannah ialah apabila ia dapat melihat Allah. Sabda Rasulullah Shollallahu ‘Alaihi Wasallam:

Daripada Jarir bin Abdullah, katanya: Kami bersama Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wasallam dan Baginda melihat kepada bulan pada malam itu, iaitu bulan purnama, seraya baginda berkata:

“Sesungguhnya kalian akan dapat melihat Tuhan kalian sebagaimana kalian melihat bulan purnama ini...” (HR Bukhari, hadith no. 521, 2/389)

Tidak teringinkah kita menjadi antara hambaNYA yang dapat melihatNYA? Merasakan kehadiranNYA sahaja sudah membuatkan hati kita tenang, mengalunkan ayat-ayatNYA jua bisa mendamaikan jiwa yang gelisah, apatah lagi apabila dapat melihatNYA? Subhaanallah. Jadi apa yang perlu kita lakukan untuk menemuiNYA?

“...barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, Maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya.”
(Surah Al-Kahfi: 110)

Cuma dua perkara: Kerjakan amal soleh & jangan sekali-kali mempersekutukan Allah. Mudah sahaja, bukan? Semua itu perkara yang berada dalam kudrat kita untuk melaksanakannya. Mari tanamkan dalam hati bahawa kita ini sungguh-sungguh rindu untuk menemui Pencipta kita. Tatkala Dia menyeru:

Hai jiwa yang tenang.
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya.
Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku,
Masuklah ke dalam syurga-Ku.

(Surah Al-Fajr: 27-30)

Moga kitalah yang bakal menyahut seruan itu. Amin.




No comments: