Tuesday, July 14, 2009

* Tak Nak Masuk NERAKA *

ADIK TAK NAK MASUK NERAKA

Suatu petang, adik pulang dari sekolah sambil menangis teresak-esak. Apabila ditanyakan mengapa, jawabnya,

“Tadi dalam kelas, ustazah kata dalam kubur nanti malaikat tanya kita soalan dalam bahasa Arab. Adik tak pandai cakap bahasa Arab, macam mana nak jawab kalau malaikat tanya nanti. Adik tak nak masuk neraka....”

Tersentap jiwa ini. Adik, seandainya saat ini malaikat menjemput kita pada masa yang sama untuk menemui Tuhan, akulah yang seharusnya lebih resah gelisah. Kerana telah berpuluh tahun aku berjalan di atas perut bumi ini, dan dosaku pada Allah sudah melangit tinggi... Sedangkan penginsafanku? Hanya sekali-sekala ia terbit lantas terbenam kembali.

Tahukah engkau, kemampuan untuk menjawab persoalan-persoalan malaikat itu bukanlah bergantung kepada kepandaian berbahasa, namun amal soleh lah yang akan menjadi penentunya.

Barangsiapa yang mengerjakan amal-amal soleh, baik laki-laki mahupun wanita, sedang ia orang yang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun.

(An Nisaa’: 124)


RINGKASAN

Seketika tadi saya selesai membaca satu artikel yang bertajuk “Mendidik Bukan Hanya Sekedar Menyekolahkan” dari muslimah.or.id. (laman web indonesia). Pengisiannya sangat bermanfaat dan membuka minda. Artikelnya agak panjang bagi yang tidak rajin membaca (seperti saya) namun bagi yang sebaliknya, artikel itu hanyalah beberapa baris ayat yang tersusun indah tetapi mampu menyedarkan jiwa-jiwa yang mahukan kebaikan. Insha ALLAH. Di sini saya sekadar mahu membuat ringkasan daripada artikel tersebut.

MENDIDIK

Dilihat pada negara kita, hakikatnya masih ramai yang belum mendidik anak-anak (atau pelajar) mereka dengan memberi sebenar-benar didikan. Ini kerana mereka menyangka memberi didikan itu hanya terhad kepada menyekolahkan anak sampai peringkat menara gading, atau bagaimana supaya anak menjadi cerdas, pintar, dan tidak buta teknologi.

Buktinya, kebanyakan ibubapa menilai baik buruk perbuatan anak-anak dengan menjadikan persepsi masyarakat sebagai kayu ukur. Sebagai contoh, anak gadis yang keluar berpeleseran tanpa pakaian yang menutup aurat (memakai tudung tetapi jarang, berlengan panjang tetapi ketat, hakikatnya masih belum menutup aurat) atau anak lelaki yang sibuk membaca majalah untuk melihat horoskop masih termasuk dalam kriteria ‘berkelakuan baik dan tidak nakal’ kerana masyarakat menganggap ini adalah hal yang lumrah. Sedangkan jika dilihat dari kayu ukur yang sebenar (alQuran dan asSunnah), kedua-duanya bertentangan dengan syariat.

Sikap ibubapa (atau pendidik) yang seperti ini samalah dengan mengatakan kepada anak-anak:

“Wahai anakku! Kejarlah duniamu! Lupakan akhiratmu!”

Padahal Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam ada berkata:

“Ada kecintaan apa aku dengan dunia? Aku di dunia ini tidak lain kecuali seperti seorang pengendara yang mencari teduhan di bawah pohon, lalu beristirahat, kemudian meninggalkannya.”

(HR. At-Tirmidzi no. 2377, dishahihkan Asy-Syaikh Al-Albani rahimahullahu dalam Shahih At-Tirmidzi)

Seterusnya, Allah subhanahu wa ta’ala berfirman yang ertinya:

“Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) dari kehidupan dunia, sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai.”

(Ar Rum: 7)

Ayat di atas merupakan peringatan keras bagi orang yang hanya mementingkan urusan dunia sedangkan urusan akhiratnya dilupakan. Mereka tidak sedar bahawa segala yang mereka himpunkan (yang berunsurkan keduniaan) akhirnya akan merosakkan mereka.

Dunia oh… dunia!
Membuat lalai para pengejarnya!

BELAJAR DARI NABI IBRAHIM A.S

Cubalah kita perhatikan doa nabi Ibrahim AS tatkala baginda mendirikan ka’abah bersama puteranya nabi Ismail AS:

Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah Taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

(Al-Baqarah: 128-129)

Ketika nabi Ibrahim AS berdoa untuk anak cucunya, pandangannya jauh ke hadapan. Baginda bukan sahaja memohon kenikmatan dunia tetapi turut berdoa agar Allah menjadikan mereka sebagai umat yang tunduk patuh pada-Nya, mengutus rasul pada mereka sehingga tidak tersesat dalam kegelapan, menjauhkan mereka dari syirik.

Impian kita bukan sekadar mahu melihat anak-anak kita berjaya menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang, bahkan mempersiapkan diri untuk menghadapi ujian yang jauh lebih besar ketika kita ditanya siapa Robbmu, apa agamamu, dan siapa nabimu.

"Ayuh kita didik anak-anak kita untuk menempuh jalan yang lurus meski jalan itu terasa asing karena sedikitnya pengikut. Juga kembali pada al Quran dan as Sunnah dengan pemahaman salafush sholih.

Terangkatnya kemuliaan umat ini adalah dengan kembali pada agama yang lurus. Bukan dengan harta atau kekuasaan.

Seandainya mulia itu dengan kekuasaan, tentu Fira’un termasuk ke dalam orang-orang yang mulia.

Seandainya mulia itu dengan harta, tentu Qorun lebih mulia dari kita."

Semoga pendidik sejati akan bertambah seiring pertambahan umat manusia di bumi ini. Amin!

p.s. Buat sahabat-sahabatku yang bakal menjadi pendidik (di sekolah), ambillah peluang itu untuk mendidik anak-anak muridmu semakin dekat dengan Allah, meski kamu bukan ditugaskan untuk mengajar subjek Agama Islam, namun tanggungjawab menyebarkan Islam & amar ma'ruf nahi munkar tetap tergalas di bahu kita semua. :)

1 comment:

ikabash said...

sajeed, ika dh update blog 6pintar, sori lambat sgt.. huuu